Ghazali Shafie

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Muhammad Ghazali Shafie

SSM, PMN; SSAP, SIMP (Pahang); SPDK (Sabah); SSSA (Selangor); DA (Sarawak); DIMP, SMP (Pahang)
Ghazali semasa menandatangani Suruhanjaya Cobbold.
Menteri Luar Malaysia
Dalam jawatan
17 Julai 1981 – 16 Julai 1984
TimbalanDato' Mokhtar Hashim (1981–1983)
Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (1983–1984)
Didahului olehTengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail
Digantikan olehTengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail
Menteri Dalam Negeri Malaysia
Dalam jawatan
13 Ogos 1973 – 16 Julai 1981
TimbalanTan Sri Abdul Samad Idris
(1973–1976)
Dato' Shariff Ahmad 1976–1978)
Tan Sri Dr. Rais Yatim (1978)
Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabuddin (1978–1980)
Tan Sri Sanusi Junid (1980–1981)
Didahului olehTun Dr. Ismail Abdul Rahman
Digantikan olehTun Musa Hitam
Menteri Tugas-Tugas Khas dan Menteri Penerangan
Dalam jawatan
22 April 1971 – 24 Ogos 1974
TimbalanDato' Shariff Ahmad (1973–1974)
Didahului olehTan Sri Hamzah Abu Samah
Digantikan olehTengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia
Dalam jawatan
12 Februari 1959 – 21 September 1970
Didahului olehTan Sri Nik Ahmad Kamil Nik Mahmud
Digantikan olehTan Sri Zaiton Ibrahim Ahmad
Butiran peribadi
Lahir(1922-03-22)22 Mac 1922
Kuala Lipis, Pahang, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, British Malaya (kini Malaysia)
Meninggal dunia24 Januari 2010(2010-01-24) (umur 87)
Subang Jaya, Selangor, Malaysia
Tempat persemadianMakam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur
Parti politik Barisan Nasional
UMNO
PasanganToh Puan Khatijah Abdul Majid (m. 2008)
Alma materUniversity College of London
London School of Economics

Tun Muhammad Ghazali bin Shafie (22 Mac 1922 – 24 Januari 2010) ialah seorang ahli politik dan diplomat Malaysia yang terkenal. Beliau pernah berkhidmat di bawah pentadbiran empat Perdana Menteri, bermula dari era Tunku Abdul Rahman hingga era Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Ghazali mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah Melayu dan Inggeris di sekitar Raub, Kuala Lipis, Bentong dan Penjom sebelum melanjutkan pelajaran di Clifford School, Kuala Lipis pada 1939 hingga 1940.

Pada 1941, beliau melanjutkan pendidikan di Raffles College Singapura sebelum ke London di mana beliau menerima Ijazah LLB (Kepujian) di University College of Wales dan kemudian mendapat ijazah dalam bidang pengajian antarabangsa di London School of Economics pada 1954.

Politik dan Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Dari tahun 1941 hingga 1946, Ghazali berkhidmat dalam Pasukan Sukarelawan Malaya dan Pasukan Gerakan Menentang Jepun. Beliau kemudiannya menjadi kerani di negeri Selangor. Pada tahun 1957, beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke India dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri dari tahun 1959 hingga 1970.

Ghazali mula berkecimpung dalam bidang politik dengan menyertai Persatuan Melayu Pahang pada 1946 yang pada mulanya melakukan kerja-kerja kebajikan sebelum diserap memasuki UMNO. Pada tahun 1958, beliau dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Politik Umno sehingga 1978. Beliau pernah beberapa kali menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan merupakan Naib Presiden Umno pada 1981. Ghazali pernah dilantik sebagai Senator pada tahun 1970 hingga 1972. Beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1974 di kawasan Parlimen Lipis dan menang tanpa bertanding. Beliau pernah bertanding jawatan naib presiden UMNO tetapi tewas pada 1972 dan 1975. Pada tahun 1981, beliau menang jawatan jawatan Naib Presiden UMNO.

Perkhidmatannya dalam kabinet agak lama bermula pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas (1970). Kemudiannya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan Penerangan pada April 1972. Sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Menteri Penerangan Malaysia, beliau bertanggungjawab membentuk, merangka dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru serta merangka Rancangan Malaysia Kedua 1970–1975.

