Chua Tian Chang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Chua Tian Chang
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
Dalam jawatan
2008 – 17 Julai 2022
Anggota Parlimen Malaysia
untuk Batu, Kuala Lumpur
Dalam jawatan
8 Mac 2008 – 9 Mei 2018
Didahului olehNg Lip Yong
Digantikan olehPrabakaran Parameswaran
Majoriti9,455
Butiran peribadi
Lahir (1963-12-21) 21 Disember 1963 (umur 60)
Melaka
Parti politik PH-PKR (1999–2023)
PekerjaanAktivis, Bekas Ahli Parlimen

YB Chua Tian Chang (Cina: 蔡添强), atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, merupakan seorang ahli politik Malaysia dan juga bekas Ahli Parlimen kawasan Batu di Kuala Lumpur, Malaysia. Beliau merupakan bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan jawatan Naib Presiden.

Tian Chua memperolehi ijazah dalam falsafah dari Australia dan sarjana dalam kajian pekerjaan dan buruh dari Belanda.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Tian Chua lahir di Melaka pada 21 Disember 1963, beliau merupakan anak sulung daripada 4 orang adik beradik. Bapanya, Chua Neo Lai, 71, seorang berketurunan Cina Hakka dan merupakan seorang peniaga beras. Mendiang ibunya, Chan Yuet Chien, merupakan seorang guru sekolah Cina.[1]

Chua telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Siang Lin dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Tinggi Katolik. Kemudian, beliau menyambung pembelajarannya di dalam Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang.

Pada tahun 1982, Tian menyambung pembelajaran tingginya di Australia. Pada mulanya beliau menjadi pelajar Matrikulasi di South Sydney High School. Selepas melengkapkan HSC, beliau telah mendapat kemasukan belajarnya di Sains Pertanian di Sydney University.

“Saya selalu ingin menjadi saintis dan mencipta benda-benda, seperti (Thomas) Edison. Saya menjadi berminat di dalam sains agro (sains pertanian) kerana saya hendak mempelajari perkara-perkara yang boleh menjadi berguna kelak,” Chua sambil imbas kenangan lalu .[1]

Akan tetapi pada tahun ketiga, beliau bertukar bidang pembelajaran ke Falsafah di University of New South Wales. Australia pada 1980-an di mana ia menjadi tumpuan pelajar-pelajar aktivis. “Bapa saya mengharapkan agar saya belajar undang-undang untuk masa depan yang lebih terjamin, tetapi saya menjadi terdedah kepada pergerakan-pergerakan keamanan, isu-isu alam sekitar, dan hak asasi manusia di seluruh dunia.”

Beliau telah menjadi pemimpin pelajar yang aktif dan terlibat dengan pergerakan pelajar di bawah Jaringan Kumpulan Pelajar Luar Negara (Network of Overseas Student Collectives atau NOSCA) dan Pakatan Kiri (Left Alliance). Rakan-rakannya termasuklah Steven Gan dan Premesh Chandran, pengasas bersama laman berita Malaysiakini. Bersama-sama, mereka memprotes melawan pengenaan yuran of universiti terhadap pelajar-pelajar luar negara yang telah dimulakan oleh pentadbiran Bob Hawke pada tahun 1985.[1]

Chua telah merasakan 'nikmat' penangkapan apabila beliau telah dimasukkan ke dalam lokap selepas satu demonstrasi di Sydney. Beliau juga telah direkrut oleh pemimpin dan kemudiannya presiden Timor Leste, Presiden Ramos Horta untuk membantu menyediakan surat berita.[1]

Reformasi 1998[sunting | sunting sumber]

Chua Tian Chang mula menjadi tumpuan ramai pada tahun 1999 semasa gambar-gambar menunjukkan beliau duduk di depan sebuah lori meriam air polis diterbit dalam media dunia semasa pergerakan Reformasi di Malaysia yang disebabkan oleh perlucutan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu.

