Geografi Vietnam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Vietnam terbentang kira-kira 331,688 km² (128,066 batu persegi) keluasannya (tidak termasuk pulau-pulau Hoang Sa dan Truong Sa). Perimeter negara di sepanjang sempadan antarabanganya ialah 4,639 km (2,883 batu). Topografinya terdiri daripada bukit-bukau dan gunung-ganang yang padat dengan hutan, manakala tanah rata meliputi tidak lebih 20% seluruh kawasan negara. 40% kawasan Vietnam diduduki gunung, 40% diduduki bukit yang lebih kecil dan 42% ditumbuhi hutan hujan tropika. Bahagian utara negara banyak terdiri daripada tanah tinggi dan Delta Sungai Merah. Phan Xi Păng yang terletak di wilayah Lào Cai, ialah gunung tertinggi di Vietnam pada ketinggian 3,143 m (10,312 kaki). Bahagian selatan pula terdiri daripada tanah pamah pantai, puncak-puncak Banjaran Annamite, hutan yang berleluasa, dan tanah yang kurang subur. Tanah tinggi yang terdiri daripada lima bidang penara agak rata bertanah basalt ini, meliputi 16% daripada seluruh tanah suai tani dan 22% daripada tanah hutannya.

Delta Sungai Merah (atau Sông Hồng), sebuah kawasan rata berbentuk segi tiga yang meliputi 3,000 km², sungguhpun lebih kecil namun lebih pesat dimajukan dan lebih padat pendudukannya berbanding Delta Sungai Mekong. Delta yang pernah menjadi serokan Teluk Tonkin ini sudah dipenuhi oleh mendapan aluvium besar-besaran dari sungai-sungai selama beribu-ribu tahun, dan memanjang semeter ke arah Teluk setiap tahun. Delta Mekong yang meliputi kira-kira 40,000 km², ialah dataran rendah yang ketinggiannya tidak melebihi tiga meter atas paras laut di mana-mana titik dan banyak disilang oleh terusan dan sungai yang berselirat. Cabang-cabang dan cawang-cawang Sungai Mekong banyak membawa endapan sehingga delta ini bertambah 60 hingga 80 meter panjangnya ke laut setiap tahun.

Vietnam mengalami iklim monsun tropika, dengan kelembapan purata 84% sepanjang tahun. Bagaimanapun, oleh sebab perbezaan dalam latitud dan kepelbagaian muka bumi topografi yang ketara, maka iklim banyak berbeza dari tempat ke setempat. Ketika musim dingin atau musim kering, iaitu kira-kira dari bulan November hingga April, angin-angin monsun lazimnya bertiup dari timur laut sepanjang pantai China dan merentasi Teluk Tonkin, lalu banyak mengumpul lembapan; kesannya, musim sejuk di kebanyakan tempat-tempat di negara agak kering berbanding msuim panas atau hujan. Suhu purata tahunan lazimnya lebih tinggi dalam kawasan dataran berbanding di kawasan gunung dan penara.