Frasa kerja

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Frasa kerja ialah perkataan atau sederetan perkataan yang digunakan untuk menggambarkan perbuatan, sama ada melibatkan pergerakan atau tidak, oleh manusia, hewan, benda dan unsur abstrak. Ia adalah antara empat kategori frasa yang terdapat dalam bahasa Melayu. Ia mempunyai fungsi yang banyak dalam pembinaan frasa dan ayat. Oleh sebab itu pemahaman mengenai frasa ini penting bagi seseorang pengguna bahasa untuk menjana frasa dan ayat yang gramatis.

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Frasa kerja (FK) boleh dikenal pasti melalui ciri khususnya iaitu ia boleh didahului oleh kata bantu (aspek dan ragam). Contoh FK yang didahului oleh kata bantu ialah (1a-d) yang berikut.

1. Contoh:

a. akan tidur
b. sedang menonton televisyen
c. hendak makan
d. suka membaca
e. perkerja yang rajin seperti azri

Dalam (1), FK “akan tidur” (1a), “sedang menonton televisyen” (1b) masing-masing didahului oleh kata bantu aspek “akan” dan “sedang”. FK “hendak makan” (1c) dan “suka membaca” (1d) pula masing-masing didahului oleh kata bantu ragam “hendak” dan “suka”.

Jenis[sunting | sunting sumber]

FK boleh dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu tak transitif dan transitif. Perbezaan antara kedua-duanya ialah FK tak transitif (2-ac) tidak mempunyai objek sementara FK transitif (3a-c) sebaliknya.

2. Contoh:

a. Bayi itu menangis.
b. Dia sudah keluar.
c. Mereka sedang bermain.


3. Contoh

a. Ali membaca buku motivasi.
b. Siti menggulai kopi.
c. Mereka memasuki bangunan itu.

“Menangis” (2a), “sudah keluar” (2b) dan “sedang bermain” ialah FK tak transitif kerana masing-masing tidak mempunyai objek. “Membaca” (3a), “menggulai” (3b) dan “memasuki” (3c) ialah FK transitif kerana masing-masing mempunyai objek, iaitu “buku motivasi”, “kopi” dan “bangunan itu”.

Perbezaan lain ialah FK transitif boleh dipasifkan manakala FK tak transitif tidak.

Frasa kerja tak transitif[sunting | sunting sumber]

FK tak transitif ialah frasa kerja yang tidak mempunyai objek. Walau bagaimanapun sebahagiannya mempunyai pelengkap. Oleh itu, FK tak transitif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu tak berpelengkap dan berpelengkap.

FK tak transitif tak berpelengkap[sunting | sunting sumber]

FK tak transitif tak berpelengkap ialah FK yang tidak memerlukan sebarang unsur untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (2a-c), dicatat semula sebagai (4a-c).

4. Contoh:

a. Bayi itu menangis.
b. Dia sudah keluar.
c. Mereka sedang bermain.

Maksud ayat (4a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menangis”, “sudah keluar” dan “sedang bermain” sudah sempurna walaupun tiada sebarang unsur mengiringi FK berkenaan.

FK Tak Transitif Berpelengkap[sunting | sunting sumber]

FK tak transitif berpelengkap ialah FK yang memerlukan kehadiran unsur untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (5a-c) yang berikut:

5. Contoh:

a. Siti menjadi guru.
b. Keadaannya beransur baik.
c. Dr Ali pergi ke Pulau Pinang.

Maksud ayat (5a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menjadi”, “beransur” dan “pergi” tidak akan sempurna tanpa unsur pelengkapnya, iaitu “guru”, “baik” dan “ke Pulau Pinang”.

5'. Contoh:

a. *Siti menjadi.
b. *Keadaannya beransur.
c. *Dr Ali pergi.

Nota: Tiga jenis frasa yang boleh menjadi pelengkap FK tak transitif berpelengkap ialah frasa nama (“guru” dalam (5a)), frasa adjektif (“baik” dalam (5b)) dan frasa sendi nama (“ke Pulau Pinang” dalam (5c)).

Panduan:

  • Sebahagian besar pelengkap FK tak transitif berpelengkap terdiri daripada frasa sendi nama.
  • Pelengkap FK tak transitif berpelengkap berimbuhan ber+_+kan ialah frasa nama (6).
(6) Hang Tuah bersenjatakan keris Taming Sari.

