Dasar Satu China

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Dasar Satu China (Cina Ringkas: 一个中国; Cina Tradisional: 一個中國; pinyin: yī gè Zhōngguó) merupakan prinsip bahawa di dunia ini hanya terdapat sebuah negara China, iaitu bahawa tanah besar China, Hong Kong, Makau dan Taiwan semuanya merupakan bahagian-bahagian China. Penerimaan atau penolakan prinsip ini merupakan faktor utama hubungan antara Republik Rakyat China (PRC) yang mentadbir tanah besar China, Hong Kong dan Makau, dan Republik China (ROC) yang mentadbir Taiwan.

Dasar Satu China ini kuat dipegang oleh PRC yang juga sering menyamakan China dengan PRC. Ini memerlukan semua negara yang hendak menjalin hubungan diplomatik dengan PRC untuk mengiktiraf versi dasarnya serta mengelak daripada menjalin hubungan dengn ROC. Pengkuan bahawa hanya terdapat sebuah negara China (meskipun tidak terhad kepada PRC secara definasi) juga menjadi syarat yang ditetapkan PRC bagi rundingan dengan kerajaan Republik China.

Pendirian ROC terhadap dasar ini amat berbelah-bagi. Dalam kata perundangan, Republik China masih mengekalkan versi prinsip "Satu China"nya dengan mengaku kedaulatan terhadap tanah besar secara rasmi, namun akuan ini tidak lagi dikejar secara aktif. Parti-parti Perikatan Pan-Biru lebih menerima Dasar Satu China, tetapi parti-parti tersebut tidak menyamakan China dengan PRC; bekas pengerusi Kuomintang (KMT) Ma Ying-jeou, contohnya, menyatakan pada tahun 2006 bahawa "Satu China ialah Republik China (sahaja)". Parti-parti Perikatan Pan-Hijau pula amat membangkang dasar ini, kerana mereka melihat Taiwan sebagai sebuah negara yang terpisah dari China.

Tuntutan perundangan[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua kerajaan ROC dan PRC telah mengambil langkah undang-undang rasmi untuk menyahsahkan taraf satu sama lain sebagai kerajaan kebangsaan. Pihak ROC baru-baru ini kurang lantang menafikan kesahan PRC, namun masih mengekalkan undang-undang berkenaan tinggalan zaman dahulu.

Republik Rakyat China (PRC)[sunting | sunting sumber]

  • Mukadimah Perlembagaan:"Taiwan ialah sebahagian wilayah suci Republik Rakyat China. Adalah tugas yang tinggi dan murni bagi seluruh rakyat China, termasuk teman-teman senegeri di Taiwan, untuk menyempurnakan tugas besar menyatukan semula ibu pertiwi."
  • Undang-Undang Anti-Pemisahan:
Perkara 2:
Hanya terdapat sebuah negara China di dunia ini. Kedua-dua tanah besar dan Taiwan sekali tergolong dalam satu China. Kedaulatan dan keutuhan wilayah China tidak membenarkan perpecahan. Penjagaan kedaulatan dan keutuhan wilayah China ialah kewajiban bersama semua rakyat China, termasuk teman-teman senegeri di Taiwan.
Taiwan ialah sebahagian daripada negara China. Negara tidak akan membenarkan kuasa-kuasa pemisah "kemerdekaan Taiwan" memisahkan Taiwan dari China dengan mana-mana nama dan apa-apa cara sekalipun."
Perkara 5: Pendukungan prinsip satu China ialah asas kepada penyatuan semula negara secara damai.
Penyatuan semula negara secara damai paling bermanfaat kepada kepentingan asas teman-teman senegeri di kedua-dua tebing Selat Taiwan. Negara akan berusaha seikhlas-ikhlasnya untuk mencapai penyatuan semula secara damai.
Setelah negara disatukan semula dengan damainya, Taiwan boleh mengamalkan sistem yang berbeza daripada tanah besar serta menikmati tahap autonomi yang tinggi.

