Dewan Perwakilan Rakyat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Coat of arms of the People's Representative Council of Indonesia.svg
Rencana ini adalah sebahagian daripada siri
Sistem Ketatanegaraan
Republik Indonesia
National emblem of Indonesia Garuda Pancasila.svg

Perlembagaan Republik Indonesia 1945

Majlis Musyawarah Rakyat
Dewan Perwakilan Rakyat
Dewan Perwakilan Daerah

Presiden
Kementerian Negara
Sekretariat Negara
Sekretariat Kabinet
Dewan Pemerintah Bukan Jabatan
Kejaksaan
Badan Luar Struktur
Badan Bebas
Tentera Nasional Indonesia
Polis Negara RI
Perwakilan RI di Luar Negeri

Mahkamah Agung
Mahkamah Perlembagaan
Suruhanjaya Kehakiman

Badan Pemeriksa Kewangan

Lihat juga:
Pemerintahan Daerah
Dewan Perwakilan Rakyat Daerah

Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) ialah dewan negara dalam sistem ketatanegaraan Republik Indonesia yang merupakan dewan perwakilan rakyat, sebagaimana yang ternyata daripada namanya. Dewan ini memegang kekuasaan untuk menggubal undang-undang, dan memainkan peranan perundangan, belanjawan, dan pengawasan.

DPR terdiri daripada anggota-anggota parti politik yang menang dalam pilihan raya umum. Anggota DPR berjumlah 550 orang dan berkhidmat selama lima tahun, dengan akhir tempoh mereka berbetulan dengan waktu anggota-anggota DPR yang baru mengangkat sumpah. Ketua DPR pada saat ini ialah Marzukie Ali.


Tugas dan bidang kuasa[sunting | sunting sumber]

Tugas dan bidang kuasa DPR antara lain adalah seperti yang berikut:

  • Membentuk undang-undang yang dibincangkan dengan Presiden untuk mendapat persetujuan bersama
  • Membahaskan dan memberikan persetujuan terhadap Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-undang
  • Menerima dan membahaskan rang undang-undang yang diajukan oleh Dewan Perwakilan Daerah (DPD) yang berkaitan dengan bidang tertentu dan membuat keputusan terhadap pelulusannya
  • Menetapkan belanjawan bersama Presiden, dengan memperhatikan pertimbangan DPD
  • Mengawasi pelaksanaan undang-undang, belanjawan, serta dasar-dasar kerajaan
  • Memilih anggota-anggota Badan Pemeriksa Kewangan dengan memperhatikan pertimbangan DPD
  • Membahas dan mengambil tindakan lanjut terhadap hasil pemeriksaan kebertanggungjawaban kewangan negara yang disampaikan oleh Badan Pemeriksa Kewangan;
  • Memberikan persetujuan kepada Presiden atas pelantiknya, dan pemberhentian anggota Suruhanjaya Kehakiman
  • Memberikan persetujuan terhadap calon Hakim Agung yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Kehakiman supaya dapat ditetapkan oleh Presiden
  • Memilih tiga orang calon anggota Hakim Perlembagaan dan mengajukannya kepada Presiden untuk ditetapkan;
  • Memberikan cadangan kepada Presiden untuk melantik duta, menerima penempatan duta negara yang lain, dan memberikan pertimbangan dalam pemberian amnesti dan pemansuhan
  • Memberikan persetujuan kepada Presiden untuk mengisytiharkan perang, membuat perdamaian, serta perjanjian dengan negara-negara yang lain
  • Menyerap, menghimpun, menampung, dan mengambil tindakan lanjut terhadap aspirasi masyarakat

Hak anggota DPR[sunting | sunting sumber]

Anggota-anggota DPR memiliki hak tafsiran, mengundi, mengutarakan pendapat, cadangan dan pertanyaan, serta mengajukan rang undang-undang. Selain itu, mereka juga memiliki hak membela diri, hak kekebalan, dan hak protokol.

Berdasarkan Undang-undang Nombor 22 Tahun 2003 tentang Undang-undang Susunan dan Kedudukan (Susduk) dalam melaksanakan tugas dan bidang kuasanya, DPR berhak untuk meminta penjawat negara, penjawat pemerintah, badan undang-undang, atau warganegara untuk memberikan keterangan. Jika permintaan ini tidak dipatuhi, maka saman boleh dikenakan, sesuai dengan peraturan perundangan. Jika saman ini tidak dipenuhi tanpa alasan yang sah, orang yang berkenaan boleh ditahan sehingga 15 hari, sesuai dengan peraturan perundangan.

