Johann Wolfgang von Goethe

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Goethe)
Johann Wolfgang von Goethe
Kelahiran(1749-08-28)28 Ogos 1749
Meninggal dunia22 Mac 1832(1832-03-22) (umur 82)
WarganegaraJerman
PekerjaanPenulis novel dan drama
Filsuf
Diplomat
Pegawai negeri
Karya terkenal
e.g. Faust; The Sorrows of Young Werther; Wilhelm Meister's Apprenticeship; Elective Affinities
Gerakan politikSturm und Drang; Weimar Classicism
PasanganChristiane Vulpius
Tandatangan

Johann Wolfgang von Goethe (28 Ogos 1749 – 22 Mac 1832) ialah pakar dalam pelbagai bidang: beliau merupakan penulis novel, penulis drama, penyair, penyokong hak asasi manusia, ahli sains, ahli falfasah, dan selama sepuluh tahun, juga merupakan menteri kerajaan di Weimar.

Goethe juga merupakan tokoh yang paling utama dalam kesusasteraan Jerman, neoklasisisme Eropah serta Romantisisme pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19. Sebagai pengarang Faust dan Zur Farbenlehre, beliau mengilhami Darwin dengan penemuan tulang-tulang rahang pramaksila serta penumpuannya terhadap evolusi. Pengaruh Goethe tersebar melintasi Eropah, dan dalam abad yang berikut, karyanya menjadi sumber ilham utama untuk muzik klasikal, drama dan puisi Eropah.


Riwayat hidup[sunting | sunting sumber]

Goethe dilahirkan di Frankfurt am Main, Jerman di dalam Empayar Rom Suci, kepada Johann Caspar Goethe dan isterinya, Catharina Elisabeth Textor. Ayahandanya ialah seorang kaya serta berpangkat yang menyeliakan sendiri pendidikan awal untuk anakandanya. Goethe menuntut di universiti-universiti Leipzig dan Strasbourg, dan pada tahun 1772, memulakan kerjayanya dalam bidang undang-undang di Wetzlar.

Melalui jemputan Karl August, iaitu Duke Saxe-Weimar, Goethe pergi ke Weimar pada 1775 untuk memegang beberapa jawatan politik yang berubah-ubah, termasuk jawatan sebagai ketua penasihat kepada Duke tersebut pada suatu masa. Beliau dianugerahkan dengan pangkat bangsawan pada tahun 1782. Dari 1786 sehingga 1788, Goethe berjalan-jalan di semenanjung Itali, dan kemudian menulis peristiwa-peristiwa dalam perjalanan-perjalanannya itu dalam karya "Perjalanan Itali" yang diterbitkan pada tahun 1816-1817. Beliau menyertai perang-perang Napoleon terhadap Empayar Perancis Pertama, dan pada tahun berikutnya, memulakan persabahatan dengan Friedrich Schiller yang berlangsung sehingga kematian Schiller pada tahun 1805.

Johann Wolfgang von Goethe

Pada tahun 1806, Goethe berkahwin dengan Christiane Vulpius. Menjelang 1820, beliau telah menjadi kawan rapat kepada Kaspar Maria von Sternberg. Dari kira-kira tahun 1794, Goethe menghabiskan banyak masa dalam bidang kesusasteraan. Selepas menempuh hayatnya yang penuh dengan sumbangan dan penghasilan yang hebat, Goethe meninggal dunia di Weimar pada tahun 1832. Sebuah tugu peringatan untuk Goethe terletak di sebelah selatan Bryant Park.

Ahli psikologi Catharine M. Cox, dalam bukunya, "Sifat Mental Awal bagi Tiga Ratus Orang Genius" ("Early Mental Traits of Three Hundred Geniuses") pada tahun 1926, meneka bahawa kecerdasan (IQ) Goethe ialah 210. Skor ini merupakan skor tertinggi yang diberikan oleh Catharine.

