Goda (siri TV)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Goda
Genre Drama
Pencipta Bernard Chauly
Lina Tan
Mona Tan
Pengarah Bernard Chauly
Dibintangi Sazzy Falak
Lash Mokhtar
Dilla Syahirah
Komposer lagu tema Hardesh Singh
Lagu penutup Keranamu oleh Bau
Negara asal  Malaysia
Bahasa Bahasa Malaysia
Bilangan musim 1
Bilangan episod 8 (Senarai episod)
Penerbitan
Penerbit Lina Tan
Alan Tan
Lee Mee Fung
Tempoh siaran 30 minit per episod
Penyiaran
Saluran asal 8TV
Siaran asal 14 Ogos8 Oktober 2008

Goda ialah sebuah siri drama televisyen yang bertengahkan seorang "pakar" rahsia yang memberi nasihat berkenaan cinta dan asmara kepada sesiapa yang meminta pertolongannya melalui radio dan Internet, dan cubaan seorang wartawan tabloid untuk membongkar identitinya. Drama arahan Bernard Chauly untuk Red Communications ini dibintangi Sazzy Falak, Lash Mokhtar dan Dilla Syahirah bersiaran di 8TV mulai 14 Ogos 2008. Siri drama ini ditaja oleh syarikat barangan pengguna Unilever yang mempromosikan jenama syampu Clear.

Watak[sunting | sunting sumber]

Watak utama[sunting | sunting sumber]

Sanya Salleh (Sazzy Falak)
Sanya ialah seorang wartawan Harian Kota yang beria-ia untuk meninggalkan syarikat tabloid berkenaan, sungguhpun benar-benar boleh mengarang rencana yang kuat menarik ramai pembaca. Biarpun demikian, dia tertarik kepada M, maka dia hendak membongkar identiti M dengan sangkaan bahawa M bukannya seperti yang disangka ramai. Sanya turut menulis blog sendiri bertajuk Sindikasi Suara Sanya, demi memuaskan kehendaknya untuk mengarang dan menulis.
Burhan (Lash Mokhtar)
Burhan ialah seorang pekerja syarikat pemaju hartanah yang besar. Dia kurang keyakinan diri gara-gara kelelumur, dan sangat memerlukan tunjuk ajar untuk menarik perhatian wanita idamannya iaitu Adela. Untuk membantunya memikat hati Adela, dia selalu berhubung dengan M melalui blognya untuk meminta nasihat dan pertolongan berkenaan cinta, sehingga dia asyik bergantung pada pesanan M sehingga sekali dia dihampakan oleh kegagalan memikat Adela.
Adela Razak (Dilla Syahirah)
Adela ialah Pengarah Pengurusan dan juga anak tunggal kepada CEO syarikat di mana Burhan bekerja. Adela memang cerewet memilih jejaka idamannya, oleh itu tidak hairanlah dia mendapati Burhan itu lurus bendul. Apapun, Adela tetap merapatkan dirinya dengan Burhan untuk meningkatkan mutu kerja dan keyakinan diri Burhan.
M (Shahredza Minhat)
Juruhebah radio dan "Pakar" cinta yang memberi nasihat kepada sesiapa yang meminta pertolongannya melalui siaran radio dan di laman blognya. Dia tidak pernah mendedahkan identiti sebenar dirinya di khalayak umum, dan inilah yang diburu oleh Sanya agar rahsia-rahsianya terbongkar jua. Di episod terakhir, setelah lenyap seketika akibat kemalangan, M akhirnya mendedahkan wajah dirinya ke khalayak umum.

Watak sampingan[sunting | sunting sumber]

Encik Zainal (Radhi Khalid)
Majikan kepada Sanya di syarikat penerbitan tabloid. Dia enggan melepaskan Sanya selagi tidak puas memerah cerita-cerita sensasi daripada Sanya yang dianggapnya sebagai wartawan terbaik tabloid tersebut.
Dato Razak (Rahim Razali)
Ketua Pegawai Eksekutif Corona Holdings. Dia kelihatan sebagai seorang tokoh korporat yang lemah lembut dan berhemah ketika berurusan di syarikatnya, dan juga seorang bapa penyayang kepada anaknya Adela. Dato Razak nampaknya tertarik dengan kebolehan Burhan sebagai seorang pekerja.
Adam (Tony Eusoff)
Seorang kenalan lama Adela yang berjaya melamar Adela di episod 6. Mengikut kata-kata Adela di episod 7, Adela tertarik dengan Adam sejak kecil lagi, ketika Adam terselamat dari tragedi Highland Towers.
Budi (Nur Akmal Mohd)
Rakan sekerja dan pembantu Sanya di pejabat Harian Kota.

Di samping itu, dalam setiap satu episod terdapat watak-watak yang hanya muncul dalam satu episod itu, iaitu lelaki yang mendapatkan nasihat M melalui radio atau blognya dan juga teman wanita atau wanita yang diidamkan mereka. Mereka dilakonkan oleh pelbagai pelakon Malaysia, baik bakat baru mahupun yang sudah ternama. Di episod 5 munculnya dua orang peserta rancangan realiti fesyen Project Runway Malaysia iaitu Hatta Dolmat dan Zery Zamry.

