Donoghue lwn Stevenson

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Donoghue lwn Stevenson
Dewan Pertuanan
Tarikh diputuskan: 1932
Nama penuh kes: Donoghue (atau McAlister) lwn Stevenson
Petikan: [1932] AC 532, 1932 S.C. 31, All ER Rep 1
Panel hakim: Lord Buckmaster, Lord Atkin, Lord Tomlin, Lord Thankerton dan Lord MacMillan
Petikan kes: Heaven lwn Pender [1893] 11 QBD 503; Le Lievre lwn Gould [1893] 1 QB 491; MacPherson lwn Buick Motor Co. (1916) 217 NY 382; Mullen lwn A.G. Barr & Co. 1929 SC 461; Winterbottom lwn Wright (1842) 10 M & W 109
Petikan statut: Tiada
Sejarah kes
Tindakan awal: Tiada
Tindakan kemudian: Tiada
Kata kunci
Kecuaian


Donoghue (atau McAlister) lwn Stevenson ([1932] A.C. 532, 1932 S.C. (H.L.) 31, [1932] All ER Rep 1) adalah salah satu daripada kes termasyhur dalam sejarah undang-undang common law Inggeris. Keputusan Dewan Pertuanan British terhadap kes tersebut telah mewujudkan tort moden kecuaian, kedua-dua dalam undang-undang Scotland serta bidang-bidang kuasa common law di serata dunia. Kes ini berasal dari Paisley, Scotland, tetapi Dewan Pertuanan British mengisytiharkan bahawa prinsip-prinsip keputusan itu juga merangkumi undang-undang Inggeris. Kes ini sering dirujuk sebagai "kes siput di dalam botol".

Seperti yang ditunjukkan oleh Hakim Allen Linden, Donoghue merupakan satu lanjutan kepada prinsip yang disebut oleh Benjamin Cardozo dalam kes MacPherson lwn Buick Motor Co. yang lebih awal. Daripada kes MacPherson datangnya prinsip tort mengenai kewajipan berjaga-jaga umum yang merupakan titik permulaan untuk sebarang tindakan mahkamah terhadap kecuaian. Akan tetapi sehingga kes Donoghue, kewajipan ini hanya terhad kepada sebilangan hubungan yang kecil (pemilik/tetamu hotel, dll) dan tidak merupakan kewajipan berjaga-jaga umum. Kewajipan berjaga-jaga adalah bahagian pertama daripada tiga bahagian yang harus didirikan untuk membuktikan liabiliti kecuaian, dengan dua lagi merupakan pelanggaran kewajipan oleh pihak defendan, dan penyebaban yang menghubungkaitkan kerosakan yang dialami oleh pihak menuntut kepada pelanggaran kewajipan defendan itu.

Kes ini masyhur oleh sebab kata-kata Lord Atkin dan penciptaan prinsip "jiran"nya, yang mana beliau telah menggunakan Luke 10 dalam kitab Bible pada undang-undang - iaitu, ketika tiadanya kewajipan berjaga yang telah wujud, seseorang akan mempunyai kewajipan berjaga dan tidak menyakiti mereka yang secara munasabahnya akan terancam oleh sebarang tindak-tanduk atau kegagalan bertindak oleh orang berkenaan. Kesan praktik kes ini adalah untuk memberikan kepada para individu suatu jalan penyelesaian apabila terkena kesan buruk produk pengguna yang dibekalkan oleh pembekal, meskipun pengadu berkenaan tiada priviti kontrak dengan pelaku tort individu atau syarikat.