Karya-karya[sunting | sunting sumber]

Karya terunggul Goethe sebelum pemergiannya ke Weimar ialah tragedinya, "Götz von Berlichingen" (1773), yang memberikannya kemasyhuran awal. Karya ini diikuti oleh novel "Kesedihan Werther Muda" ("The Sorrows of Young Werther") (1774) yang memberikan Goethe kepopularan yang amat hebat sebagai penulis di kalangan gerakan Sturm und Drang. Semasa di Weimar dan sebelum Goethe menemui Schiller, beliau memulakan karya "Wilhelm Meister", dan menulis "Iphigenia di Tauris" (Iphigenie auf Tauris), "Egmont", "Torquato Tasso", dan "Reineke Fuchs". Dalam tempoh persahabatannya dengan Schiller, Goethe meneruskan karya-karya "Wilhelm Meister", "Hermann dan Dorothea", dan "Elegi-elegi Rom" ("Roman Elegies"). Pada tempoh terakhirnya, antara kematian Schiller pada tahun 1805 dan kematiannya sendiri pada tahun 1832, Goethe menerbitkan:

  • "Faust'"'
  • "Afiniti-afiniti Elektif" ("Elective Affinities")
  • "Daripada Kehidupan saya: Puisi dan Kebenaran" ("Aus meinem Leben: Dichtung und Wahrheit"), sebuah pseudoautobiografi
  • "Perjalanan Itali" ("Italian Journey")
  • karya-karya sains
  • siri karangan mengenai seni Jerman.

Dengan segera, penulisannya berpengaruh dalam lingkungan kesusasteraan dan seni.

Selain daripada karya-karya kesusasteraannya, Goethe juga menyumbang karya-karya yang utama dalam bidang sains. Dalam bidang biologi, teorinya mengenai metamorfosis tumbuhan menetapkan bahawa semua formasi tumbuhan berpunca daripada pengubahsuaian daun. Beliau diberikan penghargaan untuk penemuan tulang intermaksila manusia pada tahun 1784; bagaimanapun, Broussonet (1779) dan Vicq d'Azyr (1780) telah mengenal pasti tulang itu beberapa tahun dahulu. [1][pautan mati kekal].

Dengan penuh ironi, Goethe menganggap teori Warnanya sebagai sumbangannya yang terunggul bagi bidang sains, dan menilainya lebih tinggi daripada kesemua karya kesusasteraannya. Goethe memperlihatkan kegelapan bukan sahaja sebagai ketiadaan cahaya, tetapi juga sebagai sesuatu yang berdiri dalam perhubungannya dengan cahaya, seolah-olah kutub-kutub magnet utara dan selatan — dengan warna dihasilkan oleh saling tindakan antara kegelapan dengan cahaya. Beliau amat yakin dengan dapatannya itu, dan pada suatu masa disebut mengatakan: "Bahawa saya seorang sahaja pada abad ini yang mempunyai wawasan yang betul dalam sains warna yang susah. Itulah yang saya amat berbangga, dan itulah yang memberikan saya perasaan bahawa saya telah mengatasi ramai orang."

Goethe menulis banyak kritikan terhadap teori warna Isaac Newton, tetapi beliau tidak berjaya mencabarkan kesahihan teorinya. Sepanjang hayatnya, kebanyakan ahli sains dan kawannya menganggap bahawa kritikan-kritikannya terhadap Newton adalah tidak betul. Pada abad ke-20, Teori Warna Goethe mempengaruhi karya ahli falsafah Ludwig Wittgenstein, Komen-komen mengenai Warna. Dengan perkembangan sains, hasil Goethe yang panjang lebar tentang teori warna telah dianggap sebagai karyanya yang terlemah.[2].

Karya-karya utama[sunting | sunting sumber]

Senarai karya-karya utama yang berikut mungkin dapat memberikan gambaran terhadap ruang lingkup dan kesan karya-karyanya pada zamannya serta zaman kita.