Antara 27 dan 30 September 1999, Tian Chua dan enam aktivis yang lain, termasuk pemimpin Keadilan — Ketua Belia Mohd Ezam Mohd Nor, Mohd Azmin Ali, dan Dr Badrul Amin Baharun — ditangkap dan akibat itu, dilarang bertanding dalam pilihan raya 1999 [2]. Penangkapan lanjut dilakukan pada 10 April 2001 dan mereka yang ditangkap kemudian dituduh dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri [3]. Mereka kemudian dikenali sebagai Reformasi 10. [4]

Chua Tian Chang pernah ditahan selama 2 tahun di bawah ISA dan juga beberapa kali ditahan ke dalam lokap polis atas pelbagai alasan sejak tahun 1996.

Beliau mengusahakan pusat perkhidmatan Parti Keadilan Rakyat di pusat Sentul sejak pembukaannya pada tahun 2004.

Wakil rakyat kawasan Batu[sunting | sunting sumber]

Dalam Pilihanraya Umum Malaysia 2008, Chua Tian Chang memenangi kawasan Parlimen Batu di Kuala Lumpur dengan menewaskan calon Parti Gerakan Barisan Nasional, Lim Si Pin, dengan majoriti sebanyak 9,455 undi. Tian Chua mendapat 29785 undi sementara Lim Si Pin mendapat 20330 undi .Lim Si Pin merupakan anak Tun Dr Lim Keng Yaik , mantan Presiden Gerakan.[5]

Pada Pilihanraya Umum Malaysia ke 13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013, Tian Chua sekali lagi mengekalkan kemenangannya di Parlimen Batu dengan majoriti 13,284 undi menewaskan 4 orang pencabar beliau iaitu Atan Bin Jasin (Bebas - 164 undi), Hashim Bin Abdul Karim (Berjasa - 949 undi), Dominic Lau Hoe Chai (Barisan Nasional - 28,388 undi) dan Nazariah Binti Abbas (Bebas - 209 undi). Dengan kemenangan tersebut telah menjadikan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen Batu bagi penggal kedua berturut - turut. Beliau bersama - sama kesemua ahli parlimen seluruh Malaysia telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Malaysia bagi penggal baru pada 24 Jun 2013.

Kini selepas beliau sendiri telah menjadi penggubal undang-undang, Tian Chua memberikan jaminan bahawa beliau tidak akan mengubah caranya:[6]

Saya tidak akan mengubah cara saya. Tanggungjawab saya adalah untuk menyuarakan dan jika terdapat sesuatu yang perlu saya buat, saya akan membuatnya.

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Beliau menyertai PKR sejak penubuhan parti tersebut pada tahun 1999. Beliau menjadi Ketua Penerangan PKR pada tahun 2004 serta menjadi Naib Presiden PKR sejak tahun 2010 sehingga pengunduran dirinya dalam pemilihan PKR pada 17 Julai 2022.[7][8]

Beliau dipecat secara rasmi pada 8 Januari 2023 lantaran bertanding sebagai calon bebas di kerusi parlimen Batu semasa pilihan raya umum Malaysia 2022 (PRU-15).[9]

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Perhimpunan haram di hadapan Parlimen Disember 2007[sunting | sunting sumber]

Tian Chua berhadapan tuduhan menggigit lengan kiri dan meludah anggota polis ,Konstabel Roshaidi Anuar pada 10.45 pagi, 11 Dis 2007 di jalan masuk ke Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, Kuala Lumpur.[10] Beliau didakwa di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya ialah Ishak Mohd Yusoff. Tian Chua melantik H.C. Lai sebagai peguam bela. Hakim kes ini ialah Majistret Faizi Che Abu. Kes ini ditunda pada 31 Mac 2009.[11]