Frasa kerja transitif[sunting | sunting sumber]

Frasa kerja transitif(FKT) ialah satu daripada dua kategori frasa kerja. Satu lagi kategori frasa kerja ialah FK tak transitif (FKTT). Sementara FKTT hanya melibatkan satu pihak, iaitu subjek ayat, FKT melibatkan pihak kedua, iaitu objek ayat. Misalnya, dalam ayat “Ali tidur”, FKTT “tidur” hanya melibatkan satu pihak, iaitu subjek ayat “Ali”. Sebaliknya, dalam ayat “Ali memukul ular itu”, FKT “memukul” melibatkan dua pihak, iaitu subjek ayat “Ali” dan pihak kedua, iaitu objek ayat “ular itu. Oleh sebab FKT mempunyai objek, ia boleh dipasifkan.

“Ali memukul ular itu.”
“Ular itu dipukul oleh Ali.”

Jenis/Kategori[sunting | sunting sumber]

FKT dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu:

1) Asal – frasa kerja yang sememangnya bersifat transitif.

Contoh: makan, minum, membaca, memukul (bentuk aktif); dimakan, diminum, dibaca, dipukul (bentuk pasif)

2) Terbitan

  • diterbitkan daripada kategori/jenis frasa yang lain, iaitu frasa nama (FN), FKTT dan frasa adjektif (FA) serta dua frasa sendi nama (FSN), iaitu “ke tepi” dan “ke tengah”.
  • diterbitkan daripada FN, misalnya “raja” – merajai, merajakan (bentuk aktif); dirajai, dirajakan (bentuk pasif)
  • daripada FK tak transitif, misalnya
“tidur” – meniduri, menidurkan (aktif); ditiduri, ditidurkan (pasif)
“temu” – menemui, menemukan (aktif); ditemui, ditemukan (pasif)
“bertemu” – mempertemukan (aktif); dipertemukan (pasif)
“bersuami” – mempersuami, mempersuamikan; dipersuami, dipersuamikan
  • daripada FA (adjektif), misalnya “indah” – mengindahi, mengindahkan; diindahi, diindahkan
  • daripada FSN “ke tepi” dan “ke tengah” – mengetepikan, mengetengahkan; diketepikan, diketengahkan

Makna imbuhan +i pada FKT asal[sunting | sunting sumber]

Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT asal, iaitu menunjukkan perbuatan dilakukan berulang kali/bersungguh-sungguh.

Siti membacai buku cerita itu.

Maknanya ialah perbuatan “membacai” dilakukan berulang kali/bersungguh-sungguh.

Makna imbuhan +kan pada FKT asal[sunting | sunting sumber]

Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +kan pada FKT asal, iaitu makna “benfaktif” (objek tepat ayat ahíla pihak yang mendapat faedah daripada perbuatan).

Siti membacakan adiknya buku cerita.

Maknanya ialah objek tepat ayat (adiknya) ialah pihak yang mendapat faedah daripada perbuatan (membacakan).

Makna imbuhan +i pada FKT terbitan (daripada FN)[sunting | sunting sumber]

Terdapat empat makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT yang diterbitkan daripada FN.

1) Menjadi

Parameswara merajai Melaka.

Maknanya ahíla “Parameswara menjadi raja Melada”.

Saya menggurui kelas ini.

Maknanya ahíla “Saya menjadi guru kelas ini”.

2) Memberi

Dia menasihati saya supaya bersabar.

Maknanya ialah “Dia memberi saya nasihat supaya bersabar”.

Dia sudah memaafi saya.

Maknanya ahíla “Dia sudah memberi saya maaf”.

3) Meletakkan/membubuh

Siti menggarami ikan.

Maknanya ialah “Siti membubuh garam pada ikan”.

Siti menggulai kopi.

Maknanya ahíla “Siti membubuh gula ke dalam kopi”.

4) Membuang

Encik Ahmad merumputi halaman rumahnya.

Maknanya ialah “Encik Ahmad membuang (mencabut, menebas, mencangkul) rumput di halaman rumahnya”.

Siti menyisiki ikan.

Maknanya ialah “Siti membuang sisik ikan”.

