Ekonomi skala

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Apabila kuantiti pengeluaran meningkat dari Q ke Q2, kos purata seunit susut dari C ke C1.

Dalam ilmu mikroekonomi, ekonomi skala atau ekonomi ikut bidangan memaksudkan kelebihan kos yang diperoleh oleh sesebuah perusahaan kerana mengembangkan pengeluaran. Terdapat faktor-faktor yang menyebabkan kos purata seunit pengeluar susut apabila skala pengeluaran ditingkatkan. "Ekonomi skala" ialah konsep jangka panjang yang memaksudkan penyusutkan kos seunit apabila meningkatkan saiz kemudahan dan takat penggunaan masukan lain.[1] Yang berlawanan dengannya ialah disekonomi skala atau ekonomi tak ikut bidangan.

Am[sunting | sunting sumber]

Punca-punca ekonomi skala yang am ialah pembelian (pembelian bahan-bahan secara pukal menerusi kontrak jangka panjang), pengurusan (meningkatkan pengkhususan para pengurus), kewangan (memperoleh caj faedah rendah apabila meminjam dari bank serta mencapai pelbagai instrumen kewangan), pemasaran (mengagih-agihkan kos pengiklanan kepada pelbagai keluaran pasaran media), dan teknologi (memanfaatkan pulangan ikut skala dalam fungsi pengeluaran). Setiap faktor ini mengurangkan kos purata pengeluaran jangka panjang dengan menganjakkan keluk jumlah kos purata jangka bawah ke bawah dan ke kanan. Ekonomi skala juga diperoleh dari pembelajaran melalui amalan.

Ekonomi skala merupakan konsep amali yang boleh menjelaskan fenomena alam nyata seperti pola perdagangan antarabangsa, bilangan firma dalam sesebuah pasaran, dan betapa firma-firma menjadi "terlalu besar untuk gagal." Eksploitasi ekonomi skala membantu menjelaskan mengapa syarikat berkembang pesat dalam industri. Ia juga merupakan justifikasi untuk dasar-dasar perdagangan bebas, oleh kerana sesetengah ekonomi skala mungkin mengeluarkan pasaran yang lebih besar daripada sesebuah negara sahaja — misalnya, tidak mungkin negara kecil Liechtenstein mempunyai perusahaan kereta yang cekap jika ia hanya tertumpu pada pasaran tempatan. Bagaimanapun, sebuah pengeluar kereta sahaja boleh meraih untung jika ia mengeksport kereta-keretanya ke pasaran sedunia di samping pasaran setempat. Ekonomi skala juga memainkan peranan dalam "monopoli semula jadi."

Pemikir pengurusan dan penterjemah Sistem Pengeluaran Toyota untuk perkhidmatan, Profesor John Seddon berhujah bahawa cubaan untuk mencapai ekonomi berasaskan skala adalah satu tanggapan palsu dalam sektor perkhidmatan. Sebaliknya, beliau percaya bahawa ekonomi akan tercapai daripada meningkatkan aliran perkhidmatan, daripada penerimaan awal permintaan pembeli kepada pemuasan permintaan itu pada akhirnya. Dalam cubaan untuk menguruskan dan mengurangkan kos seunit, firma-firma sering meningkatkan kos seunit dengan mewujudkan permintaan kegagalan. Seddon berhujah bahawa hujah-hujah yang menyokong ekonomi skala itu merupakan campuran data yang cukup munasabah dan juga yang sedikit sukar diterima untuk menghasilkan dua kenyataan tegas yang luas dan tidak cukup bukti fakta yang kukuh.[2]

Ekonomi skala dan pulangan ikut skala[sunting | sunting sumber]

Ekonomi skala adalah berkaitan dan mudah tersalah disamakan dengan tanggapan ekonomi teori pulangan ikut skala. Ekonomi skala memaksudkan kos firma, manakala pulangan ikut skala menerangkan hubung kait antara masukan dan keluaran dalam fungsi pengeluaran jangka panjang (semua masukan adalah boleh ubah). Fungsi pengeluaran mendapat pulangan ikut skala yang malar jika peningkatan semua masukan pada kadar yang tertentu menyebabkan peningkatan keluaran pada kadar yang sama. Pulangan itu menyusut jika, misalnya, penggandaan masukan memulangkan keluaran yang kurang daripada ganda, ataupun meningkat jika keluaran itu lebih daripada ganda itu. Jika fungsi matematik digunakan untuk melambangkan fungsi pengeluaran, dan jika fungsi pengeluaran itu adalah homogen, maka pulangan ikut skala diwakili oleh tahap kehomogenan fungsi itu. Fungsi-fungsi pengeluaran homogen dengan pulangan ikut skala yang malar adalah homogen darjah pertama, pulangan ikut skala yang meningkat diwakili oleh darjah kehomogenan yang lebih daripada satu, dan pulangan ikut skala yang menyusut pula oleh darjah kehomogenan kurang daripada satu.

Jika firma itu merupakan pesaing sempurna di semua pasaran masukan, dan oleh itu harga seunit semua masukannya tidak terpengaruh oleh berapa masukan yang dibeli oleh firma itu, maka boleh ditunjukkan[3][4][5] bahawa pada tahap keluaran yang tertentu, firma itu menikmati ekonomi skala jika dan hanya jika ia pulangan ikut skalanya meningkat, disekonomi skala jika dan hanya jika pulangan ikut skalanya menurun, dan tidak mengalami ekonomi atau disekonomi skala jika pulangannya malar. Dalam hal ini, dengan persaingan sempurna dalam pasaran keluaran, keseimbangan jangka panjang akan melibatkan semua firma yang beroperasi pada titik minimum keluk kos purata jangka panjangnya (iaitu di sempadan antara ekonomi dan disekonomi skala).

Bagaimanapun, jika firma itu bukan pesaing sempurna di pasaran masukan, maka kesimpulan-kesimpulan tadi perlu diubahsuai. Misalnya, jika terdapat peningkatan pada pulangan ikut skala pada suatu julat takat keluaran, tetapi firma itu begitu besar dalam satu atau lebih pasaran masukan sehingga pembelian masukan yang ditingkatkan menyebabkan kos seunit masukan naik, maka firma itu mengalami disekonomi skala pada julat takat keluaran itu. Sebaliknya, jika firma itu menikmati diskaun pukal sesejenis masukan, maka ia boleh mencapai ekonomi skala di sesetengah julat takat keluaran walaupun mengalami kesusutan pengeluaran pada julat takat keluaran itu.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. Sullivan, arthur; Steven M. Sheffrin (2003). Economics: Principles in action. Upper Saddle River, New Jersey 07458: Pearson Prentice Hall. ms. 157. ISBN 0-13-063085-3. 
  2. http://s3.amazonaws.com/connected_republic/attachments/33/Why_do_we_believe_in_economy_of_scale.pdf
  3. Gelles, Gregory M., and Mitchell, Douglas W., "Returns to scale and economies of scale: Further observations," Journal of Economic Education 27, Summer 1996, 259-261.
  4. Frisch, R., Theory of Production, Drodrecht: D. Reidel, 1965.
  5. Ferguson, C. E., The Neoclassical Theory of Production and Distribution, London: Cambridge Unive. Press, 1969.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:Mikroekonomi