Eva Peron

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Peron mempunyai dua personaliti dan saya juga harus mempunyai sifat yang serupa: Saya adalah Eva Peron, isteri Presiden, yang tugasnya adalah mudah dan boleh diterima ... dan saya juga adalah Evita, isteri pemimpin sebuah bangsa yang telah melonggokkan kesemua kepercayaan, harapan dan kecintaan mereka kepada beliau .

María Eva Duarte de Perón (lebih dikenali dengan nama Evita (7 Mei 191926 Julai 1952) adalah isteri kedua Presiden Argentina Juan Domingo Perón (18951974) dan Wanita Pertama Argentina sejak 1946 hingga wafatnya pada 1952. Meskipun beliau tidak pernah secara rasmi terpilih menjadi tokoh politik, sebagai Wanita Pertama beliau memiliki lebih banyak kekuasaan dan pengaruh dalam pemerintahan daripada sesiapapun, kecuali suaminya. Di antara kaum miskin dan kelas pekerja Argentina, beliau mempunyai karisma yang tiada tolok bandingnya di luar monarki.

Eva telah membentuk Yayasan Eva Perón, yayasan amal yang membangun ribuan rumah dan sekolah untuk kaum perempuan dan kaum miskin dan untuk pertama kalinya dalam sejarah Argentina menjamin tidak ada ketimpangan dalam pemeliharaan kesihatan untuk warganya. Eva juga memimpin pembentukan Parti Peronis Wanita, yang merupakan parti politik wanita pertama di negaranya.

Pada tahun 1951, Eva mengadakan kempennya untuk mencalonkan dirinya menjadi Naib Presiden Argentina. Hal ini ditentang hebat oleh tentera Argentina, kaum elit, dan akhirnya suaminya sendiri. Andainya Eva terpilih, beliau akan menjadi wakil presiden perempuan pertama di dunia. (Gelaran ini akhirnya jatuh ke tangan isteri ketiga Perón, Isabel Perón, yang ironisnya berusaha meniru Eva.) Pada tahun 1952, Eva mendapat gelaran rasmi "Pemimpin Rohani Bangsa".

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Eva dilahirkan pada 7 Mei 1919, di Los Toldos, sebuah provinsi Buenos Aires. Bapanya, Juan Duarte, merupakan pemilik ladang ternak dan juga bertugas sebagai timbalan jaksa pendamai di sana. Walaupun bapanya berasal daripada keluarga bangsawan dan konservatif tetapi dia tidak pernah berkahwin dengan ibu Eva iaitu Juana Ibaguren. Sewaktu Eva berusia 1 tahun, bapanya telah meninggalkan keluarga Eva untuk pulang kepada keluarganya yang sah. Akibatnya, keluarga Eva seramai lima orang terpaksa melalui zaman kesusahan. Kesukaran ini bertambah serius selepas kematian bapanya pada 8 Januari 1926, akibat kemalangan jalan raya.

Sejak pemergian bapanya, masalah kehidupannya telah menjadi "perjuangan dari hari sehari," seperti yang ditulis oleh Erminda Duarte dalam bukunya "My Sister Evita". Ibunya, Juana Ibaguren sentiasa duduk disamping mesin jahitnya sambil menjahit tanpa henti, tak pernah mengadu atau berehat. "Saya tak ada masa. Sekiranya saya rehat, bagaimana untuk bekerja, bagaimana untuk meneruskan hidup?" (ms. 31). Kakaknya Elisa pula bekerja di pejabat pos dan kakaknya yang lain Blanca telah melanjutkan pelajaran untuk menjadi guru.