Kira-kira 16 bulan kemudian beliau diberikan kepercayaan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan, di mana jawatan Menteri Dalam Negeri itu dipegangnya sehingga Julai 1981 apabila beliau bertukar ke jawatan Menteri Luar.

Ghazali menjadi Menteri Luar Negeri dari Julai 1981 hingga Julai 1984. Dasar luar semasa zaman Tun Abdul Razak diperkukuhkan dengan pembentukan ICG iaitu Majlis Antara Kerajaan-Kerajaan.

Beliau pernah menjadi pegawai kerajaan dan duta kanan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Peranan beliau amat berkesan bagi menghadapi kebanjiran pendatang haram Vietnam ke Pulau Bidong, Terengganu pada 1975.

Kepakarannya dalam bidang perhubungan antarabangsa amat terserlah serta dihormati dan ini dapat dilihat melalui jawatan-jawatan yang disandang termasuk Pengerusi Persidangan Asia mengenai persoalan Palestin pada 1983, ahli Suruhanjaya Selatan dan juga pengerusi suruhanjaya yang ditubuhkan bagi membuat cadangan mengenai rombakan dan pengukuhan mekanisme Asean.

Sumbangan[sunting | sunting sumber]

Satu lagi penghormatan ialah terpilih sebagai ahli dalam Pasukan Eminent Persons Komanwel untuk Afrika Selatan bagi memberi sokongan kepada proses rundingan pelbagai parti pada 1981, ahli Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihan Raya Umum Afrika Selatan, ahli Kumpulan Pemerhati Pilihan Raya Sri Lanka, dan Pilihan Raya Bosnia Herzegovina serta Pengerusi Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihan Raya Bangladesh.

Setelah meletak jawatan daripada kabinet pada Julai 1984, beliau menumpukan perhatian pada bidang lain yang menyaksikan beliau menjawat jawatan penting dalam sektor swasta dan pertubuhan antarabangsa. Antaranya menjadi Pengerusi Landmarks Holding Bhd, MUI Finance, Pengerusi Paremba, Pengerusi Lembaga Penasihat Rolls-Royce Asia Tenggara, Pengerusi Westmont Bank Manila, Filipina dan Pengerusi Intermega Energy NL, Australia.

Beliau pernah menjadi Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU) dari 1962 hingga 1988. Dari 1993 hingga 1995, beliau menjadi Karyawan Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau menjadi pengasas dan presiden pertama Galeri Seni Negara pada 1959, Ahli Majlis Pengelola Universiti Malaya, Ahli Majlis Gerakan Negara (Mageran), Pengerusi Majlis Pengelola Institut Teknologi Mara, dan ahli pengasas Malayan Forum, United Kingdom. Beliau pernah dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri Malaysia mengenai hal ehwal luar, serta bertugas sebagai perunding World Bank Economic Development Institute.

Tun Ghazali menjadi Presiden Kehormat Seumur Hidup Kelab Penerbangan Diraja Selangor serta Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (1962–1988), sehingga beliau diberikan Anugerah Tokoh Sukan pada tahun 2002.

Pembentukan Malaysia[sunting | sunting sumber]

Beliau menjadi penasihat tetap Suruhanjaya Cobbold bagi meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak untuk menyertai Malaysia. Peranan beliau dalam pembentukan negara Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak cukup signifikan.

Beliau bertanggungjawab terhadap pembentukan Rukunegara iaitu satu prinsip perpaduan negara selepas Peristiwa 13 Mei. Cogan kata "Bersatu Bertambah Mutu" bagi Malaysia juga adalah hasil inisiatif beliau sebagai Menteri Penerangan pada tahun 1970.

Terselamat dalam nahas Cessna[sunting | sunting sumber]

Pada 10 Januari 1982, pesawat Cessna 206 yang dipandu Tun Ghazali Shafie, ketika itu Menteri Luar Negeri Malaysia terhempas di Kampung Janda Baik.Mereka dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Kuala Lumpur dalam penerbangan ke Kuala Lipis, kawasan pilihan raya yang diwakilinya. Bagaimanapun Ghazali terselamat kerana jatuh di atas rimbunan pokok buluh. Manakala pembantu juruterbang dan pengawal peribadinya (ASP Charon Daam dan co-pilot Vergis Chacko) terbunuh.[1] Dua mayat ditemui dalam bangkai kapal terbang yang terhempas jam 3.00 petang dan diterbangkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Isteri Tun Ghazali iaitu Puan Sri Khatijah Abdul Majid, anaknya Sheriffudin dan Bachtiar menanti di Kuala Lumpur.