Episod[sunting | sunting sumber]

# Tajuk Tarikh penyiaran Sinopsis
1 Yakinkah Aku? 14 Ogos 2008 Sanya sudah tiga kali mengemukakan surat letak jawatan tetapi tetap digesa agar mencari cerita-cerita yang gempar bagi pihak tabloid. Setelah membuka laman web yang dikelola oleh "M" si pakar cinta, maka dia sudah mencari jalan untuk memuaskan majikanya. Sementara itu, Burhan diminta membantu Adela membentangkan cadangan baru di mesyuarat biarpun cenderung gugup. Semenjak itu, Burhan makin jatuh hati pada Adela tetapi kekurangan yakin diri kerap menjadi penghalang.
Subplot: Amirul (Mnive Isa) si jurujual kereta meminta nasihat M untuk menawan hati seorang pelanggan wanita bernama Shila (Najihah Zamanhuri) yang diidamkannya menjadi teman.
2 Ai Pecah Tembelang 21 Ogos 2008 Burhan terpaksa melupakan hasratnya untuk keluar bersama Adela dalam cubaan pertama kerana terpaksa menunaikan janjinya agar beriadah bersama anak saudaranya Rina pada hari yang sama mereka sepatutnya bersama. Sanya melancarkan misi membongkar misteri M dengan menyamar sebagai seorang siswa di rantauan yang menghadapi dilema cinta.
Subplot: Khairy (Nas-T) meminta bantuan M kerana jatuh cinta pada dua orang wanita pada masa yang sama!
3 Mesra Tapi Kawan 28 Ogos 2008 Burhan tersilap hantar strategi pemasaran yang penting kepada syarikat pesaing sehingga menyebabkan Adela bengang dan resah kerana pesaing sudah tahu rancangan syarikat mereka.
Subplot: Conrad mendapatkan pertolongan M untuk meluahkan perasaan cintanya kepada Gladys yang selama ini terpendam gara-gara teramat segan.
4 Terbangkanlah Aku 4 September 2008 Adela dengan berat hatinya memaafkan kesalahan Burhan sambil memintanya membentuk strategi baru, lalu membawa Burhan ke sana sini untuk memperbaiki keperibadian Burhan. M memesan Burhan agar melapangkan fikirannya agar mudah mencari jalan. Sementara itu, Sanya merasa dirinya makin menghampiri rahsia M dan meminta rakan sekerja Budi menelefon M pada waktu siarannya.
Subplot: Deen (Afiq Nazmi Azmi) dan Zora (Nurul Wahida) bertengkar gara-gara keraguan mengenai komitmen cinta Deen, maka Deen perlu meminta nasihat M untuk membaiki hubungannya.
5 Antara Dua Darjat 11 September 2008 Adela tidak puas hati dengan mutu pembentangan Burhan di mesyuarat terbaru, maka Dato' Razak mencadangkan Burhan dibawa ke majlis perkahwinan Masnita (Nabila Huda) dan Tamrin (Razif Hashim) untuk tujuan memahami jenis pembeli yang disasarkan. Di sana, Burhan memperoleh nasihat dari seorang tetamu yang berpenampilan "mat motor" mengenai mengenali sasaran produk syarikatnya. Akan tetapi, tidak kurang juga kejadian yang tidak diingini di majlis itu.
Subplot: N orang berada, tetapi lain pula Kent. Maka Kent mendapat nasihat M untuk mengatasi rintangan cinta merentas darjat. Oleh itu, Ken membikin video khas untuk N sempena hari jadi N.
6 Mungkinkah Ini Peluang Aku? 18 September 2008 Burhan terjatuh ke dalam kolam renang tetapi sempat diselamatkan. Dato' Razak tumpang gembira terhadap Burhan kerana berjaya menjual rumah termahal yang diusahakan oleh syarikat Corona, iaitu kepada "mat motor" tadi. Sedangkan Burhan semakin yakin untuk memikat hati Adela, Adela nampaknya semakin hampir dengan seorang kenalan lain yang melamarnya di majlis itu, sekaligus menghampakan Burhan serta mencuri perhatian dari Masnita dan Tamrin.
Subplot: Deen juga menghadiri majlis ini. Sehingga kini, dia masih gagal memikat semula hati Zora. Maka, dia terpaksa meminta bantuan bapanya.
7 Aku Masih Di Sini 25 September 2008 Burhan teramat hampa dengan keputusan Adela menerima lamaran Adam lalu menyisihkan diri dari M. Adela menjelaskan sebab-sebab dia memilih Adam dan kisah lama Adam kepada Burhan. Sanya yang asyik mengigau akan identiti M menghampakan majikannya kerana gagal mengambil gambar di perkahwinan, tetapi terus mengeluarkan senjata terbarunya iaitu melancarkan pemburuan identiti M dengan tawaran ganjaran RM15,000. Oleh sebab Harian Kota melancarkan buruan identitinya, M menjadi rimas lalu sehari dia tidak muncul di corong radio kerana peminatnya membanjiri bangunan stesen radionya. Pejabat akhbar pun dibanjiri orang-orang yang mengakui dirinya M atau mengenali M.
8 Siapakah Saya? 8 Oktober 2008 Sanya diminta mencari M sendiri kerana pihak atasan serik dengan kebanjiran orang ramai yang mengaku dirinya M. Burhan yang merenggangkan hubungannya dengan M seketika akhirnya cuba menghubunginya semula, tetapi dia terpaksa bertungkus-lumus sehingga dia mendapati bahawa M terlantar di hospital selama ini akibat kemalangan jalan raya yang meragut sebelah kakinya. Burhan berjanji untuk membawa Sanya bertemu dengan M, dan hajat Sanya selama ini tertunai jua. Di hospital yang sama, Dato' Razak dikejarkan kerana tercekik tetapi tidak sempat diselamatkan. Akhirnya Adela mengambil alih jawatan CEO di Corona, dengan Adam dan Burhan sebagai orang bawahannya. Di saat-saat akhir episod ini, wajah M akhirnya didedahkan di khalayak ramai dalam sebuah malam gala.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]