Geografi Terengganu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak diantara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang.

Keluasan negeri Terengganu sekarang kira-kira 1,295,638.3 hektar / 1,295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari Utara ( Besut ) ke selatan ( Kemaman ). Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu; Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu. Daerah dalam negeri Terengganu dikurangkan kepada enam: Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Besut. Kemudiannya pada 1 Januari 1985, sebuah daerah baru iaitu Setiu telah dibentuk dan menjadikan daerah ketujuh di Negeri Terengganu.

Tiap-tiap daerah ini ditadbirkan oleh Pegawai Daerah. Keluasan daerah tersebut adalah: Kuala Terengganu 60,654.3 hektar; Kemaman, 253,559.9 hektar; Dungun, 273,503.1 hektar; Marang, 66,654.3 hektar; Hulu Terengganu, 387,463.6 hektar, Setiu, 130,436.3 dan Besut, 123,367.8 hektar. Bandar-bandar utama di Terengganu adalah Bandar Kuala Terengganu (ibu negeri), Chukai, Kuala Besut, Rantau Abang dan Kuala Dungun.

Penduduk Terengganu bertambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 1912 penduduk Terengganu berjumlah 153,765 orang. Pada tahun 1951 seramai 236,300 orang. Seterusnya meningkat lagi pada tahun 1959 ke angka 278,147 orang dan tahun 1960 seramai 306,942. Pada tahun 1963 berjumlah 339,816 orang dan pada tahun 1970 berjumlah 405,751 orang. Jumlahnya terus meningkat pada tahun 1990 ke angka 756,300 orang. Kini penduduk Terengganu melebihi 1 juta orang. Daripada jumlah ini 90 peratus adalah orang Melayu dan bakinya terdiri daripada orang Cina dan India.

Ibu negeri Terengganu ialah Kuala Terengganu. Kegiatan utama ekonomi ialah perikanan. Hasil petrolium menguatkan lagi ekonomi negeri.