Kesedihan Werther Muda[sunting | sunting sumber]

Novel warkah pendek, Die Leiden des jungen Werthers, atau "Kesedihan Werther Muda", yang diterbitkan pada tahun 1774 menceritakan hubungan cinta tak bahagia yang berakhir dengan pembunuhan diri. Goethe mengaku bahawa beliau "menembak wiranya untuk menyelamatkan diri". Novel ini masih dicetak dalam berdozen-dozen bahasa, dan sering dirujuk dalam konteks wira muda yang tidak puas hati serta ada angin — seorang watak Romeo. Oleh sebab novel itu berakhir dengan pembunuhan diri serta upacara pengebumian protagonis yang "tidak dihadiri oleh paderi", buku ini telah menimbulkan banyak perbalahan sewaktu diterbitkan (tanpa nama pengarang), kerana cerita itu seakan-akan membiarkan pembunuhan diri berlaku. Seseorang akan menjangka bahawa seorang paderi pasti akan menghadiri upacara pengebumiannya untuk mengutuk perbuatan yang dianggap berdosa menurut doktrin keagamaan Kristian. Novel-novel warkah adalah biasa pada zaman Goethe, dengan surat-menyurat merupakan cara utama untuk perhubungan. Apa yang membezakan buku Goethe daripada novel-novel yang lain dalam genre ini ialah penyataannya tentang keinginan yang tidak dapat dikawali terhadap kegembiraan yang tidak mungkin, pemberontakan ingkar terhadap pihak berkuasa, dan terutamanya, kesubjektifan yang menyeluruh — sifat-sifat yang menuju ke arah gerakan Romantisisme.

Faust[sunting | sunting sumber]

Karya berikutnya, Faust, yang merupakan sebuah drama bilik tamu yang tidak bertujuan untuk dipersembahkan di atas pentas, disiapkan dalam beberapa peringkat, dan hanya diterbitkan secara menyeluruh selepas kematian Goethe. Bahagian pertama yang diterbitkan pada tahun 1808 menyebabkan kegemparan. Versi opera yang sulung dicipta oleh Spohr, dan termuncul pada tahun 1814. Opera ini kemudian menjadi ilham untuk opera-opera yang dicipta oleh Gounod, Boito dan Busoni, serta simfoni-simfoni oleh Liszt dan Gustav Mahler. "Faust" menjadi mitos utama untuk banyak tokoh dalam abad ke-19. Kemudian, satu segi daripada jalan ceritanya, "menjual jiwa kepada hantu" yang kena mengena dengan penguasaan alam fizikal, beransur-ansur mencapai kepentingan kesusasteraan, dan menjadi pandangan terhadap kemenangan teknologi serta industrialisme, bersama-sama dengan akibatnya yang meragukan kepada manusia. Drama ini masih dipentaskan di Jerman dan sebilangan negara yang lain buat masa tertentu.

Puisi[sunting | sunting sumber]

Karya puisi Goethe bertindak sebagai model untuk merangkumkan arah aliran puisi Jerman yang diistilahkan Innerlichkeit (introversi), umpamanya karya Heinrich Heine. Kata-kata Goethe menjadi ilham sebilangan penggubah, termasuknya Wolfgang Amadeus Mozart, Ludwig van Beethoven, Franz Schubert, Berlioz dan Hugo Wolf. Mungkin karya tunggal yang paling berpengaruh adalah "Lagu Mignon" yang bermula dengan ayat yang amat popular dalam puisi Jerman pada masa ini, iaitu sepatah ayat yang membuat kilasan terhadap Itali: "Kennst du das Land, wo die Zitronen blühn?" ("Adakah anda tahu tentang tanah di mana lemon berbunga?")