Dalam perhimpunan haram di hadapan bangunan Parlimen itu , 29 orang ditahan termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim, Mohd Hatta Ramli dan Dr Lo`lo Ghazali, Datuk Mustafa Ali, Yap Swee Seng, Wong Chin huat, Mein Lor dan V Gayathri. Mereka mahu menghantar memorandum bagi menolak Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 untuk meminda umur persaraan dari 65 sekarang kepada 66 tahun bagi anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) .Ini ada kaitan dengan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang akan mencapai umur bersara .[12]

Pada 22 Oktober 2009, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua, selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan menggigit seorang anggota polis konstabel Mohd Rosyaidi Anuar (22) dan menghalangnya daripada menjalankan tugas. Tian Chua terlibat dalam perhimpunan di Parlimen pada 11 Disember 2007. Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan. Jika Tian Chua gagal dalam rayuannya terhadap hukuman tersebut, maka beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Batu.[13]

Tujuh ahli parlimen PKR lain mungkin hilang kelayakan sebagai ahli parlimen sebagaimana Tian Chua. Mereka ialah - Mohamad Azmin Ali, Sivarasa Rasiah, N Gobalakrishnan - Tony Pua (DAP), Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Hatta Ramli dan Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali dari PAS. Lain-lain ialah Ronnie Liu dan Lau Weng San yang turut menyertai perhimpunan haram. [14] Pada 18 Jun 2010,Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha mengurangkan denda Tian Chua kepada RM2000 sahaja . Dengan itu pilihan kecil Batu tidak perlu diadakan kerana Tian Chua masih layak sebagai ahli parlimen. Namun Pengerusi DAP Karpal Singh menyatakan pilihan raya perlu diadakan berdasarkan kes lampau Fan Yew Teng di Menglembu 1975 yang didenda RM2000.[15][16]Ghazali berkata keputusannya adalah berdasarkan penghakiman Mahkamah Agung 1993 kes Public Prosecutor lawan Leong Yin Ming yang hanya denda RM2,001 atau lebih yang akan meyebabkan perlucutan kerusi secara automatik.[17]Pada 23 Mei 2011, Mahkamah Rayuan menolak permohonan beliau untuk merayu hukuman denda berkenaan memandangkan notis itu lewat difailkan.[18]

Perhimpunan haram di Suria KLCC[sunting | sunting sumber]

Pada 26 Januari 2008, Tian Chua didakwa menyertai perhimpunan haram bersama peguam Chong Kok Wei@ Jonson Kok Wei Chong, 37, juruteknik Tan Chee Hooi, 33, anggota biro penerangan PKR Ginie Lim Siew Lin, 27, Mohd Azhar Yaacob, 25, dan bekas tentera Mohamed Nawi, 65. Mereka didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 188 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sebulan atau denda RM400 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Hakim ialah Mohamad Sakeri Mamat. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah. Kes didengar pada 23-25 Mac 2009.[19]

Rombongan ke Taipei[sunting | sunting sumber]

Pada 7-12 September 2008, Tian Chua mengetuai 4 pemimpin PKR ke Taipei, Taiwan untuk memujuk 49 ahli Kelab Penyokong Barisan Nasional melompat parti untuk menubuhkan kerajaan baru 16 September 2008. Pakatan Rakyat hanya memerlukan sekurang-kuranya 30 kerusi untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah 112 kerusi. Sasaran mudah ialah wakil dari Sabah dan Sarawak kerana banyak rekod lompat parti dan tidak puas hati terhadap BN di Semenanjung Malaysia pada ketika itu ekoran tsunami politik melanda pada Malaysia sejak dari tahun 2008. [20]

Terlibat dalam kemalangan jalan raya[sunting | sunting sumber]

Pada 12 Mac 2010, kemalangan jalan raya berlaku di KM49 Jalan Johor Baharu-Mersing berhampiran Hutan Lipur Panti, dekat Kota Tinggi. Akibatnya penunggang motosikal , Mohd Salleh Hamdan (22) koma dan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi. Mohd Salleh merupakan anggota tentera di Kem Iskandar,Mersing. Bagaimanapun Tian Chua dan pemandu kereta Mercedesnya Zaharuddin Ayob selamat. [21].[22]

