Cuti-Cuti Cinta

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Cuti-Cuti Cinta
Poster keluaran tayangan
PengarahAhmad Idham
Lakon layarAhmad Idham
Dihasilkan olehDavid Teo
Dibintangi
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehMIG Pictures
Tarikh tayangan
  • 21 Oktober 2010 (2010-10-21) (Malaysia)
Masa tayangan
90 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
Pecah panggungRM 3.17 juta

Cuti-Cuti Cinta ialah sebuah filem komedi romantik Malaysia 2010 arahan Ahmad Idham terbitan Metrowealth Pictures. Filem yang dibintangi Farid Kamil, Nora Danish, dan Cat Farish ini mengisahkan kehidupan manusia yang saling mencari cinta sejati antara satu sama lain.[1] Filem ini ditayangkan pada 21 Oktober 2010.[2][3][4]

Plot[sunting | sunting sumber]

Eava Ealiana (Nora Danish) merupakan seorang pengarah disebuah syarikat kepunyaan bapanya, Tan Sri Zaini (Zaibo). Sebagai anak tunggal kesayangan, Eava dilimpahi dengan penuh kasih sayang dan kemewahan. Apabila dewasa, Eava yang berkelulusan luar negeri bekerja di syarikat bapanya. Eava merupakan seorang yang terlalu cerewet tentang segala-galanya, sombong dan suka membangga diri. Sering membebel jika tidak puas hati dan sangat tegas. Pekerja-pekerjanya lebih takutkan Eava berbanding ayahnya. Tan Sri Zaini mempunyai seorang kawan rapat, Tan Sri Ibrahim yang mempunyai seorang anak lelaki, Remy (Zed Zaidi). Remy seorang playboy yang cuma tahu menghabiskan harta ayahnya sahaja. Remy dan Eava disatukan atas tujuan perniagaan dan niat Tan Sri Ibrahim membolot harta Tan Sri Zaini.

Suatu hari Eava terserempak dengan Remy yang sedang bermesra bersama seorang wanita. Eava marah, lalu menumbuk Remy dan terus berlalu. Kecewa dengan tindakan Remy, Eava memandu keretanya tanpa tujuan lain, hanya semata-mata ingin melarikan diri daripada Remy dan masalah yang dihadapinya. Dia terus memandu sehingga sampai di sebuah hotel di tepi pantai. Setelah membuat tempahan, Eava masuk ke bilik tetapi tidak berpuas hati dengan keadaan bilik hotel itu. Dia memanggil pengurus hotel itu, En. Mahmod dan memberi komen terhadap berberapa perkara. En. Mahmood (Cat Farish) mengarahkan pekerjanya, Faustina (Zizi) dan Maliqurrahman (Adeep) melakukan perkara-perkara yang dikomen oleh Eava. Walaupun sudah dibetulkan, Eava masih tidak berpuas hati dan terus memberi komen. En. Mahmood yang tidak tahan dengan bebelan Eava turun ke kaunter. Omar Rudy (Farid Kamil) seorang lagi pekerja menawarkan dirinya untuk memuaskan hati Eava. Eava menyuruh Omar Rudy membuat apa sahaja mengikut suka hatinya dan Omar hanya membuat tanpa membantah. Akhirnya Eava berpuas hati dengan biliknya itu.

Esoknya, Eava memandu keretanya mengelilingi kawasan hotel. Eava sampai di sebuah kampung nelayan dan ternampak Omar Rudy, Faustina, Maliq dan Kris Dayana (Wangi Julianda) di dalam bot sedang bersiap-siap untuk pergi ke laut. Eava bertanya apa yang mereka buat dan mereka hanya memberitahu mereka tinggal di kampung dan menjadi nelayan, membantu bapanya selain dari bekerja di hotel tersebut. Eava seperti menyindir Omar Rudy dengan mengatakan mereka terpaksa melakukan dua kerja untuk mencari makan. Eava juga memperkecilkan kerja nelayan kerana menurut Eava, kerja nelayan adalah satu kerja yang mudah kerana tidak perlu berfikir jika dibandingkan dengan kerjanya sebagai pengarah syarikat. Omar Rudy mencabar Eava mengikutnya pergi ke laut menangkap ikan. Eava bersetuju. Maka mereka pun pergi ke laut untuk menangkap ikan dan Eava mengalami berbagai-bagai kesukaran dan berlaku pelbagai perkara lucu. Sejak hari itu, banyak lagi kejadian yang berlaku akibat pertentangan gaya hidup dan pemikiran dua golongan ini. Eava masih lagi dengan sikap berkeras hati dan sentiasa mencari jalan mengenakan Omar Rudy dan kawan-kawannya.