Alat-alat DPR[sunting | sunting sumber]

Alat-alat DPR antara lain terdiri daripada: Pimpinan, Suruhanjaya, Badan Musyawarah, Badan Perundangan, Badan Urusan Rumah Tangga, Badan Kerjasama Antara Parlimen, dan Jawatankuasa Anggaran.

Pimpinan DPR[sunting | sunting sumber]

Kedudukan Pimpinan dalam DPR biasa dikatakan merupakan jurucakap Parlimen. Peranan utamanya umumnya adalah untuk mewakili DPR secara simbolik dalam hubungannya dengan lembaga eksekutif, lembaga-lembaga tinggi negara yang lain, dan lembaga-lembaga antarabangsa, serta memimpin pentadbiran lembaga secara umum, termasuk memimpin sidang pleno dan hukuman atau pemulihan.

Pimpinan DPR bersifat kolektif, dan terdiri daripada seorang ketua dan sehingga empat orang timbalan ketua yang mencerminkan parti-parti terbesar. Pimpinan DPR dipilih daripada dan oleh para anggota.

Suruhanjaya[sunting | sunting sumber]

Suruhanjaya ialah unit kerja utama dalam Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Hampir seluruh kegiatan yang berkaitan dengan peranan DPR dikerjakan dalam Suruhanjaya. Setiap anggota DPR (kecuali pimpinan) harus menjadi anggota kepada salah satu suruhanjaya. Pada umumnya, penyertaan Suruhanjaya amat berkait dengan latar belakang keilmuan atau penguasaan anggota terhadap masalah dan isi pokok yang ditangani oleh Suruhanjaya.

Pada saat ini, DPR mempunyai 11 buah Suruhanjaya, dengan ruang lingkup tugas dan pasukan kerja masing-masing:


Suruhjaya Bidang Ketua Suruhanjaya
Nama Parti
I Pertahanan, Luar Negeri, dan Maklumat Drs. Mahfudz Siddiq, M.Si. Parti Keadilan Sejahtera
II Pemerintahan dalam Negeri, Autonomi Daerah, Sistem Pentadbiran Negara, dan Pertanian Drs. Agun Gunanjar Sudarsa Parti Golkar
III Undang-undang dan Perundangan, Hak Asasi Manusia, serta Keamanan Gede Pasek Suardika, SH Parti Demokrat
IV Pertanian, Perkebunan, Kehutanan, Kelautan, Perikanan, dan Makanan Drs. H. Akhmad Muqowah Parti Persatuan Pembangunan
V Perhubungan, Telekomunikasi, Kerja Raya, Perumahan Rakyat, serta Pembangunan Pedesaan dan Kawasan Tertinggal Ir. Taufik Kurniawan, MM Parti Amanat Nasional
VI Perdagangan, Perindustrian, Pelaburan, Koperasi, Industri Kecil dan Sederhana, serta Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Ir. H. Airlangga Hartanto, MMT, MBA Parti Golkar
VII Tenaga, Sumber Galian, Penyelidikan dan Teknologi, serta Lingkungan Hidup H. Teuku Riefky Harsa Parti Demokrat
VIII Agama, Sosial dan Pemberdayaan Perempuan H. Abdul Kadir Karding, SPI Parti Kebangkitan Bangsa
IX Kependudukan, Kesihatan, serta Tenaga Kerja dan Transmigrasi Dr. Ribka Tjiptaning Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan
X Pendidikan, Pemuda, Olahraga, Pelancongan, serta Kesenian dan Kebudayaan Prof. Dr. H. Mahyuddin NS, SP.OG Parti Demokrat
XI Kewangan, Perancangan Pembangunan Nasional, Perbankan, dan Lembaga Kewangan bukan Bank Ir. H.I Emir Moeis, MSc Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan

Badan Musyawarah[sunting | sunting sumber]

Badan Musyawarah (Bamus) merupakan versi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang kecil. Sebahagian besar keputusan DPR yang penting dibincangkan terlebih dahulu oleh Bamus sebelum dibahaskan dalam Sidang Pleno yang merupakan forum DPR yang tertinggi yang boleh mengubah sebarang keputusan Bamus. Bamus antara lain ditugasi untuk menetapkan acara DPR, termasuk juga menetapkan tempoh penyelesaian sesuatu masalah atau rang undang-undang.

