Felda Kumai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

FELDA Kumai ialah salah satu tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang terletak di Daerah Bera, Pahang Darul Makmur. FELDA Kumai terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai dan berada kira-kira 25 km dari Bandar Baru Bera.

Bagi pengunjung yang datang dari Bandar Temerloh, mereka perlu melalui jalan Temerloh-Triang dan akan menemui satu simpang masuk di Bandar Baru Bera yang mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dengan menaiki kereta.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Felda Kumai mula diteroka seawal tahun 1979 dan mula diduduki sejumlah 450 buah keluarga dari seluruh Malaysia semenjak tahun 1980.[1]

Nama Kumai ada yang mengatakan diambil daripada sejenis nama kayu balak dan ada juga yang mengaitkan dengan seekor gajah bernama Kumaini.[perlu rujukan]

Tempat menarik[sunting | sunting sumber]

FELDA Kumai mempunyai satu tempat pelancongan iaitu Air Terjun Bukit Bertangga, di Hutan Lipur Bukit Bertangga. Terdapat dua kawasan air terjun yang mempunyai ketinggian 30 meter dan 20 meter. Kemudahan yang disediakan adalah seperti jalan masuk, pondok rehat, tong sampah, jambatan kayu dan tapak perkhemahan. Beberapa aktiviti boleh dijalankan disini seperti mandi-manda, berkelah dan berkhemah.

Felda Kumai juga berdekatan dengan Tasik Bera, tasik semula jadi terbesar di Malaysia. Tasik Bera telah diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar yang pertama di Malaysia. Tasik Bera sangat dikenali di kalangan kaki pancing seluruh Malaysia kerana terdapat lebih 100 jenis spesies ikan di sini.[1]

Populasi[sunting | sunting sumber]

Dianggarkan kira-kira 530 buah rumah peneroka yang dibina di FELDA Kumai. Hampir keseluruhan penduduk di sini berbangsa Melayu. Kebanyakan penduduk di sini berasal dari negeri Pahang sendiri, namun ada juga dari Selangor (Jawa dan Banjar), Perak, Kedah, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Penempatan di FELDA Kumai terbahagi kepada tiga peringkat. Setiap peringkat terbahagi kepada beberapa blok yang berbeza. Setiap peringkat menunjukkan jangka masa peneroka menetap di sini. Sebagai contoh, peringkat pertama terdiri dari kalangan peneroka yang mula-mula menetap di sini.

Di sini terdapat Sekolah Kebangsaan (Felda) Kumai.

Aktiviti utama[sunting | sunting sumber]

Felda Kumai merupakan salah satu Felda dengan tanaman kelapa sawit. Ladang peneroka Felda di sini diusahakan sendiri oleh peneroka dan generasi kedua Felda dan ada juga yang menyerahkan kepada pengurusan Felda Plantation.

Antara aktiviti utama yang lain ialah penternakan lembu pedaging, pertanian dan industri kecil-kecilan.[1]

Hubungan sekitar[sunting | sunting sumber]

Kedudukan FELDA Kumai terletak berhampiran dengan beberapa buah tanah rancangan yang turut terdapat di di sini. Antara tanah rancangan yang terdapat di sekitar FELDA Kumai ialah Felda Sebertak, FELDA Mayam, Felda Bukit Kepayang, Felda Rentam, Felda Tementi, Felda Purun dan Felda Triang 3.

Hubungan silaturahim penduduk FELDA Kumai dengan beberapa buah tanah rancangan di kawasan sekitar amat erat. Ini dapat dibuktikan dengan wujudnya pelbagai aktiviti yang sering dilakukan secara bersama. Sebagai contoh, jika ada majlis kenduri-kendera di sini, penduduk di kawasan berhampiran akan turut diundang untuk bergotog-royong dan sama-sama memeriahkan majlis.

Ada juga program-program khas yang dianjurkan untuk memantapkan lagi hubungan di antara penduduk di sini. Antaranya ialah Sukan Komuniti, Program Mesra Rakyat dan juga Majlis Hari Raya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]