Cik Siti Wan Kembang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

 Cik Siti Wan Kembang
Cik Siti Wan Kembang

Tempoh berjawat
1610 Masihi – Tidak diketahui
Didahului oleh Sultan Ahmad Shah ibni Almarhum Raja Muda Mansur Shah III
Digantikan oleh Puteri Saadong

Agama Islam

Apabila Sultan Mansur Shah (Kelantan) mangkat pada 1526 M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat pada 1548M, maka cucunda baginda Sultan Mansur yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1548M. Dengan gelaran Sultan Ahmad Shah ibni Almarhum Raja Muda Mansur Shah III. Ini kerana Raja Gombak tidak mempunyai anak.[1] Lalu baginda Sultan Ahmad telah berkahwin dengan Cik Banun Puteri Seri Nara D'Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.[2]

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1561M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Menurut buku Detik-detik Sejarah Kelantan karangan Sa'ad Shukri Haji Muda, apabila Raja Hussein mangkat pada tahun 1610M (1018H), maka Cik Siti Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan pada tahun yang sama. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disukai Baginda, iaitu persembahan daripada rakyat Baginda yang tinggal di Gunung Ayam.[3]

Gambar kijang ini telah diterap di atas wang emas dengan perbelanjaan negeri, dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada daripada lambang kebesaran negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini.

Dalam masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di Gunung Chinta Wangsa itu, maka disebelah timur laut negeri Kelantan telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, dibawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.

Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa, dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti, kerana Baginda tidak mempunyai puteri ataupun putera sebab baginda tidak pernah berkahwin.

Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.[4]

Memeluk Islam[sunting | sunting sumber]

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan, Tengku Mohd. Norhamzah Engku Hussin, 63, asalnya Cik Siti Wan Kembang bukanlah berpegang pada ajaran tauhid yakni Islam. Namun apabila tibanya pedagang-pedagang Arab ke Kelantan, baginda telah tertarik untuk mendekati agama itu. Bukti yang menunjukkan baginda asalnya bukan beragama Islam adalah nama belakang baginda iaitu Wan Kembang, bukannya Wan Fatimah atau Wan Aminah. Pedagang-pedagang Arab memanggilnya sebagai "Paduka Che Siti". Tengku Norhamzah menyifatkan baginda Cik Siti Wan Kembang selepas memeluk Islam, ialah seorang yang warak, ingatan berpanjangan terhadap wanita itu sehingga kini dan kehilangannya di Gunung Ayam yang dikatakan seperti ghaib sebagai antara ciri keramat.

Satu sumber dari catatan pengembara Islam tersohor, Ibn Battuta menyebutkan terdapat seorang raja perempuan beragama Islam bernama Urduga di Kuala Krai (dalam catatan disebut Kilu Krai). Raja perempuan itu pandai menunggang kuda, memanah dan pandai menulis tulisan Arab. Sesetengah sumber mengatakan Urduga ialah Cik Siti Wan Kembang. Tetapi dakwaan Urduga ialah Cik Siti Wan Kembang kebarangkalian mungkin kurang tepat kerana jika dilihat pada fakta, zaman eksplorasi Ibn Battuta (1304 - 1369), jelas menunjukkan beliau hidup 300 tahun lebih awal dari kewujudan Cik Siti Wan Kembang.

Buku Detik-detik Sejarah Kelantan menceritakan Cik Siti Wan Kembang telah membawa diri ke Gunung Ayam untuk beribadat menghambakan diri sepenuhnya kepada Allah dan kisah hidupnya tidak lagi diketahui.

Lihat Juga[sunting | sunting sumber]


Ralat petik: Tag <ref> ada tetapi tag <references/> tidak disertakan