Kenyataan Lahad Datu[sunting | sunting sumber]

Insiden tembak menembak yang berlaku di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dalam kenyataannya menerusi Keadilan Daily.Kenyataan Tian Chua itu mendapat kecaman dan kritikan daripada orang ramai menerusi laman sosial seperti twitter dan facebook.[perlu rujukan] Manakala menurut Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semua pihak sepatutnya bersatu padu bagi membantu menyelesaikan krisis pencerobohan oleh kumpulan yang mendakwa Tentera Diraja Kesultanan Sulu. Kenyataan Tian Chua itu dianggap tidak bertanggungjawab dan keterlaluan memandangkan tindakan pihak berkuasa terhadap kumpulan bersenjata dari selatan Filipina itu bersabit soal keselamatan dan keamanan negara yang turut melibatkan kematian beberapa anggota Komando.[23][24]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d From lawbreaker to lawmaker Diarkibkan 2008-04-23 di Wayback Machine, The Star, April 20, 2008
  2. ^ Aliran : The Rakyat have Awakened and They want Justice
  3. ^ Amnesty Internation : Malaysia: Fear of torture or ill-treatment / incommunicado detention / prisoners of conscience
  4. ^ Human Rights Watch : The Anwar Case and the Reformasi 10
  5. ^ Ramai Muka Baru Bertanding Pertama Kali Kalah
  6. ^ Tian Chua says he will not change his ways, New Straits Times, 22 Mac 2008.
  7. ^ "Tian Chua umum tidak pertahan Naib Presiden KEADILAN". Suara Keadilan. 26 Mac 2022. Dicapai pada 8 Januari 2023.
  8. ^ "Anwar, Rafizi diumum Presiden, Timbalan Presiden PKR". Sinar Online. 17 Julai 2022. Dicapai pada 8 Januari 2023.
  9. ^ "PKR secara rasmi pecat Tian Chua - Laporan". Astro Awani. 8 Januari 2023. Dicapai pada 8 Januari 2023.
  10. ^ Saya Diludah Di Bahagian Muka - Konstabel Rosyaidi
  11. ^ Bicara Tian Chua Tangguh Kerana Gangguan Teknikal
  12. ^ Pemimpin Kanan Parti Pembangkang Antara 29 Yang Ditahan Polis
  13. ^ "Tian Chua dihukum 6 bulan penjara, denda RM3,000", Malaysiakini.com, 22 Oktober 2009.
  14. ^ Bersih: Kemungkinan 10 lagi p'raya kecil
  15. ^ Status Chua: Hakim setuju berjumpa Isnin ini
  16. ^ ""Nazri: Tian Chua masih MP sah, terima keputusan", The Malaysian Insider". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-06-19. Dicapai pada 2010-06-18.
  17. ^ [http://www.malaysiakini.com/news/135924 "Hakim jelaskan kenapa kerusi Tian Chua tidak lucut", Malaysiakini.com, 29 Jun 2010.
  18. ^ "", Malaysiakini.com, 23 Mei 2011.
  19. ^ Tian Chua Dan Dr Mohd Hatta Antara Tujuh Didakwa Sertai Perhimpunan Haram Januari Lepas
  20. ^ 16 Sept Berlalu Tanpa Sebarang Kejutan
  21. ^ "Anggota tentera maut motosikal bertembung kereta Tian Chua". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-03-17. Dicapai pada 2010-03-13.
  22. ^ Anggota tentera maut nahas Diarkibkan 2011-06-17 di Wayback Machine BH. 2010/03/14.
  23. ^ Kenyataan Tian Chua berhubung insiden tembakan Lahad Datu diselar.
  24. ^ Aisha Geoffrey. "Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno – Tian", Keadilan Daily, Kuala Lumpur, 1 Mac 2013. Retrieved on 3 Mac 2013