Makna imbuhan +kan pada FKT terbitan (daripada FN)[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua makna yang didokong oleh imbuhan +kan pada FKT yang diterbitkan daripada FN.

1) Menjadikan (“kausatif”)

Rakyat Melaka merajakan Parameswara.

Maknanya ialah “Rakyat Melaka menjadikan Parameswara raja”.

Dia menasihatkan supaya saya bersabar.

Maknanya ialah “Dia menjadikan “supaya saya bersabar” nasihat”.

2) Memasukkan

Hakim itu memenjarakan pesalah.

Maknanya ialah “Hakim itu memasukkan pesalah ke dalam penjara”.

Kerani itu memfailkan surat-surat tersebut.

Maknanya ialah “Kerani itu memasukkan surat-surat tersebut ke dalam fail”.

Makna imbuhan +i pada FKT yang diterbitkan daripada FK tak transitif[sunting | sunting sumber]

Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +I pada FKT jenis ini, iaitu pelaku perbuatan yang disebut dalam FKT berkenaan ialah subjek ayat.

Ali menaiki bangunan itu.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “naik” ialah subjek ayat (Ali).

Ali memperisteri Aminah.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “beristeri” ialah subjek ayat (Ali).

Makna imbuhan +kan pada FKT yang diterbitkan daripada FK tak transitif[sunting | sunting sumber]

Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT jenis ini, iaitu pelaku perbuatan yang disebut dalam FKT berkenaan ialah objek ayat.

Ali menaikkan bendera.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “naik” ialah objek ayat (bendera).

Aminah memperisterikan Ali dengan Siti.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “beristeri” ialah objek ayat (Ali).

Makna imbuhan +i pada FKT yang diterbitkan daripada FA (adjektif)[sunting | sunting sumber]

Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT jenis ini, iaitu subjek ayat ialah “pemangkin”, iaitu kerana sifat yang ada padanya menyebabkan pihak lain (objek ayat) juga mendapat sifat tersebut.

Pohon-pohon bunga mengindahi taman itu.

Maknanya ialah subjek ayat (pohon-pohon bunga) ialah “pemangkin” yang mempunyai sifat “indah”, dan kerana keindahannya objek ayat (taman itu) juga menjadi indah.

Bedak memutihi mukanya.

Makna imbuhan +kan pada FKT yang diterbitkan daripada FA (adjektif)[sunting | sunting sumber]

Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT jenis ini, iaitu subjek ayat ialah “agen”, iaitu kerana usaha/perbuatan/keupayaannya menyebabkan pihak lain (objek ayat) mendapat sifat yang disebut pada FKT berkenaan.

Ali mengindahkan taman itu dengan pohon-pohon bunga.

Maknanya ialah subjek ayat (Ali) ialah “agen”, iaitu kerana usahanya menyebabkan objek ayat (taman itu) menjadi indah.

Contoh lain ayat:

Krim pencerah memutihkan mukanya.

Imbuhan +per[sunting | sunting sumber]

Satu lagi imbuhan yang dapat menerbitkan FKT ialah +per. Mengenai penggunaan imbuhan ini, dua perkara yang berikut perlu diperhatikan:

1) Imbuhan +per mempunyai fungsi dan mendokong maksud yang sama dengan imbuhan +kan. Persamaan ini terlihat dalam contoh FKT yang berikut:

Perbesar = besarkan – maknanya ialah “jadikan besar”.
Perluas = luaskan – “jadikan luas”.
Perbetul = betulkan – “jadikan betul”.

Disebabkan persamaan ini, kedua-dua imbuhan tidak boleh digandingkan untuk menerbitkan sesuatu FKT. Contoh penggandingan imbuhan +per dan +kan (tidak dibenarkan) adalah seperti dalam ayat yang berikut:

Encik Ali memperbesarkan rumahnya.
Memperluaskan
Memperbetulkan

2) Imbuhan +kan dan +i tidak boleh digandingkan dalam penerbitan sesuatu FKT. Oleh sebab imbuhan +per = +kan, imbuhan +per juga tidak boleh digandingkan dengan imbuhan +i. Contoh penggandingan imbuhan +per dan +i (tidak dibenarkan) adalah seperti dalam ayat yang berikut:

Mereka memperhalusi cadangan itu.
Mereka memperhalus cadangan itu.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]