DeHearty

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari De Hearty)
DeHearty
Poster Kumpulan Dehearty
Latar belakang
Berasal dariMalaysia Malaysia
GenreNasyid
PekerjaanVokal / Pemuzik
Tahun aktif2004-2008
Syarikat rakaman
NAR Records
Pengkarya berkait
Berkumpulan
Bekas ahliHisyam Ahmad
Azrul Azlan
Zulfahmi
Syadzwarie

Kumpulan DeHearty merupakan sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang aktif di Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu nasyid Melayu.

Sejarah Penubuhan[sunting | sunting sumber]

Kumpulan DeHearty telah ditubuhkan pada Ogos 2003 oleh Hisyam bin Ahmad, bekas anggota kumpulan In-Team yang ketika itu telah tamat pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Penubuhan DeHearty bermula apabila Hisyam yang baru setahun meninggalkan In-Team dihampiri oleh pihak pengurusan NAR Records, sebuah syarikat rakaman terkenal yang pernah mengedarkan album In-Team serta anak-anak didik Hijjaz yang lain iaitu UNIC dan Ae-man. Pada mulanya, NAR Records menawarkan Hisyam untuk menjadi artis rakaman mereka dan merakamkan album solo. Namun, Hisyam yang sudah biasa bergerak secara berkumpulan berasa tidak yakin untuk memulakan karier solo, lantas meminta NAR Records untuk menubuhkan kumpulan nasyid yang akan diketuai oleh beliau sendiri selaku penyanyi utama. Akhirnya NAR Records memberi persetujuan untuk Hisyam berbuat demikian dan bermulalah misi Hisyam untuk mencari 3 anggota bagi melengkapkan kumpulan yang akan ditubuhkan oleh beliau.

Hasil sesi ujibakat yang dilakukan oleh Hisyam, akhirnya beliau berjaya mendapatkan tiga ahli baharu iaitu Azrul Azlan (Azrul), Zulfahmi (Zul) dan Syadzwarie (Warie). Setelah lengkap empat orang anggota, maka secara rasmi mereka menamakan kumpulan mereka sebagai DeHearty (sebutan "DiHati"). Mereka kemudiannya merakamkan lagu-lagu mereka di studio NAR Records. Setelah beberapa bulan mereka merakamkan lagu, akhirnya siaplah album pertama DeHearty yang diberi judul Di Hati pada tahun 2004. Album ini memperkenalkan DeHearty sebagai kumpulan nasyid yang boleh berdiri sebaris dengan kumpulan nasyid lain seperti Hijjaz, In-Team, UNIC, Mestica, Rabbani dan Raihan. Album ini memperkenalkan lagu-lagu hit mereka seperti Inspirasi Hati, Di Hati, Pasrah Segalanya, Bidadari Hidupku, Kembara Hidup, Kasih Sayang dan sebuah lagu sirah berjudul Abu Bakar as-Siddiq. Biarpun mereka dikenali ramai, namun ada sedikit kontroversi yang melanda mereka apabila ada yang mengatakan bahawa lagu Pasrah Segalanya sebenarnya ditujukan kepada kumpulan lama Hisyam iaitu In-Team berdasarkan pada keterangan di kulit album Di Hati itu. Namun, kontroversi itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang maklum balas dari kedua-dua pihak.

Setahun kemudian, mereka telah menghasilkan album kedua yang berjudul Insan Istimewa yang dikeluarkan pada tahun 2005. Album ini melonjakkan lagi nama mereka dengan lagu-lagu hit seperti Wanita, Permata Yang Dicari, Cinta Bersulam Noda dan sebuah lagu sirah yang berjudul Siti Zulaikha.

Namun selepas album Insan Istimewa, DeHearty seakan menyepi dari dunia nasyid berikutan perubahan landskap muzik yang pada ketika itu cenderung kepada lagu-lagu indie. Akhirnya kumpulan ini tidak lagi aktif biarpun mereka sebenarnya telah menandatangani perjanjian untuk membolehkan aktiviti seni mereka diuruskan oleh Inteam Records pada tahun 2007.

Ahli[sunting | sunting sumber]

  1. Hisyam bin Ahmad (Hisyam)
  2. Mohd Azrul Azlan bin Abd Hamid (Azrul)
  3. Zulfahmi bin Said (Zul)
  4. Syadzwarie bin Mohd Dom (Warie)

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Tahun Judul Jualan
2004 Di Hati
2005 Insan Istimewa
  • Dikeluarkan : 2005
  • Label : NAR Records

Album[sunting | sunting sumber]

  • Album Pertama - Di Hati
  • Album Kedua - Insan Istimewa (25 Julai 2005)

Lagu-lagu[sunting | sunting sumber]

  1. Abu Bakar as-Siddiq
  2. Balik Kampung
  3. Bidadari Hidupku
  4. Cinta Bersulam Noda
  5. Di Hati
  6. Erti Persahabatan Ini
  7. Indahnya Ciptaan-Mu
  8. Inspirasi Hati
  9. Janjiku
  10. Kasih Sayang
  11. Kau Hadir
  12. Kembara Hidup
  13. Pasrah Segalanya
  14. Pengantin Baru
  15. Permata Yang Dicari
  16. Selawat Burdah
  17. Siti Zulaikha
  18. Wanita

Trivia[sunting | sunting sumber]

  • Pada tahun 2015, Hisyam yang merupakan penyanyi utama & ketua kumpulan DeHearty telah kembali menganggotai kumpulan asalnya, Inteam yang dianggotai oleh sahabat-sahabatnya iaitu Syah, Hazamin dan Rahim.
  • Azrul Azlan kini dianugerahkan gelaran doktor dan masih terlibat dalam industri, namun hanya di belakang tabir.
  • Azrul Azlan merupakan pencipta lagu dan penulis lirik lagu Cahaya 114 nyanyian Khai Bahar.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]