Pada tahun 1990, Dewan Pertuanan British telah menyemak semula prinsip "jiran" Lord Atkin untuk turut memasukkan kebimbangan polisi awam yang dicakapkan dalam kes Caparo Industries Plc. lwn Dickman ([1990] 1 All ER 568). Kes ini kini telah menetapkan bahawa sebarang pendirian kewajipan berjaga bergantung kepada tiga faktor: kebolehramalan kerosakan; perhubungan yang disifatkan oleh undang-undang sebagai berkait dengan kehampiran dan kejiranan; dan bahawa keadaan berkenaan adalah suatu yang, dalam pendapat mahkamah, adalah "adil, saksama dan munasabah" untuk meletakkan kewajipan berjaga. Dalam bidang kuasa lain seperti New Zealand terdapatnya ujian dua peringkat untuk keadaan genting yang mana pendirian kewajipan berjaga mesti diimbangi faktor dasar yang berkaitan.


Proses tindakan undang-undang[sunting | sunting sumber]

Kes ini bermula di Mahkamah Sesyen Outer House, Scotland, di mana Lord Ordinary telah menyangkal rayuan defendan Stevenson mengenai kaitannya dan membenarkan bukti yang menyabitkannya disertakan (iaitu, beliau telah membuang tuntutan defendan yang tiadanya sebarang kuasa tindakan, dan sekaligus membenarkan kes ini dibicarakan). Tindakan ini telah dirayui di hadapan Mahkamah Sesyen Inner House, yang telah menterbalikkan keputusan pertama dan memutuskan, dengan 3 lawan 1, bahawa tiada kuasa tindakan. Pendakwa telah membuat rayuan di Dewan Pertuanan British, yang telah memberi keputusan masyhurnya bahawa memang adalah satu kes untuk dijawab, dan telah mengembalikan soalan ini kepada Lord Ordinary untuk mengadili kes itu berdasarkan meritnya.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Kafe Wellmeadow pada era 1930-an. Mungkinkah orang dalam gambar ini adalah May McAlister yang bakal mencipta namanya dalam sejarah undang-undang tort?

Pada waktu senja, hari Ahad 26 Ogos 1928, May McAlister atau Puan Donoghue telah menaiki sebuah trem di Glasgow untuk perjalanan ke Paisley yang mengambil masa tiga puluh minit. Di sekitar sepuluh minit ke waktu pukul sembilan, dia dan seorang kawannya telah mengambil tempat duduk di Kafe Wellmeadow di Wellmeadow Place yang terletak di kawasan bandar Paisley. Mereka dilayani pemilik kafe berkenaan, Francis Minghella, dan kawan May telah memesan dan membayar untuk sebuah pear dengan ais, dan minuman flot. Pemilik itu membawa pesanan itu dan menuangkan sebahagian daripada botol bir halia dalam satu pelepas sauh yang mengandungi aiskrim. May minum sesetengah daripada kandungannya dan kawannya telah mengambil botol bir halia itu untuk menuangkan kesemua isi yang tinggal dan, keluarlah bangkai siput yang sedang reput daripada botol tersebut ke dalam pelepas sauh. May kemudiannya mengadu mengenai sakit perut, di samping kesan emosi yang berkaitan. Doktornya telah mendiagnosis penyakitnya sebagai gastroenteritis.

Dalam satu ucapan pada tahun 1942, Yang Arif Hakim MacKinnon berkata bahawa apabila fakta-fakta kes tersebut dibicarakan, beliau mendapati bahawa tidak adanya sebarang siput yang dimaksudkan, dan ini kemudiannya diulangi oleh Yang Arif Hakim Jenkins dalam kes Adler lwn Dickson.. Kenyataan ini nampaknya telah didasarkan maklumat yang diberikan kepada MacKinnon oleh peguam David Stevenson yang kemudian telah menjadi Lord Normand. Akan tetapi, kes ini telah diselesaikan di luar mahkamah, dan fakta tidak pernah dianalisis dalam suatu mahkamah undang-undang.

Identiti rakan Puan Donoghue juga tidak dikenali. Puan Donoghue telah diagak sebagai seorang wanita bersuami yang berkemungkinan menemui seorang rakan lelaki secara senyap. Akan tetapi, rakan ini hanya dirujuk sebagai wanita dalam laporan kes (termasuk perenggan pertama keputusan Lord MacMillan dalam Dewan Pertuanan).