Bamus dibentuk oleh DPR melalui Sidang Pleno pada masa pembentukan keanggotaan DPR. Anggota Bamus berjumlah sebanyak-banyaknya 10% daripada anggota DPR, berdasarkan pertimbangan jumlah anggota bagi setiap parti komponennya. Pimpinan Bamus diketuai oleh Ketua DPR.

Jawatankuasa Anggaran[sunting | sunting sumber]

Tugas utama Jawatankuasa Belanjawan DPR adalah untuk melakukan pembahasan Belanjawan Negara. Susunan keanggotaan jawatankuasa tersebut ditetapkan pada masa pembentukan keanggotaan DPR. Susunan keanggotaan Jawatankuasa Belanjawan terdiri daripada anggota-anggota Suruhanjaya dengan mempertimbangkan jumlah anggota setiap parti komponennya.

Ketua Jawatankuasa Belanjawan pada saat ini ialah Izedrik Emir Moeis daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan.

Badan Kehormatan DPR[sunting | sunting sumber]

Badan Kehormatan DPR (BK) merupakan alat yang paling muda pada saat ini dalam DPR, serta juga salah satu alat yang bersifat sementara. Pembentukan BK dalam DPR merupakan gerak balas terhadap anggota-anggota dewan yang buruk, misalnya kehadiran yang kurang serta konflik kepentingan.

BK meneliti dan memeriksa dugaan pelanggaran yang dilakukan oleh anggota-anggota DPR dan memberikan saranan kepada Pimpinan DPR sebagai bahan pertimbangan untuk menghukum atau memulihkan anggota-anggota yang terlibat. Sidang-sidang BK merupakan sidang tertutup, dan tugasnya dianggap selesai selepas menyampaikan saranannya kepada Pimpinan DPR.

Badan Perundangan DPR[sunting | sunting sumber]

Badan Perundangan (Baleg) merupakan alat DPR yang wujud selepas Pindaan Pertama Perlembagaan 1945, dan dibentuk pada tahun 2000. Tugas utama Baleg, antara lain, termasuk merancang dan menyusun rancangan serta urutan keutamaan pembahasan rang undang-undang untuk tempoh keanggotaan DPR dan setiap tahun belanjawannya. Baleg juga menilai dan menyempurnakan tata tertib DPR serta kod etika anggota DPR.

Badan Perundangan dibentuk oleh DPR dalam Sidang Pleno. Susunan keanggotaannya ditetapkan pada masa pembentukan keanggotaan DPR, berdasarkan pertimbangan jumlah anggota setiap parti komponennya.

Keanggotaan Badan Perundangan tidak boleh dirangkap dengan keanggotaan Pimpinan Suruhanjaya, Badan Urusan Rumah Tangga (BURT), atau Badan Kerjasama Antara Parlimen (BKSAP).

Ketua Badan Perundangan DPR pada saat ini ialah FX Soekarno daripada Parti Demokrat.

Badan Urusan Rumah Tangga[sunting | sunting sumber]

Badan Urusan Rumah Tangga (BURT) DPR ditugasi untuk menentukan dasar-dasar kerumahtanggaan DPR. Salah satu tugasnya berkaitan dengan kewangan dan pentadbiran anggota dewan adalah untuk membantu pimpinan DPR dalam menentukan dasar-dasar kerumahtanggaan DPR, termasuk kesejahteraan anggota dan pegawai Sekretariat DPR, berdasarkan keputusan sidang Badan Musyawarah.

Ketua BURT pada saat ini ialah Roestanto Wahidi daripada Parti Demokrat.

Badan Kerjasama Antara Parlimen[sunting | sunting sumber]

Badan Kerjasama Antara Parlimen menjalin hubungan dan kerjasama dengan parlimen-parlimen negara yang lain. Ketua Badan Kerjasama Antara Parlimen pada saat ini ialah Abdillah Toha daripada Parti Amanat Nasional.

Jawatankuasa Khusus dan Jawatankuasa Kerja[sunting | sunting sumber]

Jika dianggap perlu, DPR (atau alat DPR) boleh membentuk jawatankuasa yang bersifat sementara.

