Gerakan feminisme di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Simbol feminisme Islam menggabungkan simbol agama Islam (bulan sabit dan bintang) dan simbol jantina perempuan. Tidak seperti kebanyakan negara-negara majoriti Islam yang lain, wanita Islam di Malaysia mempunyai lebih kebebasan peribadi.

Gerakan feminisme di Malaysia seperti di negara-negara yang membangun yang lain dan di Barat mempunyai matlamat yang sama bagi wanita sejagat, sama ada kesaksamaan dalam ekonomi, pendidikan, politik, mahupun sosial. Walau bagaimanapun, ramai daripada golongan wanita Malaysia kurang selesa menggelar diri feminis disebabkan konotasi dan konsep feminisme itu sendiri yang dianggap asing dan mempunyai unsur-unsur kebaratan[1]. Sesetengah pihak pula mencemuh gerakan feminisme sebagai aktiviti yang "tidak sihat mencetuskan semangat tidak puas hati dan meningkatkan prasangka dan permusuhan antara kaum wanita dengan lelaki[2]. Sebaliknya, feminisme serupa seperti sosialisme; tidak mengenal warna kulit dan bangsa; sepertimana gerakan yang lain yang berfungsi bagi memperjuangkan kebebasan dan perubahan (di Dunia Ketiga) hanya boleh diperkukuhkan melalui pergandingan tenaga wanita dari kesemua lapisan masyarakat, dan hasilnya adalah kebebasan daripada pengeksploitasi, penindasan, dan penstrukturan patriarki[3].

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Perkembangan isu wanita dan tuntutan kesamaan hak mula menjelma hanya selepas kemerdekaan negara Malaysia pada tahun 1957. Zaman pra-kemerdekaan melihat penglibatan wanita dan lelaki secara bersama dalam usaha mengusir keluar penjajah British. Waktu ketika itu isu wanita yang diketengahkan hanya berhubung pendidikan khususnya bagi kanak-kanak perempuan yang buta huruf. Perwakilan wanita dalam arena politik pada mulanya sangatlah rendah; daripada 1% yang mewakil di parlimen (1950-an), kepada 5.2% pada tahun 1980-an, dan 7.8% pada tahun 1990-an[4].

Matlamat[sunting | sunting sumber]

Peningkatan kadar jenayah terhadap wanita, sama ada keganasan domestik atau rogol, pada tahun 1980-an mencetuskan penubuhan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan dalam pembelaan mangsa wanita. Kebanyakan daripada perbadanan ini berpusat di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching, dan Pulau Pinang, seperti Perbadanan Bantuan Wanita (atau Women's Aid Organisation (WAO), ditubuhkan pada tahun 1982), Pusat Krisis Wanita (atau Women's Crisis Centre (WCC), ditubuhkan pada tahun 1985), dan Kumpulan Sumber Tindakan Wanita Sabah (atau Sabah Women’s Action Resource Group, ditubuhkan pada tahun 1987).

Kini matlamat gerakan feminisme di Malaysia banyak menjurus kepada isu-isu kekeluargaan dan kurang prihatin kepada pembanterasan keganasan dan gangguan seksual yang dihadapi oleh kaum hawa Malaysia. Setakat ini kaum wanita masih dipersalahkan atas keganasan yang ditimpanya. Di negeri Kelantan sebagai contoh boleh mendenda wanita yang memakai gincu berwarna terang dan kasut bertumit tinggi ke pejabat kerana ini boleh mengundang gangguan seksual[5] Masalah-masalah lain adalah seperti penggambaran negatif dan stereotip wanita dalam media, ibu-ibu tunggal yang tidak terbela, dan kekurangan wanita berpengaruh dalam politik belum mendapat perhatian rakyat.

Sisters in Islam (SIS) yang ditubuhkan pada tahun 1990 banyak menyumbang kepada rombakan Undang-undang Syariah Keluarga, dan kini menjalankan pelbagai kajian dan perkhidmatan bagi kaum wanita Islam.

Masalah dan kritikan[sunting | sunting sumber]

Gerakan feminisme sering disalahfahamkan sebagai melanggari budaya Timur dan agama Islam kerana asal-usul yang kononnya dari negara-negara Barat yang dianggap terlalu sekular. Namun, gerakan feminisme tetap berjuang di negara-negara Timur Tengah seperti Iran dan Mesir di mana diskriminasi terhadap kaum wanita adalah lumrah hidup masyarakat. Ramai pula yang beranggapan bahawa feminisme adalah gerakan yang elitis yang dianggotai oleh ahli-ahli yang berpendidikan barat dari kelas atasan. Dan oleh disebabkan kerangka sosial dan politik Malaysia yang bersifatkan patriarki dan paternalistik, perbincangan mengenai seksualiti wanita (seperti soal-soal kedaraan, perancangan keluarga, dan perguguran anak) disekat bagi menjaga sensitiviti rakyat Malaysia yang bersopan santun dan harmoni. Sisters in Islam yang sangat vokal mengkritik poligami dan penyekatan kebebasan berpakaian bagi wanita tidak mendapat sokongan daripada pihak-pihak yang lebih konservatif.

Pada 14 Ogos 2008, Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah mengharamkan pengedaran buku terbitan Sisters in Islam berjudul Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism[6]; sebuah buku yang terdiri daripada kertas kerja akademik dari pelbagai negara-negara Islam, kerana dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam. Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia dalam menyenarai hitamkan 11 buku - kebanyakan daripada negara Amerika Syarikat.

Tokoh feminis Malaysia[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Rohana Ariffin (1999) Women's International Forum, Jilid 22, Bil. 4, 'Feminism in Malaysia: a historal and present perspective of women's struggles in Malaysia'
  2. Abd Rahim Abd Rashid (1998) Dewan Budaya, Bil. 8 Jilid 20, Muka surat 10-11 'Gerakan Feminisme di Malaysia: antara idelisme dan matlamat
  3. Kumari Jayawardena (1992) Feminism and Nationalism in the Third World
  4. HAWA (1995) Malaysian Women in Development, Kuala Lumpur
  5. Malaysian body bans lipstick, high heels to prevent rape at work, 24 Jun 2008
  6. Harakah: KDN haram buku Sisters In Islam

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Maznah Mohamad, Tan Beng Hui, Cecelia Ng. Feminism and the Women's Movement in Malaysia: An Unsung (R)evolution, Routledge Malaysian Studies, 2005
  • Cecelia Ng. Positioning Women in Malaysia (International Political Economy) St. Martin's Press, 1999.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]