Dasar luar Amerika Syarikat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Amerika Syarikat

Rencana ini sebahagian daripada siri:
Politik dan kerajaan
Amerika Syarikat



Negara lain · Atlas
 Portal Kerajaan A.S.

Dasar luar Amerika Syarikat ialah dasar untuk Amerika Syarikat berhubungan dengan negara-negara lain serta menetapkan piawaian interaksi untuk pertubuhan, syarikat dan warganegaranya. A.S. amat besar pengaruhnya di dunia. Jangkauan Amerika Syarikat disokong oleh sebuah ekonomi bernilai $15 trilion,[1] lebih kurang satu perempat KDNK sedunia, dan belanjawan pertahanan sebanyak $711 bilion, yang bersamaan dengan sekitar 43% perbelanjaan tentera sedunia. Setiausaha Negara A.S. merupakan menteri luar dan pegawai yang dipertanggungjawabkan dengan diplomasi sesama negara, namun presiden memegang kuasa mutlak ke atas dasar luar negara; dasar itu merangkumi penakrifan kepentingan negara serta strategi-strategi yang dipilih untuk melindungi negara dan mencapai matlamat dasar.

Matlamat-matlamat rasmi dasar luar Amerika Syarikat, seperti yang disebut dalam Agenda Dasar Luar Jabatan Negara A.S., adalah "mewujudkan dunia yang lebih selamat, demokratik dan makmur demi manfaat rakyat Amerika dan masyarakat antarabangsa."[2] Selain itu, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan Amerika Syarikat telah menyatakan matlamat-matlamat tersendiri dalam bidang kuasanya, antaranya: "kawalan eksport, termasuk pengawalan teknologi nuklear dan perkakasan nuklear; langkah-langkah untuk memupuk perhubungan perdagangan dengan negara-negara luar serta melindungi perniagaan Amerika di luar negara; Perjanjian komoditi antarabangsa; pendidikan antarabangsa; dan perlindungan warganegara Amerika di luar negara dan ekspatriasi."[3] Dasar luar dan usaha bantuan luar AS acap kali menjadi subjek perbahasan, pujian dan bidasan di dalam dan luar negara.[4]

Kuasa Presiden dan Kongres[sunting | sunting sumber]

Tertakluk pada nasihat dan restu Senat AS, Presiden Amerika Syarikat merundingkan perjanjian dengan bangsa-bangsa luar, tetapi perjanjian berkuatkuasa hanya jika diratifikasi oleh dua pertiga ahli Senat. Presiden juga merupakan Panglima Agung Tentera Amerika Syarikat, oleh itu beliau amat berkuasa ke atas angkatan tentera, tetapi Kongres sahaja yang berkuasa mengisytiharkan perang, kerana belanjawan awam dan tentera digubal oleh Kongres. Setiausaha Negara Amerika Syarikat merupakan menteri luar AS dan konduktor utama diplomasi antara negara. Setiausaha Negara dan para duta sekali dilantik oleh Presiden atas nasihat dan restu Senat. Kongres juga mempunyai kuasa untuk memantau perdagangan dengan negara luar.[5]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Arah aliran yang paling ketara berkenaan dasar luar AS sejak Revolusi Amerika ialah peralihan daripada dasar pemencilan sebelum dan selepas Perang Dunia Pertama, kepada kebangkitannya sebagai kuasa dunia dan hegemon global sewaktu dan semenjak Perang Dunia Kedua dan akhir Perang Dingin pada abad ke-20.[6] Sejak abad ke-19, dasar luar AS juga disifatkan dengan peralihan dari fahaman realisme kepada fahaman idealis atau Wilsonisme dalam perhubungan antarabangsa.[7]

Tema-tema dasar luar sangat nyata dalam ucapan perpisahan George Washington; antara yang dirangkuminya ialah: mengamalkan sikap penuh percaya dan adil kepada semua bangsa serta memupuk kedamaian dan keharmonian sesama bangsa, di samping mendukung perdagangan dengan semua bangsa, tidak termasuk "antipati yang berakar umbi terhadap negara-negara tertentu, serta rasa cinta yang ghairah terhadap negara-negara lain" dan "menghindari perikatan yang berkekalan dengan mana-mana tempat di dunia luar". Dasar-dasar ini dijadikan asas Parti Federalis pada 1790-an. Akan tetapi, lawan Federalis iaitu Jeffersonian takut akan Britain dan menyebelahi Perancis pada 1790-an, sehingga mengisytiharkan perang terhadap Britain pada tahun 1812. Setelah berpakat dengan Perancis pada tahun 1778, AS tidak menandatangani sebarang perjanjian tetap sehinggalah Perjanjian Atlantik Utara pada tahun 1949. Dari semasa ke semasa, timbulnya bermacam-macam tema, matlamat utama, sikap, atau pendirian yang disuratkan oleh pelbagai 'doktrin' Presiden. Mula-mulanya, amalan ini tidak begitu menonjol, tetapi semenjak Perang Dunia Kedua, ramai presiden yang melahirkan doktrin masing-masing.