Jawatankuasa Khusus[sunting | sunting sumber]

Jawatankuasa Khusus (Pansus) ialah jawatankuasa yang dibentuk oleh DPR, dengan komposisi keanggotaannya ditetapkan oleh Sidang Pleno berdasarkan pertimbangan jumlah anggota setiap parti komponennya. Pansus melaksanakan tugas tertentu yang ditetapkan oleh Sidang Pleno dan dibubarkan selepas tempoh penugasannya tamat atau apabila tugasnya selesai. Ia bertanggungjawab kepada kerjanya yang selanjutnya dibahaskan dalam Sidang Pleno.

Jawatankuasa Kerja[sunting | sunting sumber]

Jawatankuasa Kerja ialah unit kerja sementara yang boleh dibentuk oleh alat DPR untuk mencekapkan prestasi kerjanya.

Sekretariat DPR[sunting | sunting sumber]

Sekretariat DPR dibentuk melalui Keputusan Presiden untuk mendukung kelancaran pelaksanaan tugas DPR, dengan kakitangannya terdiri daripada pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam. Sekretariat ini dipimpin oleh seorang Setiausaha Agung yang dilantik dan diberhentikan menurut Keputusan Presiden atas cadangan Pimpinan DPR.

Untuk meningkatkan prestasi kerja lembaga dan membantu pelaksanaan peranan dan tugas DPR secara profesional, sejumlah pakar dan ahli dilantik, sesuai dengan keperluan, di bawah Setiausaha Agung DPR.

Kekebalan dan larangan[sunting | sunting sumber]

Kekebalan[sunting | sunting sumber]

Anggota-anggota DPR tidak boleh didakwa di mahkamah atas pernyataan, pertanyaan, atau pendapat mereka yang dikemukakan dalam sidang-sidang DPR, baik secara lisan mahupun secara bertulis, asalkan ia tidak bertentangan dengan Peraturan Tata Tertib dan kod etika lembaga masing-masing. Kekebalan tersebut tidak merangkumi keadaan-keadaan yang mana seseorang anggota mengumumkan maklumat-maklumat yang telah diberikan dalam sidang tertutup yang harus dirahsiakan atau hal-hal yang lain yang mendedahkan rahsia negara.

Larangan[sunting | sunting sumber]

Anggota-anggota DPR tidak boleh merangkap sebarang jawatan negara yang lain, termasuk juga jawatan dalam badan kehakiman, perkhidmatan awam, Tentera Nasional Indonesia atau Polis Republik Indonesia, dan Badan Usaha Milik Negara/Daerah (BUMN/BUMD), serta juga badan-badan yang lain yang berkait dengan Belanjawan Negara/Daerah (APBN/APBD).

Anggota-anggota DPR juga tidak boleh bertugas sebagai pengarah lembaga pendidikan swasta, akauntan awam, perunding, peguam bela atau peguam cara, notari, dan pengamal perubatan, serta juga pekerjaan-pekerjaan yang lain yang berkaitan dengan tugas, bidang kuasa, dan hak mereka sebagai anggota DPR.

Penyiasatan[sunting | sunting sumber]

Jika anggota DPR diduga melakukan jenayah, pemanggilan, permintaan keterangan, atau penyiasatannya harus mendapat persetujuan tertulis daripada Presiden. Ketentuan ini tidak melibatkan keadaan apabila anggota DPR tertangkap tangan menerima rasuah atau melakukan terorisme.

Komposisi anggota DPR[sunting | sunting sumber]

Komposisi DPR pada saat ini ialah komposisi yang berdasarkan Pilihan Raya Umum 2009 seperti yang berikut:


Parti Jumlah Anggota Ketua
Parti Demokrat (PD) 148 Mohammad Jafar Hafsah
Parti Golongan Karya (PG) 107 Setya Novanto
Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) 94 Tjahjo Kumolo
Parti Keadilan Sejahtera (PKS) 57 Hidayat Nurwahid
Parti Amanat Nasional (PAN) 46 Asman Abnur
Parti Persatuan Pembangunan (PPP) 37 Hasrul Azwar
Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) 28 Marwan Ja'far
Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) 26 Mujiyono Haryanto
Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) 17 Ahmad Fauzi

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]