Epigram[sunting | sunting sumber]

Kata-kata Goethe telah disebut secara meluas. Epigramnya seperti berikut masih digunakan atau diparafrasakan:

  • "Tentang kritikan, seseorang itu tidak boleh membantah mahupun mempertahankan dirinya; dia harus bertindak mengikut kritikan itu, dan kritikan itu akan beransur-ansur berpihak kepadanya."
  • "Pecah dan perintah, cogan kata yang logik; bersatu dan pimpin, cogan kata yang lebih baik."
  • "Bergembiralah apabila kamu boleh, dan bertahanlah apabila kamu perlu."

Ayat-ayat daripada karya "Faust", seperti "Das also war des Pudels Kern", "Das ist der Weisheit letzter Schluss" atau "Grau ist alle Theorie" kini telah memasuki perbendaharaan harian bahasa Jerman. Walaupun ayat terkenal daripada drama "Götz von Berlichingen" ("Er kann mich im Arsche lecken" — "Dia boleh menjilat duburku") merupakan satu kejayaannya yang ragu-ragu, ayat itu telah menjadi ungkapan kasar dalam banyak bahasa dan menunjukkan bahawa kesan kebudayaan Goethe yang mendalam telah menyebar melintasi sempadan-sempadan sosial, negara dan linguistik. Ini boleh dianggap sebagai lagi satu sukatan untuk menentukan kemasyhuran Goethe, berbanding epigram "Seni panjang, hidup pendek", yang juga didapati dalam karya "Wilhelm Meister", tetapi biasa dilupakan sebagai sepatah epigram yang berasal daripada Hippocrates.

Kepentingan sejarah[sunting | sunting sumber]

Goethe dan Schiller di Weimar

Memang susah bagi sesiapapun untuk memperkatakan secara berlebih-lebihan tentang kepentingan Goethe pada abad ke-19. Dari banyak segi, beliau ialah orang yang memulakan - atau sekurang-kurangnya menyatakan dengan yakin - banyak idea atau gagasan yang kemudian menjadi sesuatu perkara yang biasa. Goethe menghasilkan banyak jilid puisi, esei, kritikan dan karya sains, termasuknya teori optik dan kerja awal terhadap evolusi dan linguistik. Beliau terpesona terhadap mineral-mineral dan mineralogi awal (mineral goetit telah dinamakan sempena namanya). Penulisan-penulisan bukan-fiksyennya, yang kebanyakan terdiri daripada falsafah dan aforisme, mendorong perkembangan banyak ahli falsafah, seperti G.W.F. Hegel, Friedrich Nietzsche dan Rudolf Steiner, serta pelbagai gerakan kesusasteraan, seperti Romantisisme. Dalam Romanstisisme, beliau merangkumkan banyak unsur-unsur yang bersaing dalam seni pada abad yang berikut: karyanya berbentuk sesuatu yang kaya dengan emosi, amat formal, singkat dan epigram, serta agung. Beliau memperdebatkan bahawa klasikisme adalah cara untuk menguasai seni, dan sentimentalisasi merupakan sejenis penyakit, walaupun beliau menulis puisi yang kaya dengan bayangan-bayangan yang tidak dapat dilupakan. Goethe juga menulis semula peraturan-peraturan rasmi untuk puisi Jerman.

Puisi Goethe kemudian bertatahkan muzik oleh hampir setiap penggubah Jerman yang utama, dari Mozart ke Mahler, dan mempengaruhi drama serta opera Perancis. Beethoven mengisytiharkan bahawa Simfoni "Faust" ialah karya yang teragung dalam Seni. Kedua-dua Liszt dan Mahler mencipta simfoni yang, pada seluruh atau sebahagiannya, diilhami oleh mahakarya ini yang memberikan abad ke-19 salah satu daripada watak-watak paradigma: "Doktor Faustus". Tragedi Faust, yang ditulis dalam dua bahagian dan diterbitkan selang beberapa dekad, telah menjadi ciptaan seninya yang termasyhur.