Pada 22 Jun 1983, Koroner Abdullah Sidek di Mahkamah Majistret Bentong, Pahang memutuskan kematian dua orang penumpang itu kerana kemalangan udara. Perbicaraan berlangsung dari 14-18 Mei 1983. Juruterbang membuat keputusan merempuh awan di Waterworks Gap. Vergis patah di leher dan pendarahan dalaman. Sementara Charon cedera teruk di tengkorak dan leher.[2]

Trivia[sunting | sunting sumber]

1. Ghazali dikenali sangat tegas dalam segala kerja yang dibuatnya sehinggakan beliau digelar 'King Ghaz'.

2. Beliau dikenang oleh wartawan yang bertugas pada zamannya sebagai sangat garang kerana sikapnya yang sentiasa mengharapkan para wartawan mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanya kepada beliau. Ini menyebabkan ramai wartawan cukup berhati-hati apabila berdepan dengan beliau ketika membuat liputan.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Beliau mendapat anugerah kehormat kerajaan asing termasuk dari Singapura, Perancis, Republik Korea, Iran, Filipina, Jepun, Tunisia, Thailand, Austria dan Korea Utara.[3]

Kehormatan Malaysia[sunting | sunting sumber]

Hasil tulisan[sunting | sunting sumber]

  1. Malaysia, ASEAN, and the New World Order, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000.
  2. Malay and nationalism and globalisation, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1998, 2001.
  3. Ghazali Shafie's memoir on the formation of Malaysia, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1998.
  4. Tamadun Melayu : menyongsong abad kedua puluh satu (oleh Ismail Hussein, Wan Hashim Wan Teh, Ghazali Shafie), Universiti Kebangsaan Malaysia, 1997.
  5. Rukunegara : a testament of hope/ selected speeches by Ghazali Shafie, Creative Enterprise, 1985.
  6. Malaysia : international relations, Creative Enterprise Sendirian Berhad, 1982.
  7. Malaysia: Nilai politik dan budaya, Dinamika Kreatif, 1978.
  8. Ghazali Shafie: Malaysia, Asean and the New World Order, Penerbit UKM: Bangi
  9. Rumpun Melayu dan Bangsa Malaysia Menjelang Tahun 2020, Penerbit UKM: Bangi
  10. Malaysia: nilai politik dan budaya, Pustaka Antara

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Isterinya Toh Puan Khatijah Abdul Majid meninggal dunia pada April 2008. Anak lelakinya Bachtiar dan Sheriffudin.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Beliau meninggal dunia meninggal di rumahnya di Wangsa Baiduri, Subang Jaya jam 7.45 malam, Ahad 24 Januari 2010 akibat sakit tua.[8] Jenazah Allahyarham kemudian dipindahkan ke rumah adik perempuannya Datin Yuhanis Shafie di Damansara Utama sebelum disolatkan di Masjid Al-Mujahiddin Damansara Utama dan seterusnya disemadikan di Makam Pahlawan yang terletak bersebelahan Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Adnan Yaakob.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Pesawat bawa 6 anggota TUDM dikhuatiri terhempas dekat Bentong
  2. ^ 'King Ghaz', Vergis and that Cessna crash
  3. ^ 'King Ghaz' Seorang Yang Tegas Dalam Segala Kerja
  4. ^ a b "SEMAKAN PENERIMA DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT". Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-12-12. Dicapai pada 27 December 2020.
  5. ^ "Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 1965" (PDF).
  6. ^ "Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2005" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2018-04-04. Dicapai pada 2020-12-27.
  7. ^ "SSSA 1985". awards.selangor.gov.my. Dicapai pada 27 December 2020.[pautan mati kekal]
  8. ^ Ghazali Shafie Meninggal Akibat Sakit Tua, Kata Anak Saudara