Republik China (ROC)[sunting | sunting sumber]

  • Perkara 4 Perlembagaan:"Wilayah Republik China mengikut sempadan-sempadan kebangsaan sedia ada tidak boleh diubah kecuali melalui ketetapan Majlis Kebangsaan." (Berkuatkuasa 1948 hingga 2000.)
  • Perkara 4 Tambahan ke-6 kepada Perlembagaan: "Wilayah Republik China yang ditentukan oleh sempadan-sempadan kebangsaan sedia ada, tidak boleh diubah melainkan dimulakan atas cadangan satu perempat daripada semua ahli Yuan Perundangan, diluluskan oleh tiga perempat ahli-ahli Yuan Perundangan yang hadir di mesyuarat yang memerlukan korum tiga perempat daripada semua ahli, dan diluluskan oleh tiga perempat daripada wakil-wakil Majlis Kebangsaan yang hadir di mesyuarat yang memerlukan korum dua pertiga daripada semua wakil." (Berkuatkuasa 2000 hingga 2005)
  • Perkara 4 Perkara-Perkara Tambahan Perlembagaan Republik China: "Wilayah Republik China yang ditentukan oleh sempadan-sempadan kebangsaan sedia ada, tidak boleh diubah melainkan dimulakan atas cadangan satu perempat daripada semua ahli Yuan Perundangan, diluluskan oleh sekurang-kurangnya tiga perempat daripada ahli-ahli yang hadir di mesyuarat yang dihadiri sekurang-kurangnya tiga perempat daripada jumlah ahli Yuan Perundangan, dan disetujui oleh para pemilih di kawasan bebas Republik China dalam pungutan suara yang diadakan menjelang tamat tempoh enam bulan pengumuman cadangan kepada awam, di mana bilangan undian sah yang menyokong perubahan mencecah setengah daripada jumlah pemilih." (Berkuatkuasa 2005 hingga kini)

Pentafsiran dasar Satu China[sunting | sunting sumber]

Satu pentafsiran yang diterima ketika Perang Dingin, adalah di antara Republik Rakyat China atau Republik China, hanya satu daripadanya merupakan kerajaan sah yang tunggal bagi seluruh China sementara kerajaan yang lain itu adalah tidak sah. Kebanyakan blok barat menjalin hubungan dengan ROC sehingga 1970-an di bawah dasar ini, manakala kebanyakan blok timur menjalin hubungan dengan PRC. Sementara kerajaan ROC pernah menganggap dirinya tinggalan kerajaan sah bagi sebuah negara yang ditakluki apa yang disangkanya sebagai pemberontak Komunis, pihak PRC pula mendakwa mengganti ROC di Perang Saudara China. Meskipun ROC tidak lagi menggambarkan dirinya sebagai kerajaan sah China yang tunggal, namun pendirian PRC tidak berubah sehingga awal 2000-an, apabila PRC mula melembutkan pendiriannya terhadap isu ini untuk memupuk penyatuan semula China.

Pendirian baharu PRC dijelaskan dalam Undang-Undang Anti-Pemisahan tahun 2005, yang menyatakan bahawa terdapat sebuah negara China yang kedaulatannya tidak terpecah, tetapi tidak terang-terang menyamakan China ini dengan PRC. (Hampir kesemua undang-undang PRC mempunyai akhiran (awalan dalam tatabahasa Cina) "... Republik Rakyat China" dalam nama rasminya, kecuali Undang-Undang Anti Pemisahan.) Beijing tidak pernah mengeluarkan kenyataan utama yang menyamakan satu China dengan PRC selepas tahun 2004, dan sejak itu telah menganjakkan definisi satu Chinanya untuk sedikit sebanyak merangkumi konsep bergelar sepersetujuan 1992 iaitu terdapat satu China yang menrangkumi Tanah Besar dan Taiwan tetapi lain orang lain tafsirannya mengenai Satu China.

Satu lagi pentafsiran mengenai satu China ialah cuma terdapat tiga kawsan geografi di China, yang terpisah kepada dua kerajaan China akibat Perang Saudara China. Inilah pendirian kebanyakan penyokong penyatuan semula China di tanah besar China masa kini yang percaya bahawa "satu China" ini wajar bersatu semula di bawah satu kerajaan tunggal. Sejak tahun 2005, pendirian ini cukup menghampiri pendirian PRC untuk membolehkan rundingan tahap tinggi antara Parti Komunis China dan Campuran Pan-Biru Taiwan.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]