Suatu hari Eava memberitahu En. Mahmood yang dia perlukan seorang untuk mengiringinya semasa berada di hotel itu. En. Mahmood bersetuju. Eava mahukan Omar Rudy menjadi pengiringnya. Ini menimbulkan kemarahan kawan-kawannya. Faustina mula sedar yang Omar Rudy seperti sukakan Eava walaupun Omar tidak menyatakannya. Faustina dalam diam sukakan Omar Rudy tetapi kerana persahabatan mereka yang akrab dia menyembunyikan perasaannya. Faustina mula cemburukan Omar Rudy dan Eava. En. Mahmood menyedari perubahan Faustina itu lalu menyuruh Faustina memberitahu tentang isi hatinya tetapi dia tidak mahu. Dalam masa yang sama En. Mahmood sukakan Kris Dayana tetapi malu untuk menyatakannya. Sementara itu di Kuala Lumpur, ibu bapa Eava dan Remy sibuk mencari Eava. Setelah mereka mengetahui dimana Eava berada, mereka segera pergi ke hotel tersebut. Tiba di hotel tersebut, En. Mahmood memberitahu mereka, Eava dan Omar Rudy pergi ke laut dan jika mereka ingin mengetahui lebih lanjut, mereka harus berjumpa ibu bapa Omar Rudy. Mereka pergi ke kampung nelayan dan berjumpa dengan ibu bapa Omar Rudy. Eava dan Omar Rudy berjalan-jalan mengelilingi pulau-pulau yang ada di sekitar itu dengan menaiki bot. Tiba-tiba di tengah laut, bot mereka rosak.

Oleh kerana cuaca tidak elok dan angin yang kuat, tiba-tiba bot mereka dipukul ombak yang kuat, rosak dan terdampar di sebuah pulau yang tiada orang. Omar Rudy hubungi Kris tetapi Kris memberitahu bantuan hanya akan sampai esok kerana cuaca tidak elok. Jadi mereka hanya menunggu sampai hari esok. Remy bertambah geram dan mula menyalahkan semua orang dan Tan Sri Zaini dan Puan Sri (Azizah Mahzan) malu dengan sikap Remy. Di pulau itu, mulut Eava hanya membebel menyalahkan Omar Rudy tetapi Omar tetap bersabar. Omar Rudy mula mencari makanan, membuat tempat untuk mereka berteduh tetapi Eava tetap membebel kerana terpaksa makan dan bermalam di situ. Apa yang Eava pelik mengenai sikap Omar Rudy yang tenang. Dapatkah Omar Rudy melembutkan hati Eava, dan dapatkah Faustina, Kris Dayana dam Maliqqurahman menerima Eava? Sudah tentulah. Selepas itu pun mereka berseronok dan menyanyi di atas bot mereka.......

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Norliza Mohd Zakaria (21 Oktober 2010). "Nora lama menanti Farid". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-24. Dicapai pada 28 Oktober 2017.
  2. ^ Wahiduzzaman (21 Oktober 2010). ""Cuti-Cuti Cinta" Yang Hambar". mSTAR Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-24. Dicapai pada 28 Oktober 2017.
  3. ^ Budiey (13 Oktober 2010). "Sekitar Prebiu FIiem Cuti Cuti Cinta". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 28 Oktober 2017.
  4. ^ "Farid Kamil bual berahi pada Nora Danish dalam Cuti Cuti Cinta". Media Malaya. 16 Oktober 2010. Dicapai pada 28 Oktober 2017.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]