Biarpun sekali-sekala berselisih dengan kuasa-kuasa Eropah seperti ketika Perang 1812 dan Perang Sepanyol-Amerika Syarikat 1898, namun dasar luas AS berupa peluasan perdagangan dan skop luar negara pada abad ke-19, serta mengamalkan dasar mengelakkan peperangan dengan dan sesama kuasa-kuasa Eropah. Berkenaan sempadan tempatannya, Pembelian Louisiana pada tahun 1803 menggandakan keluasan tanah negara; Sepanyol menyerahkan wilayah Florida pada tahun 1819; Texas diilhakkan pada tahun 1845; California, Arizona dan New Mexico dirampas ekoran perang dengan Mexico pada tahun 1848. AS membeli Alaska daripada Empayar Rusia pada tahun 1867, kemudian mengilhakkan Republik Hawaii pada tahun 1898. Kemenangan perang ke atas Sepanyol pada tahun 1898 mendatangkan Filipina dan Puerto Rico, di samping kuasa memantau Cuba. Eksperimen imperialismenya yang singkat berakhir menjelang tahun 1908, apabila AS mengalihkan perhatiannya kepada Terusan Panama serta penstabilan kawasan-kawasan selatan termasuk Mexico.

Abad ke-20 diisi oleh dua perang dunia yang mana Amerika Syarikat bersama sekutu-sekutunya menumpaskan musuh mereka serta meninggikan martabatnya di dunia. Empat Belas Perkara Presiden Wilson yang timbul daripada program idealis Wilsonisme untuk menyebarkan demokrasi serta menentang militarisme untuk menamatkan peperangan. Ia menjadi asas Gencatan Senjata (penyerahan kalah) Jerman dan Persidangan Damai Paris 1919. Hasilnya iaitu Persetiaan Versailles, kesan corak wilayah yang membebankan oleh sekutu-sekutu Eropah, menunjukkan tidak cukupnya keakuran dengan perkara-perkara tersebut, maka AS menandatangani perjanjian yang berasingan dengan setiap satu musuhnya; disebabkan tentangan Senat juga, AS tidak pernah menyertai Liga Bangsa-Bangsa yang ditubuhkan sebagai hasil inisiatif Wilson. Pada 1920-an, AS mengikuti laluan yang bebas dan menjayakan rancangan pelucutan senjata tentera laut dan pembiayaan semula ekonomi Jerman. New York menjadi pusat kewangan dunia, tetapi dengan itu, Keruntuhan Wall Street 1929 menyebabkan seluruh dunia tersungkur dalam Kemelesetan Besar. Dasar perdagangan Amerika amat bergantung pada tarif tinggi ketika pemerintahan Parti Republikan, dan perjanjian perdagangan salingan ketika pemerintahan Parti Demokrat, tetapi apapun, jumlah eksport AS amat sedikit pada 1930-an.