Ibunya kemudian telah bertemu dengan kekasihnya yang baru. Bapa tiri Evita ini telah membina sebuah rumah bagi 'keluarganya' di Junin. Demi menambah pendapatan mereka, ibunya telah mengambil keputusan menjadikan rumah tersebut sebagai rumah tumpangan. Gangguan utama bagi Eva dan adik beradiknya adalah panggung wayang yang berhampiran serta melihat kereta api ulang alik ke stesyen dari Buenos Aires. Rancangan asal ibu Eva adalah untuk mengahwinkannya dengan jejaka yang menginap di rumah tumpangannya. Namun, Eva mempunyai rancangan yang berbeza terutamanya selepas berlakon dalam pertunjukan pentas di sekolahnya bertajuk Arriba Estudiantes (Pelajar Bangkit), “sebuah melodrama penuh emosi, patriotik, dengan kibaran bendera.” Selepas lakonan tersebut beliau semakin nekad untuk menjadi seorang pelakon wanita yang terkemuka.

Pindah ke Buenos Aires[sunting | sunting sumber]

Pada usia 15 tahun, Eva Duarte telah berhijrah ke Buenos Aires untuk mencapai cita-citanya sebagai seorang pelakon. Terdapat kontroversi bagaimana beliau pergi ke sana. Versi popular mengatakan beliau dibawa ke kota besar itu oleh Agustín Magaldi (inilah versi yang muncul dalam musikal Andrew Lloyd Webber, "Evita"), sementara yang lain mengatakan beliau dibantu oleh ibunya.

Setiba di sana, Eva menghadapi kesulitan untuk bertahan tanpa pendidikan formal dan tanpa mengenal sesiapa. Setelah bertahun-tahun berjuang, akhirnya beliau mendapatkan pekerjaan sebagai pelakon radio dan filem, dan beraksi dalam melodrama murahan serta lipurlara di Radio El Mundo. Sedikit demi sedikit beliau muncul dalam program radio drama sejarah popular Biografi Wanita Agung dan di situ beliau memainkan peranan wanita penting dalam sejarah seperti Ratu Elizabeth I, Sarah Bernhardt dan Tsarina Rusia terakhir. Filem kegemaran peribadinya adalah Marie Antoinette 1938, yang dibintangi Norma Shearer. Kali pertama Eva muncul di layar perak ialah pada Ogos 1937 dalam filem 'Segundos Afuera'. Namun populariti beliau adalah lebih disebabkan pengaruh radio.

Penglibatan dalam politik[sunting | sunting sumber]

Pada 15 Januari 1944, suatu gempa bumi yang besar telah memusnahkan 90% perbandaran Andes di San Juan di mana seramai 7 ribu orang telah terkorban. Dari pejabat Buruh dan Kebajikan Sosial, Perón telah mengelolakan usaha bantuan kemanusiaan secara kebangsaan dan menjemput bintang-bintang popular pada ketika itu untuk menghulurkan bantuan. Antara yang terlibat termasuklah Eva Duarte.

Seminggu kemudian, satu pesta besar-besaran telah diadakan di Stadium Luna Park dan dari sini bermulalah perhubungan intim antara Eva Duarte dan Kolonel Perón.

Pada 9 Oktober 1945, Juan Perón ditangkap oleh musuh-musuhnya di dalam pemerintahan yang bimbang bahawa dengan sokongan kuat kaum miskin (descamisados) dan kaum buruh, populariti Perón dapat memudaratkan sokongan bagi presiden yang berkuasa.

Pada waktu itu, Eva yang menjadi wanita simpanannya, sering dipuji kerana mengorganisasi pertemuan-pertemuan massa dengan ribuan orang hingga membebaskan Juan Perón dari penjara pada 17 Oktober 1945. Versi tentang peristiwa ini dipopularkan dalam musikal Andrew Lloyd Webber, "Evita". Namun kebanyakan sejarawan setuju bahawa hal ini tidak mungkin terjadi kerana pada ketika itu, Eva hanya seorang pelakon. Beliau masih belum mempunyai pengaruh politik dengan berbagai kumpulan buruh yang menyokong Perón, dan juga tidak begitu disukai oleh lingkaran dekat Perón ataupun kebanyakan para pemilik perusahaan filem dan radio. Ketika Juan Perón dipenjara, Eva Perón tiba-tiba kehilangan sokongan dari kebanyakan orang. (Surat-surat mereka saat Juan di penjara menunjukkan bahawa keduanya sesungguhnya mempertimbangkan untuk meninggalkan Argentina setelah Juan dibebaskan. Faktor keduanya ialah kebimbangan bahawa Juan Perón mungkin akan dibunuh ketika di dalam penjara.)

