Geografi Australia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Zon-zon iklim di Australia.

Daratan Australia yang seluas 7,686,850 kilometer persegi (2,967,909 batu persegi) terletak di Plat Indo-Australia. Dikelilingi oleh Lautan-lautan Hindi, Selatan dan Pasifik, Australia dipisahkan daripada Asia oleh Laut Arafura dan Laut Timor. Panjangnya garis pinggir laut Australia 25,760 kilometer (16,007 batu). Negara ini menuntut Zon Ekonomi Eksklusif yang luas, sebanyak 8,148,250 kilometer persegi (3,146,057 batu persegi). Zon ini tidak termasuk Wilayah Antartik Australia.

Terumbu Sawar Besar, terumbu karang yang terbesar di dunia, terletak tidak jauh dari pantai timur laut Australia dan terbentang melebihi 2,000 kilometer (1,250 batu). Gunung Augustus, monolit yang terbesar di dunia, terletak di Australia Barat. Dengan tingginya sebanyak 2,228 meter (7,310 kaki), Gunung Kosciuszko di Banjaran Bahagi Besar adalah gunung yang tertinggi di tanah besar Australia, walaupun Puncak Mawson di Pulau Heard, sebuah wilayah terpencil Australia, adalah lebih tinggi. Tingginya 2,745 meter (9,006 kaki).

Sebahagian besar Australia terdiri daripada gurun dan tanah separa gersang. Australia adalah benua terkering yang didiami manusia, serta benua yang paling datar, dan mempunyai tanih-tanih yang tertua serta yang paling kurang subur. Hanya sudut-sudut tenggara dan barat daya benua ini mempunyai iklim yang sederhana. Sebahagian besar penduduknya tinggal di sepanjang garis pinggir laut tenggara yang beriklim sederhana. Bahagian utara negara ini yang beriklim tropika mempunyai tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada hutan hujan, hutang jarang, padang rumput, paya bakau, serta gurun. Iklimnya amat dipengaruhi oleh arus-arus lautan, termasuk pengayunan selatan El Niño, yang berhubung kait dengan kemarau berkala, dan sistem tekanan rendah tropika bermusim yang mengakibatkan siklon di Australia utara.