Gaya hidup

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Istilah gaya hidup pada asalnya dicipta oleh ahli psikologi Austria, Alfred Adler, pada 1929. Pengertiannya yang lebih luas, sebagaimana difahami pada hari ini, mula digunakan sejak 1961.[1]

Dalam bidang sosiologi, gaya hidup ialah cara bagaimana seseorang hidup. Gaya hidup ialah kumpulan ciri tingkah laku yang bererti kepada kedua-dua orang-orang lain dan diri sendiri dalam sesuatu masa dan tempat, termasuk hubungan sosial, penggunaan, hiburan, dan pakaian. Tingkah laku dan amalan dalam gaya hidup merupakan campuran tabiat, cara lazim membuat sesuatu, serta tindakan berdasarkan logik. Gaya hidup biasanya membayangkan sikap, nilai, dan pandangan dunia seseorang. Justera, gaya hidup ialah cara untuk memupuk konsep kendiri serta mencipta simbol kebudayaan yang menggemakan identiti peribadi. Namun bukan semua aspek gaya hidup bersifat sukarela pada sepenuhnya. Sistem-sistem sosial dan teknikal di sekeliling boleh menyekat pilihan gaya hidup serta simbol yang dapat digunakan untuk menonjolkan gaya hidup kepada orang-orang lain dan diri sendiri.[2]

Sempadan antara identiti peribadi dengan perbuatan sehari-hari yang menandakan sesuatu gaya hidup semakin kabur dalam masyarakat moden.[3] Misalnya, "gaya hidup hijau" bermakna memegang kepercayaan dan melakukan kegiatan-kegiatan yang menggunakan kurang sumber serta menghasilkan kurang sisa yang berbahaya (iaitu jejak karbon yang lebih kecil) dan mencapai penghargaan diri menerusi pemegangan kepercayaan dan pembuatan kegiatan-kegiatan tersebut. Sesetengah pengulas mendebat bahawa dalam kemodenan, asas pembinaan gaya hidup ialah tingkah laku penggunaan yang menawarkan kemungkinan untuk mencipta dan membezakan diri lagi menerusi produk dan perkhidmatan yang menandakan gaya hidup yang berbeza.[4]

Politik[sunting | sunting sumber]

Istilah "gaya hidup" dalam bidang politik sering digunakan untuk memberikan gagasan bahawa masyarakat perlu menerima berbagai-bagai cara hidup. Ini berdasarkan sudut pandangan bahawa segala perbezaan antara cara-cara hidup adalah cetek dan bukannya eksistensial. "Gaya hidup" kekadang juga digunakan secara pejoratif untuk menonjolkan sesetengah cara hidup sebagai cara hidup pemilihan atau cara hidup sukarela, bertentangan dengan cara-cara hidup yang lain yang dianggap sebagai gaya hidup utama atau normatif.

Dalam bidang anarkisme, anarkisme gaya hidup ialah pandangan bahawa sesebuah masyarakat anarkisme boleh dibentuk dengan mengubah kegiatan-kegiatan peribadi, berbanding dengan melibatkan diri dalam perjuangan kelas.

Pengiklanan dan pemasaran[sunting | sunting sumber]

Dalam bidang perniagaan, "gaya hidup" memberikan para pengiklan dan pemasar cara untuk menyasarkan dan memadankan kehendak pengguna dengan produk mereka, atau untuk mewujudkan minat terhadap produk baharu mereka. Justera, para pemasar mengkaji pola kepercayaan dan tindakan yang mencirikan gaya-gaya hidup pengguna dan mendorong mereka ke arah pembelanjaan dan penggunaan. Pola-pola itu membayangkan faktor-faktor demografi (tabiat, sikap, cita rasa, taraf kesusilaan, tahap ekonomi, dan sebagainya) yang mentakrifkan kelompok sasaran pemasar. Sebagai binaan yang mengarahkan manusia untuk berinteraksi dengan dunia-dunia mereka sebagai pengguna, gaya-gaya hidup tertakluk kepada perubahan oleh tuntutan inovasi pemasaran dan teknologi.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Online Etymology Dictionary
  2. Spaargaren, G., and B. VanVliet. 2000. ‘Lifestyles, Consumption and the Environment: The Ecological Modernisation of Domestic Consumption.’ Environmental Politics. 9(1): 50-75.
  3. Giddens, A. 1991. Modernity and self-identity: self and society in the late modern age. Cambridge: Polity Press.
  4. Ropke, I. 1999. ‘The Dynamics of Willingness to Consume. Ecological Economics. 28: 399-420.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Stebbins, Robert A. (2009) Personal decisions in the public square Beyond problem solving into a positive sociology. New Brunswick, NJ: Transaction.