Nyatanya, demonstrasi besar yang membebaskan Perón dari penjara dianjurkan oleh berbagai kumpulan buruh, seperti Konfederasi Umum Buruh, atau yang belakangan dikenal sebagai CGT. Hingga sekarang, tanggal 17 Oktober dianggap sebagai cuti awam untuk Parti Justicialist di Argentina (dirayakan sebagai Día de la Lealtad, "Hari Kesetiaan").

Evita berkempen untuk presiden Juan Perón[sunting | sunting sumber]

Eva Perón berkempen hebat supaya suaminya menjadi presiden Argentina dalam waktu yang singkat. Dengan acara radio mingguannya, ia menyampaikan pidato-pidato hebat dengan retorik populis yang kuat dan menganjurkan kaum miskin untuk bersatu dengan gerakan Perón. Meskipun ia kini cukup kaya hasil pendapatan dari lakonan radio dan kerjayanya sebagai model, beliau menyoroti masa kecilnya yang miskin sebagai cara untuk memperlihatkan solidaritinya dengan kaum miskin.

Eva mengunjungi setiap sudut negaranya, menjadi wanita pertama dalam sejarah Argentina untuk muncul secara umum dalam kempen politik suaminya. Penampilan Eva bersama suaminya seringkali mencetus kemarahan golongan kaya, tentera dan mereka dalam lingkungan politik. Namun beliau sangat popular di kalangan masyarakat, yang mengenalinya dari radio dan filem. Oleh itu, beliau merupakan alat yang efektif untuk mendapatkan perhatian daripada kaum miskin dan pemberi suara kelas pekerja Argentina. Pada masa hidupnya itulah untuk pertama kalinya ia menganjurkan rakyat Argentina untuk memanggilnya bukan sebagai "Eva Perón" namun sekadar "Evita", iaitu panggilan manja dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud "Eva yang Kecil". Eva telah berusaha keras untuk menaikkan nama suaminya itu dan hasilnya, pada pilihan raya 1946, Juan Perón telah memeperolehi kemenangan yang besar iaitu sebanyak 56% undi.

Lawatan Pelangi ke Eropah[sunting | sunting sumber]

Pada 1947,Juan Perón telah mendapat jemputan daripada Franco untuk melawati negara Sepanyol. Ini telah menimbul dilema kepada pihak pentadbiran kerana Franco menyokong gerakan fasisme dan kuasa paksi semasa Perang Dunia II, manakala Argentina baru hendak menjalinkan persahabatan dengan Amerika Syarikat dan menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Oleh itu, sekiranya Perón menerima jemputan ini, ia akan mengeruhkan perhubungan dengan negara-negara Barat lain. Namun,Perón masih mahu menunjukkan sokongannya terhadap gerakan fasisme.

Oleh yang demikian, isterinya bersetuju untuk menjadi wakilnya ke Sepanyol. Walaupun begitu, para penasihatnya telah mengubah agenda lawatan dan memasukkan negara lain seperti Perancis, Itali dan Switzerland agar lawatan ini tidak kelihatan seperti sokongan Argentina kepada Sepanyol.

Eva selaku seorang selebriti dan pelakon telah melaksanakan peranannya dengan penuh berkesan. Malah, beliau telah mendapat sambutan yang sangat baik di Sepanyol, di mana beliau melawat makam-makam diraja Sepanyol seperti Ferdinand dan Isabella. Sepanyol di bawah regim Franco masih belum pulih daripada Perang Saudara Sepanyol dan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh PBB. Sewaktu lawatannya ke Sepanyol beliau sering menderma 100-peseta kepada kanak-kanak miskin di sana. Eva juga telah dikurniakan pingat tertinggi oleh kerajaan Sepanyol iaitu, the Cross of Isabel the Catholic.