Ketidakpastian juga timbul tentang:

  • adakah haiwan itu (jika wujud) merupakan siput ataupun lintah bulan;
  • adakah botol itu mengandungi bir halia atau minuman yang lain (perkataan bagi "halia" dalam bahasa Inggeris ialah "ginger" dan ini juga merupakan perkataan orang Scotland bagi minuman bergas); dan
  • adakah minuman itu merupakan sebahagian flot aiskrim.

Analisis undang-undang[sunting | sunting sumber]

Botol asal yang dikilangkan oleh David Stevenson. Seperti yang didakwa May McAlister, botol itu memang legap.

May tidak memesan mahupun membayar sendiri untuk minuman itu, maka tiada hubungan kontrak antaranya dengan pemilik kafe dan oleh itu, May tidak boleh mendakwa pemilik itu. Terdapat hubungan kontraktual antara kawan May dengan pemilik kafe, tetapi kawannya itu tidak minum bir halia berkenaan. Bir halia bukannya suatu produk berbahaya, dan pengilang tidak melakukan salah nyata fraud. Pada masa itu, hanya terdapat dua jalan penyelesaian itu sahaja untuk mendakwa kecuaian terhadap tindakan pengilang. Pada zahirnya, undang-undang kelihatan seolah-olah tiada jalan penyelesaian untuk May.

Ia tidak jelas bagaimana May McAlister berkenalan dengan peguam cara Walter Leechman dari WG Leechman & Co di West George St, Glasgow, yang kebetulannya merupakan "...satu-satunya peguam cara di dunia yang akan mengambil kesnya." Leechman telah pun menjadi pakar dalam keburukan meminum bir halia. Sebelumnya dia telah cuba mendirikan liabiliti terhadap pengilang minuman AG Barr berkenaan tikus mati yang dijumpai dalam satu botol bir halia keluaran mereka. Akan tetapi malangnya kes berkenaan ditolak oleh Mahkamah Sesyen Inner House, apabila para hakim mahkamah rayuan berkenaan memutuskan bahawa tiadanya autoriti undang-undang yang membenarkan tindakan sedemikian dilakukan (Mullen lwn A.G. Barr & Co. 1929 S.C. 461).

Dengan tidak menghiraukan pendapat ini, Leechman bersetuju untuk mengambil kes ini dan telah menfailkan satu writ di Mahkamah Sesyen pada bulan April 1929 di kes May Donoghue, née McAlister lwn David Stevenson. Writ ini mendakwa bahawa May Donoghue telah jatuh sakit oleh sebab kejutan saraf dan gastroenteritis selepas minum bahagian botol legap yang mengandungi bir halia dan bahawa David Stevenson sebagai pengilang "...mempunyai kewajipan munasabah untuk berjaga-jaga bahawa bir halia yang telah dikilangkan, dibotolkan, dilabelkan, disekat dan dipelawa untuk pembeliannya tidak mengandungi sebarang benda yang boleh menyakiti May." Donoghue telah menuntut pampasan sebanyak £500.

Peguam untuk pengilang menafikan yang terdapatnya liabiliti atau kewajipan yang dimaksudkan. Ia tidak sehingga bulan Jun 1930 bahawa para hakim berpendapat bahawa adanya suatu kes untuk dijawab. Pasukan undang-undang Stevenson telah merayui keputusan Lord Moncrieff berdasarkan beberapa sebab undang-undang, dan para hakim Inner House membenarkan rayuan berkenaan pada tahun November 1930, dengan membuang tuntutan Donoghue sebagai tidak mempunyai sebab undang-undang berdasarkan autoriti keputusan mereka yang terakhir dalam Mullen lwn A.G. Barr. Salah satu daripada hakim telah berkata bahawa

satu-satunya beza antara kes Donoghue dan kes tikus ini adalah perbezaan antara tikus dan siput dan dalam undang-undang masyarakat Scot ini bukannya perbezaan pun.