Amerika Syarikat mengamalkan dasar pemencilan pada tahun 1932 hingga 1938, tetapi Presiden Franklin D. Roosevelt menghala ke arah sokongan padu kepada Pihak Berikat dalam perjuangan mereka menentang Jerman dan Jepun. Hasil daripada perbahasan dalaman yang hangat, dasar negara adalah menjadi Gudang Demokrasi dengan membiayai dan melengkapkan tentera-tentera Berikat tanpa menghantar askar tempur Amerika. Roosevelt menyebutkan empat kebebasan asas yang wajar dinikmati oleh rakyat "di seluruh dunia", termasuklah kebebasan bersuara dan beragama, di samping kebebasan daripada serba kekurangan dan ketakutan. Roosevelt membantu menetapkan syarat-syarat dunia pasca-perang di kalangan sekutu berpotensi di Persidangan Atlantik; sesetengah perkara disertakan untuk membetulkan kepincangan dahulu yang menjadi langkah ke arah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dasar Amerika adalah untuk mengancam Jepun, mengusir kuasa Jepun dari China, serta melindungi Kesatuan Soviet daripada ancaman Jepun. Bagaimanapun, Jepun bertindak balas dengan serangan ke atas Pearl Harbor pada Disember 1941, maka AS berperang dengan Jepun, Jerman dan Itali. Daripada pinjaman yang dihulurkan kepada para sekutu pada Perang Dunia Pertama, AS memberikan geran Pinjam-Pajak sebanyak $50,000,000,000. Dengan kerjasama rapat bersama Winston Churchill dari Britain, dan Joseph Stalin dari Kesatuan Soviet, Roosevelt menghantar bala tentera ke rantau Pasifik untuk melawan Jepun, kemudian ke Afrika Utara untuk menentang Itali dan Jerman, dan akhirnya ke Eropah pada tahun 1944 untuk melawan Jerman. Ekonomi Amerika pesat membangun, menggandakan pengeluaran industri dan membina sejumlah banyak pesawat, kapal, kereta kebal, senjata, dan bom atom. Kebanyakan perjuangan perang Amerika diusahakan oleh pengebom strategik yang membenamkan kota-kota di Jepun dan Jerman.

Selepas perang, AS bangkit sebagai kuasa ekonomi bukan penjajah terbesar yang berpengaruh luas di hampir seluruh dunia. Bagaimanapun, sejurus selepas itu, dunia mengalami perpecahan kepada dua puak besar dalam Perang Dingin, iaitu sebelah diketuai oleh AS dan sebelah lagi oleh Kesatuan Soviet, tetapi situasi ini turut mencetuskan kewujudan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Pergelutan ideologi ini berterusan hingga menjelang akhir abad ke-20. AS mengambil dasar pembendungan untuk membasmi peluasan pengaruh Soviet, termasuk beberapa perang proksi yang ada menang ada kalahnya. Pada tahun 1991, Kesatuan Soviet berpecah menjadi pelbagai negara, maka berakhirlah Perang Dunia sementara AS menjalin hubungan diplomatik dengan Persekutuan Rusia dan negara-negara bekas Soviet yang lain secara berasingan. Dengan perubahan besar daripada konfrontasi diplomatik dan ketenteraan selama 45 tahun ini, penggubal dasar AS berhadapan dengan cabaran baru. Dasar luar AS masih bercirikan komitmen kepada perdagangan bebas, perlindungan kepentingan negara, dan keprihatinan terhadap hak asasi manusia.

Pada abad ke-21, pengaruh AS masih kuat tetapi agak merosot dari segi keluaran ekonomi berbanding negara-negara yang bangkit seperti China, India, Rusia, Brazil, dan Kesatuan Eropah yang baru dibentuk. Masih ada masalah besar seperti perubahan iklim, penyebaran nuklear, dan ancaman keganasan nuklear. Dalam buku The Next American Century, pengupas dasar luar Hachigian dan Sutphen mengulas bahawa keenam-enam kuasa tersebut mempunyai kepentingan diri yang serupa dalam kestabilan, pencegahan pengganas dan perdagangan; jika mereka dapat bersepakat, maka puluhan tahun yang seterusnya bakal diserikan dengan pertumbuhan dan kemakmuran yang damai.[8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Bureau of Economic Analysis, http://www.bea.gov/newsreleases/national/gdp/2011/pdf/gdp4q10_adv.pdf
  2. U.S. Dept of State - Foreign Policy Agenda
  3. Committee on Foreign Affairs: U.S. House of Representatives
  4. http://www.commondreams.org/headlines02/0204-01.htm
  5. James M. McCormick, American Foreign Policy and Process (2009) ch 7-8
  6. George C. Herring, From Colony to Superpower: U.S. Foreign Relations Since 1776 (2008)
  7. Richard Russell, "American Diplomatic Realism: A Tradition Practised and Preached by George F. Kennan," Diplomacy and Statecraft, Nov 2000, Vol. 11 Issue 3, pp 159-83
  8. Nikolas K. Gvosdev (2008-01-02). "FDR's Children". National Interest. Diperoleh pada 2010-01-13. "Hachigian ... and Sutphen ... recognize that the global balance of power is changing; that despite America's continued predominance, the other pivotal powers "do challenge American dominance and impinge on the freedom of action the U.S. has come to enjoy and expect." Rather than focusing on the negatives, however, they believe that these six powers have the same vested interests: All are dependent on the free flow of goods around the world and all require global stability in order to ensure continued economic growth (and the prosperity it engenders)." 

Templat:United States policy Templat:Foreign relations of the United States