Goethe juga merupakan kuasa kebudayaan, dan melalui penyelidikan tradisi-tradisi masyarakat, beliau telah mencipta banyak norma untuk merayakan hari Krismas, dan memperdebatkan bahawa sifat organik tanah membentukkan sikap orang dan adat resam mereka — satu alasan yang telah diulang-ulangkan sejak masa itu, termasuk baru-baru ini karya Jared Diamond. Beliau juga memperdebatkan bahawa undang-undang tidak dapat dicipta melalui rasionalisme sahaja oleh sebab geografi dan sejarah membentukkan tabiat-tabiat dan pola-pola. Pendiriannya ini adalah amat berbeza dengan pandangan Zaman Pencerahan kini yang menganggap bahawa alasan sahaja adalah mencukupi untuk mencipta masyarakat-masyarakat yang tenteram dan undang-undang yang baik.


Goethe dalam Campagna Rom (1786) Catan minyak pada kanvas, 164 x 206 sentimeter Städelsches Kunstinstitut, Frankfurt

Pengaruh[sunting | sunting sumber]

Pengaruh Goethe amat dramatik kerana beliau memahami peralihan kepekaan Eropah yang terdiri daripada penumpuan yang semakin bertambah terhadap deria, dan terhadap apa-apa yang tidak dapat diperikan, serta yang beremosi. Ini tidak bermakna bahawa Goethe adalah seorang yang penuh emosi, ataupun berketerlaluan; sebaliknya, beliau memuji perasaan peribadi yang terkawal dan berasa bahawa keterlaluan adalah sejenis penyakit: "Tiadanya sesuatu yang lebih teruk daripada daya imaginasi tanpa membuat pilihan." Beliau memperdebatkan bahawa "gerak hati pembentukan" yang berkuat kuasa di dalam setiap organisma menyebabkan organisma itu membentukkan diri menurut peraturan-peraturan diri yang berbeza, dan oleh itu, undang-undang rasional atau fiat langsung tidak boleh dipaksa dari sfera unggul yang lebih tinggi: pendirian ini menyebabkan Goethe bertentangan secara langsung dengan mereka yang cuba membentukkan pemerintahan-pemerintahan beraja berdasarkan undang-undang "rasional", umpamanya, Joseph II dari Austria, atau Napoleon, si maharaja Perancis yang berikut. Sebuah petikan daripada "Penyelidikan-penyelidikan saintifik"nya ("Scientific Studies") adalah mencukupi untuk menerangkan pendiriannya:

Kita memikirkan seekor binatang sebagai sebuah dunia kecil yang wujud semata-mata untuk kepentingan diri sendiri, serta dengan cara sendiri. Setiap makhluk itu adalah sebab tersendiri untuk wujud. Semua bahagiannya mempunyai kesan terhadap satu sama lain, satu hubungan antara satu sama lain, dengan itu sentiasa memperbaharui kitaran hayat; oleh itu, kita mempunyai alasan yang kuat untuk menganggap bahawa setiap binatang adalah sempurna dari segi fisiologi. Diperlihatkan dari dalam, tidak terdapat satu bahagian binatang — seperti yang sering dianggap — yang tidak berguna atau merupakan hasil sembarangan gerak hati pembentukan. Secara luaran pula, sebahagiannya mungkin tidak berguna kerana ketetapan dalaman bagi alam haiwan itu telahpun memberikan mereka bentuk ini tanpa mengaitkan keadaan di luar. Maka... [bukan] soalan, Untuk apakah itu? tetapi lebih kepada, Dari manakah ia datang? (Miller 121)

Pertukaran ini kemudian menjadi asas untuk pemikiran abad ke-19:

