Gangguan bekalan elektrik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Dahan pokok menyebabkan litar pintas pada talian elektrik semasa ribut. Ia seterusnya menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan yang dibekalkan talian tersebut.

Gangguan bekalan elektrik merupakan kehilangan bekalan elektrik jangka panjang atau pendek di sesebuah kawasan.

Terdapat banyak sebab berlakunya gangguan bekalan elektrik. Antaranya termasuklah kegagalan stesen penjana elektrik, kerosakan pada talian penghantaran, pencawang atau bahagian lain pada sistem pengagihan elektrik, litar pintas, atau beban lampau pada bekalan elektrik sesalur.

Putus bekalan.
Kegagalan sementara.

Gangguan bekalan elektrik boleh jadi kritikal di kawasan di mana keselamatan awam serta persekitaran berada dalam risiko. Institusi seperti hospital, loji pembetungan, lombong, dsb., biasanya mempunyai punca bekalan kuasa sandaran, seperti penjana elektrik sedia, yang akan dihidupkan secara automatik apabila bekalan elektrik terputus. Sistem kritikal lain seperti telekomunikasi juga diwajibkan memiliki punca bekalan elektrik kecemasan. Ibusawat telefon biasanya mempunyai tatarajah bateri asid plumbum sebagai sandaran serta soket untuk disambungkan ke penjana elektrik jika bekalan elektrik putus lebih lama.

Jenis gangguan bekalan elektrik[sunting | sunting sumber]

Tiga kategori gangguan bekalan kuasa adalah seperti berikut:

  • Kegagalan sementara - kehilangan kuasa sementara yang disebabkan gangguan pada talian kuasa. Bekalan elektrik akan pulih secara automatik apabila gangguan tersebut diperbetulkan.
  • Padam separa - jatuhan voltan pada bekalan elektrik. Istilah tersebut berasal daripada keadaan lampu elektrik yang semakin malap apabila voltan semakin turun. Fenomena padam separa boleh menyebabkan prestasi peralatan elektrik yang semakin terjejas serta operasi yang tidak betul.
  • Putus bekalan elektrik - Kehilangan terus kuasa elektrik, serta merupakan jenis gangguan bekalan elektrik yang paling teruk. Bekalan elektrik terputus berpunca daripada beberapa sebab seperti stesen janakuasa terpelantik, talian elektrik terputus, dsb. Bekalan elektrik yang terputus mengambil masa dari beberapa minit sehinggalah berminggu-minggu, bergantung kepada punca bekalan elektrik terputus serta konfigurasi rangkaian elektrik.

Perlindungan daripada gangguan bekalan elektrik[sunting | sunting sumber]

Syarikat pembekal elektrik biasanya menjana bekalan elektrik pada kadar menghampiri jumlah permintaan untuk mengelakkan beban lampau pada komponen rangkaian elektrik yang boleh merosakkannya. Sedikit rizab ditinggalkan bagi membolehkan rangkaian elektrik menampung pertambahan permintaan elektrik tanpa mengakibatkan bekalan padam separa. Jika terdapat lebihan kuasa terjana, beberapa komponen rangkaian elektrik akan dimatikan. Namun demikian, penutupan komponen tersebut ada kalanya boleh menyebabkan gangguan elektrik berskala besar. Gangguan elektrik berskala besar berupaya menjejaskan kegiatan ekonomi di kawasan yang terlibat.

Sesetengah pengguna kediaman memiliki set penjana elektrik kecil berkuasa rendah yang hanya digunakan untuk peralatan elektrik penting sahaja seperti lampu. Ada juga pengguna yang memasang lampu kecemasan yang menyala secara automatik apabila bekalan elektrik terputus dan dicas semula sekiranya bekalan elektrik pulih.

Sistem komputer serta peralatan elektronik lain terdedah kepada risiko kehilangan data serta kerosakan perkakasan akibat gangguan bekalan elektrik secara tiba-tiba. Untuk melindungi sistem komputer, penggunaan bekalan tenaga berterusan (UPS) boleh membekalkan kuasa sementara kepada komputer semasa bekalan elektrik terputus, memberi peluang kepada pengguna untuk menyimpan data serta menutup komputer dengan cara yang betul untuk mengelakkan kerosakan perkakasan.

Kes utama gangguan bekalan elektrik di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Terdapat kes besar yang melibatkan putus bekalan elektrik di Malaysia.

1992[sunting | sunting sumber]

Pada 31 Julai 1992, Malaysia mengalami bekalan elektrik yang terputus untuk jangka masa yang lama akibat panahan kilat pada grid yang melibatkan empat talian kuasa antara Paka dan Teluk Kalong di Terengganu. Lima belas stesen kuasa di pantai barat terputus kuasa dan bekalan pulih antara enam hingga sepuluh jam kemudian.

1996[sunting | sunting sumber]

Bekalan elektrik terputus secara besar-besaran di Semenanjung Malaysia bermula pada jam 17:17 3 Ogos 1996. Negeri-negeri yang terlibat secara serius termasuklah Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan – mengalaminya untuk beberapa jam.

Talian penghantaran berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka, Terengganu terganggu pada waktu tersebut menyebabkan semua stesen kuasa di Semenanjung Malaysia mengalami kegagalan dalam membekalkan kuasa elektrik. Bekalan kembali pulih pada jam 11 malam.[1]

Disebabkan hal ini, pihak kerajaan meluluskan lima penghasil kuasa untuk menyertai perniagaan penjanaan elektrik. Hal ini juga menyebabkan saham utama Tenaga Nasional jatuh mendadak.[2]

2003[sunting | sunting sumber]

Selatan Semenanjung Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik termasuk negeri Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Negeri-negeri ini mula mengalami gangguan jam 10 pagi dan berlarutan selama 5 jam pada 4 September dan menyebabkan industri tempatan kerugian $13.8 juta [3]

References[sunting | sunting sumber]

  1. "Major blackouts in Malaysia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-11. Diperoleh pada 2009-04-07. 
  2. Appell, Douglas (1996-08-06). "HEARD IN ASIA Weekend Blackout Spells Trouble for Tenaga Power". The Wall Street Journal. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-11. Diperoleh pada 2009-04-07. 
  3. [1]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]