Pendakwa merayui keputusan[sunting | sunting sumber]

Surat rayuan dan permohonan status fakir Puan Donoghue

Sekiranya Walter Leechman dan May Donoghue bertindak menyerah kalah selepas keputusan inipun ia tidak mengejutkan. Mahkamah Sesyen kini telah memutuskan sebanyak dua kali yang tiadanya autoriti undang-undang untuk membenarkan tuntutan terhadap kerosakan yang dilakukan pengilang di mana tiada sebarang perhubungan kontrak wujud, kecualinya produk ini berbahaya atau telah disalahgambarkan. Sekalipun masih ada peluang merayui keputusan ke Dewan Pertuanan, May tidak mampu akan pembayaran kos perundangan pihak Stevenson sekiranya dia kalah dalam Dewan Pertuanan. Akan tetapi, sekuriti pembayaran terhadap mereka tidak diperlukan sekiranya dia boleh mendapat status fakir. Maka pada 16 Februari 1931 beliau telah merayui Dewan Pertuanan dengan berkata: "Saya amat miskin dan tidak bernilai sebanyak £5 pun, dengan pemakaian seperti ini dan berkenaan rayuan ini..." Satu paderi dan dua orang tua gerejanya menandatangani sijil kemiskinan yang telah dihantar bersama rayuan. Pada 17 Mac 1931, Dewan Pertuanan telah memberikannya status sebagai fakir. Antara 88 Lord yang hadir termasuk Lord Sankey, iaitu Lord Chancellor, Duke of Wellington, dan Lord Atkin, yang telah menulis keputusan utama yang bakal mengubah muka undang-undang pengguna buat selama-lamanya.

Sembilan bulan selepas rayuannya dibenarkan, kesemua Lord of Appeal in Ordinary iaitu Lord Buckmaster, Lord Atkin, Lord Tomlin, Lord Thankerton dan Lord MacMillan, duduk di satu bilik mahkamah dan mendengar rayuan kedua-dua belah pihak - George Morton KC dan W. R. Milligan (kemudiannya Lord Advocate) - mengemukakan argumentasi bahawa pengilang yang meletakkan satu produk yang diperuntukkan untuk dimakan atau diminum seorang manusia seharusnya bertanggungjawab untuk sebarang kerosakan jika dia gagal melaksanakan kewajipan berjaga yang munasabah untuk memastikan yang ia boleh dimakan atau diminum. Ia merupakan satu panggilan untuk menghapuskan perlindungan yang diberikan kepada pengilang oleh doktrin priviti kontrak iaitu prinsip yang hanya pihak yang mempunyai perhubungan kontrak mempunyai hak untuk mendakwa dibawah mana-mana syaratnya. Peguam Stevenson - W.G. Normand KC (Solicitor General untuk Scotland pada ketika itu dan kemudiannya menjadi satu Law Lord), J.L. Clyde (kemudiannya Lord Advocate dan Ketua Hakim Negara Mahkamah Sesyen), dan T. Elder Jones - cuba untuk mempengaruhi panel hakim bahawa kebijaksanaan hakim-hakim Scotland dalam kes tikus yang dirujuk terlebih dahulu harus terus berdiri. Selepas dua hari mendengar hujah, panel hakim berundur untuk menimbang keputusan mereka.