  • organik berbanding geometri
  • evolusi berbanding penciptaan
  • berdasarkan kepekaan dan intuisi, berbanding sistem terpaksa

dan seperti yang dikatakan oleh Goethe, memuncak dengan "mutu hidup" yang mana subjek dan objek digabungkan dalam penyelidikan. Oleh demikian, beliau tidak mengambil pandangan pertumbuhan teleologi ataupun penentulakuan di dalam setiap organisma. Sebaliknya pada keseluruhannya, dunia ini tumbuh melalui persengketaan luar dan dalam yang berterusan. Goethe melepaskan pandangan-pandangan mekanistik yang sains sezamannya menggolongkan, dan oleh itu menafikan keunggulan kerasionalan sebagai tafsiran yang tunggal untuk kenyataan. Tambahan pula, beliau mengisytiharkan bahawa semua pengetahuan adalah dikaitkan kepada kemanusiaan melalui nilai kefungsian sahaja dan pengetahuan mengandaikan sifat perspektivisme. Beliau juga menyatakan bahawa sifat asas untuk dunia ialah estetik. Pendirian ini menjadikannya, bersama-sama dengan Adam Smith, Thomas Jefferson, dan Ludwig van Beethoven, sebagai tokoh di dalam dua dunia:

  • dari satu segi, penumpuan terhadap deria rasa, susunan, dan perincian teliti, iaitu ciri kesenian untuk Zaman Taakul serta zaman neoklasik untuk seni bina; dan
  • dari segi yang lain, mencari bentuk penyataan dan tatanegara yang peribadi, intuisi, serta yang diperibadikan, dan mempercayai dengan teguh terhadap sistem-sistem penswakawalaturan dan organik.

Ahli-ahli fikir seperti Ralph Waldo Emerson kemudian mengambil banyak daripada gagasan-gagasan yang serupa pada dekad 1800-an. Gagasan-gagasan Goethe mengenai evolusi kemudian merangkakan soalan yang Darwin dan Wallace akan mendekati dalam paradigma sains.

Senarai karya[sunting | sunting sumber]

Novel[sunting | sunting sumber]

Drama[sunting | sunting sumber]

  • 1808 Eine Tragödie erster Teil("Bahagian 1")
  • 1832: Der Tragödie zweiter Teil ("Bahagian 2")

Puisi[sunting | sunting sumber]

Nyah fiksyen[sunting | sunting sumber]

Karya lain[sunting | sunting sumber]

Petikan[sunting | sunting sumber]

  • Pepatah Venice #67:
Banyak di sana yang aku dapat tahan. Hampir semua perkara tidak mudah untuk sengsara.
Aku menanggungnya dengan azam yang diam, sebagaimana Tuhan perintahkan.
Hanya beberapa benda yang aku dapati sejijik ular dan racun,
Keempat-empat ini: asap tembakau, pijat dan bawang putih dan Christ.
  • Tidakkah aku harus berbangga, apabila selama dua puluh tahun, aku telah mengaku kepada diri sendiri bahawa Newton yang agung dan semua ahli matematik dan pengira mulia yang bersama-samanya telah terlibat dalam suatu kesalahan tegas mengenai doktrin warna, dan aku di kalangan berjuta-juta merupakan orang tunggal yang mengetahui apa yang betul dalam perkara semula jadi yang agung ini? — Goethe (Eck. 30 Disember 1823)
  • 'Die Mathematiker sind eine Art Franzosen; redet man mit ihnen, so übersetzen sie es in ihre Sprache, und dann ist es alsobald ganz etwas anderes.' (Ahli mathematik seolah-olah orang Perancis; jika kamu bercakap dengan mereka, mereka menterjemahkan perkataan-perkataanmu dalam bahasa sendiri dan dengan segeranya, perkataan-perkataanmu menjadi hal yang amat berbeza.)
  • Petikan yang bermula dengan "Sehingga seseorang menjadi komited..." telah dianggap secara meluas sebagai karya Goethe, tetapi sebenarnya ditulis oleh William Hutchinson Murray.
  • Mehr Licht ... (Lebih cahaya ...) — perkataan terakhir Goethe pada 1832.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikisource
Wikisource