Empangan Bakun

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Empangan Bakun adalah sebuah empangan hidroelektrik yang sedang dalam pembinaan merentasi Sungai Balui di Sarawak, Malaysia. Ia merupakan sebuah empangan batu dilitupi konkrit (concrete faced rockfill dam) (CFRD) yang tertinggi di dunia akan dibina. Ia juga akan menjadi empangan ke dua terbesar di Asia, selain beberapa empangan lebih besar di negeri Cina. Empangan ini dapat menjana 2,400 MW tenaga elektrik apabila siap pada tahun 2012.

Tenaga elektrik yang akan dijanakan akan disalurkan dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia. Rancangan asal ialah untuk menggunakan 30% dari janaan di Sarawak dan selebihnya disalurkan ke Semenanjung Malaysia. Penghantaran ini memerlukan 660 km talian DC voltan tinggi di Sarawak dan 670 km talian DC voltan tinggi di bawah laut merentasi Laut Cina Selatan.

Di masa hadapan, janaan dari Empangan Bakun dirancang untuk disambungkan ke Grid Elektrik Borneo, yang akan menghubungkan grid elektrik sedia ada di Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan. Rancangan ini disebut-sebut di mesyurat negara ASEAN, tetapi tiada tindakan susulan lagi.

Sejarah projek[sunting | sunting sumber]

Cubaan pertama[sunting | sunting sumber]

Kerja ukur tanah dimulakan pada tahun 1960-an dan kajian diteruskan pada tahun 1980-an. Kajian merangkumi pelan induk & upayabina, kajian batuan & tanah, kajian janaan hidro, rekabentuk empangan, kajian alam sekitar & socio-ekonomi dan kajian talian penghantar.

Projek ini telah mulakan pada 1986, tetapi dihentikan pada 1990 berdasarkan unjuran merosot kegunaan elektrik disebabkan kemelut ekonomi 1985 dan keputusan membangunkan dahulu industri gas asli.

Cubaan kedua[sunting | sunting sumber]

Projek ini diteruskan semula oleh YAB Mahathir Mohamad pada 1993. Pada Januari 1994, projek ini diswastakan kepada Bakun Hydroelectric Corporation, iaitu syarikat usahasama Ekran Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Kerajaan Sarawak, Syarikat SESCO Berhad dam Malaysia Mining Corporation Berhad. Bakun Hydroelectric Corporation telah memberi kontrak elektrikal, mekanikal dan penghantaran kepada ABB. Baberapa pakar runding yang terlibat ialah Snowy Mountain Engineering Corporation, TNB Hydro (anak syarikat Tenaga Nasional Berhad) dan KLIA Consult.

Projek ini terhenti akibat kemelut ekonomi 1997.

Cubaan ketiga[sunting | sunting sumber]

Pada Mei 2000, Kerajaan Malaysia telah mengambil alih projek dengan membeli kepentingan Bakun Hydroelectric Corporation, dan meneruskan projek melalui syarikat milik kerajaan, Sarawak Hidro Sdn Bhd. Hanya pembinaan Empangan Bakun diteruskan dan kerja pembinaan ditawarkan melalui kontrak “turnkey”. Pembinaan talian penghantar bawah laut tidak akan dilaksanakan.

Kontraktor baru ialah Malaysia-China Hydro JV Consortium, iaitu syarikat usahasama Sime Engineering Berhad, iaitu anak syarikat Sime Darby Berhad dan Sino-Hydro Corporation dari Cina. Rakan kongsi kecil yang lain adalah WCT Berhad, MTD Capital Berhad, Ahmad Zaki Resources Berhad, Syarikat Ismail Berhad dan Edwards & Sons Berhad. Tarikh siap ditetapkan pada September 2007. Harga kontrak sivil adalah RM 1.8 billion. Kerja elekromekanikal diberi pada satu kontrak kepada IMPSA dari Argentina dan satu kontrak lagi kepada Alstom dari Perancis.

Pada 2004, pakar runding JW Knowles telah diupah untuk mengkaji sebab kelewatan projek. Lain lain jururunding terlibat adalah Snowy Mountain Engineering Corporation dan OPUS International Malaysia.

Perkembangan terkini semasa cubaan ketiga[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2003, Gulf International Investment Group (GIIG) telah meletak wang pertaruhan sebanyak RM500 juta, sebagai permulaan ingin membeli 60% projek Empangan Bakun. GIIG adalah syarikat usahasama antara Syed Mokhtar Al-Bukhary, orang kaya dari Malaysia dan Mohamad Ali Al-Abbar, orang kaya dari Dubai. Tujuan pembelian ialah sebagai sumber tenaga elektrik untuk sebuah lagi pelaburan mereka iaitu kilang pelebur aluminium yang akan dibina di Similajau, Sarawak. Rancangan ini tidak diteruskan akibat kelewatan di dalam pembinaan Empangan Bakun.