"Prinsip jiran" Lord Atkin[sunting | sunting sumber]

Pada 20 Mei 1932, Lord Atkin berdiri untuk menyampaikan ucapannya kepada Dewan Pertuanan dan mendedahkan prinsip "jiran"nya yang didasarkan prinsip Kristian menyayangi jiran anda dalam gospel Luke 10:

Mesti adanya, dan telah terdapat, satu tanggapan umum tentang perhubungan-perhubungan yang menimbulkan kewajipan berjaga-jaga, dengan kes-kes tertentu yang didapati dalam buku-buku hanyalah merupakan contoh... dari segi undang-undang, kelaziman bahawa anda seharusnya menyayangi jiran anda menjadi anda tidak seharusnya menyakiti jiran anda; dan pertanyaan peguam: Siapakah jiran saya? menerima satu jawapan terhad. Anda mesti mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah untuk mengelakkan sebarang tindakan atau peninggalan yang dapat anda ramalkan sebagai berkemungkinan menyakiti jiran anda. Jadi siapakah yang merupakan jiran saya dari segi undang-undang? Jawapannya kelihatan seakan-akan mereka yang terjejas secara langsung dan amat berkait dengan perbuatan saya sehinggakan saya sepatutnya harus berfikir-fikir tentang mereka semasa saya mempertimbangkan perbuatan atau peninggalan yang dimaksudkan.

— daripada keputusan (di 580) (penekanan ditambah)

Maka David Stevenson seharusnya memikirkan kesan pengilangan botol bir halianya terhadap pelanggannya. Atkin kemudian menambah:

...satu pengilang produk, di mana dia menjual dalam bentuk yang menunjukkan bahawa dia mahukan pengguna membelinya di mana dia tidak meninggalkan sebarang penyemakan semula yang munasabah, dan dengan pengetahuan yang ketiadaan kewajipan berjaga dalam proses meletakkan produk akan mengakibatkan kesan kerosakan kepada nyawa atau harta pengguna, mempunyai kewajipan berjaga yang munasabah untuk mengambil tanggungjawab.


Lord Thankerton dan Lord MacMillan menyokong pendirian beliau, tetapi Lord Buckmaster dan Lord Tomlin amat menentang. Buckmaster mengatakan bahawa ia mustahil untuk menerima satu kata sedemikian dan (mendahului argumentasi "tandup" yang bakal timbul kemudian) ia sukar untuk mengetahui bagaimana perdagangan dapat diteruskan jika ia menjadi undang-undang. Dia juga telah mengemukakan pendapat yang serupa dengan Lord Tomlin, yang tiadanya alasan munasabah mengapa undang-undang sedemikian harus dihadkan kepada pengilang makanan. Jika terdapatnya kewajipan berjaga dalam keadaan sebegini, mengapa tidak dalam keadaan lain yang serupa: "Jika selangkah, mengapa tidak limapuluh?" Tomlin bersetuju dan merujuk kepada satu kemalangan di jalan kereta api Versailles yang pada masa itu baru lepas berlaku dan melibatkan gandar cacat, di mana, jika prinsip Lord Aktin digunakan, kesemua mereka yang terlibat dalam kemalangan boleh menyaman pengilang gandar berkenaan.

Walau bagaimanapun, pasukan perundangan Puan Donoghue telah menang, sekalipun dengan tipis tiga lawan dua. Kes ini telah diarahkan untuk dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen Scotland untuk menggunakan keputusan ini kepada fakta kes. Dalam apapun, ini tidak berlaku. David Stevenson telah meninggal dunia dalam masa setahun selepas keputusan ini dan pewarisnya telah menyelesaikan perselisihan di luar mahkamah, dengan jumlah £500 dikurangkan kepada £200.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Adler v. Dickson [1954] 1 W.L.R. 1482 at 1483 (Practice Note)
  • Heuston, R.F.V. Donoghue v. Stevenson in Retrospect (1957), 20 M.L.R. 1
  • Linden, Allen M. "The American Influence on Canadian Tort Law," 50 UCLA L. Semakan 407, 414 (2002).
  • (Inggeris) Mrs. Donoghue's Journey, Martin R. Taylor QC, Scottish Council of Law Reporting
  • (Inggeris) Teks asal kes ini dalam bahasa Inggeris