Di tahun 2006, berikutan kenaikan bahanapi seperti gas asli dan minyak, talian penghantar bawah laut yang yang dahulunya tidak berdaya maju, kini telah dikaji semula untuk dilaksanakan. Tenaga Nasional Berhad telah menyatakan hasrat ingin menggunakan sumber hidroelektrik dari Sarawak menjelang 2012. Berikutan itu, beberapa syarikat telah menunjuk minat dan Sime Darby adalah yang terhadapan dalam usaha mendapatkan kontrak melaksanakan talian penghantar bawah laut ini.

Pada November 2006, berita tersebar mengenai pengabungan Sime Darby Berhad, Golden Hope Plantations Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad menjadi sebuah syarikat baru dengan modal berbayar RM 31 billion. Serentak dengan pengabungan tersebut, anak syarikat Sime Darby iaitu Sime Engineering Sdn Bhd akan mengambil alih sebahagian kepentingan kerajaan didalam Sarawak Hidro Sdn Bhd.

Pemeliharaan alam sekitar[sunting | sunting sumber]

Pembinaan Empangan Bakun ini menakibatkan 9,000 penduduk sekitar dipindahkan dari kawasan yang akan ditenggelamkan, Mereka telah ditempatkan semula di kampung rumah panjang Sungai Asap berhampiran Bakun.

Spesifikasi Empangan Bakun[sunting | sunting sumber]

Bahagian kekal empangan adalah seperti berikut:

  • Empangan utama
    • Tinggi 205 m dari tapak ke puncak. Panjang 750 m dari hujung ke hujung. Isipadu 16.71 juta meter padu.
    • Aras puncak ialah 235 m atas aras laut. Aras air maksima ialah 232 m. Aras operasi adalah 228 m maksima dan 195 m minima.
    • Takungan : luas permukaan ialah 695 km persegi, dan kawasan tadahan ialah 14,750 km persegi. Isipadu takungan ialah 43,800 juta meter padu.
  • Tandop – 8 petak dengan 2 pintu tandop setiap petak.
  • Alur limpah – luahan 15,000 meter padu sesaat.
  • Terowong jana – 8 terowong dengan 8.5 m bukaan rentang, dan panjang 760 m setiap satu.
  • Rumah janakuasa
    • Di atas tanah, 4 tingkat berukuran 250 m panjang x 48 m lebar x 48 m tinggi.
    • 8 set janakuasa merangkumi 8 turbin jenis Francis dengan bersaiz 300 MW sebuah, 8 janakuasa bersaiz 360 MVA sebuah dan 8 pembolehubah bersaiz 360 MVA sebuah.

Talian penghantar[sunting | sunting sumber]

Ada 3 bahagian utama talian penghantar:

Pertama, talian AC voltan tinggi dari Bakun ke Bintulu sepanjang 160 km. Talian 275 kV ini akan mengalirkan tenaga dari Empangan Bakun ke sebuah stesen pencawang di Bintulu, dan seterusnya ke grid elektrik Sarawak yang dikendalikan oleh Syarikat SESCO Berhad.

Kedua, talian DC voltan tinggi dari Bakun ke Tanjung Parih, Sarawak sepanjang 660 km. Talian ini pada voltan 500 kV jenis bipolar (dua kutub; positif dan negatif).

Ketiga, talian DC voltan tinggi dari Tanjung Parih, Sarawak ke Tanjung Tenggara, Johor sepanjang 670 km. Talian ini dibawah lautan pada voltan 500 kV dengan 3 atau 4 kabel dengan keupayaan 700 MW seutas.

Sebagai sebahagian system talian penghantar ini, 2 stesyen pengubah akan dibina di Bakun dan Tanjung Tenggara. Talian DC voltan tinggi ini akan disambung ke Grid Nasional yang dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad.

Fakta menarik[sunting | sunting sumber]

Apabila siap nanti:

  • Empangan Bakun akan menjadi empangan jenis CFRD yang tertinggi didunia dengan tinggi 205 m.
  • Tasik Bakun akan menjadi tasik terbesar di Malaysia (mengikut isipadu dan juga luas permukaan).
  • Stesen janakuasa Bakun akan menjadi penjana elektrik terbesar di Malaysia, mengatasi Empangan Pergau.
  • Talian penghantar bawah laut Bakun akan menjadi yang terpanjang di dunia, mengatasi talian penghantar dari Norway ke Belanda.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Economic Planning Unit (1996), Bakun – Green Energy For The Future, Kuala Lumpur, Malaysia: Percetakan Nasional Bhd. Ringkasan buku(Inggeris)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]