Gotong-royong di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Gotong-royong di sawah padi

Sejak dari dulu lagi, khususnya masyarakat Melayu, gotong-royong diamalkan sebagai sebahagian daripada cara hidup atau adat resam mereka. Kini, selepas kemerdekaan atau lebih tepat lagi, selepas pengwujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1973, gotong-royong telah dimartabatkan sebagai salah satu nilai sosioekonomi kebangsaan dalam usaha pembentukan bangsa Malaysia.

Kepentingan Gotong-Royong[sunting | sunting sumber]

Perpaduan antara masyarakat harus kukuh untuk negara pergi lebih jauh dalam lapangan dunia moden. Lebih rumit, masyarakat di Malaysia masyarakat berbilang kaum. Maka, harus ada satu aktiviti yang berguna untuk merapatkan persefahaman antara kaum itu, dan tidak dapat dinafikan bahawa gotong-royong mampu membentuk masyarakat yang kondusif. Melalui semangat bantu-membantu dan bekerjasama membersihkan taman permainan, longkang, mahupun rumah ibadat, akan wujud rasa kekitaan yang tulen. Gotong-royong merapatkan ahli masyarakat kepada nilai-nilai murni yang suci, yang tidak ditemui di rumah malahan di pejabat. Rasa kekitaan, rasa prihatin, dan penyayang sesama individu dalam masyarakat akan membantu hasrat kerajaan untuk negara mara lebih ke depan dalam era globalisasi ini. Ini berdasarkan kesan positif gotong-royong yang sebenarnya membantu menangani gejala-gejala buruk dalam masyarakat seperti penagihan dadah dan kecurian, lebih-lebih lagi gotong-royong melibatkan penglibatan menyeluruh ahli masyarakat.

Bak kata pepatah Melayu; “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Demikian juga tentang kerja gotong-royong ini. Semua orang mengetahui bahawa sesuatu kerja yang besar buatannya dan juga belanjanya akan menjadi enteng dan kecil kosnya jika dilakukan bersama-sama. Itulah prinsip gotong-royong. Pihak kerajaan telah menetapkan bahawa setiap penempatan warganegara di Malaysia mempunyai satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK). Fungsinya untuk menjana kegiatan gotong-royong setempat, khususnya untuk kepentingan umum. Isu ini jika ditelusuri secara mendalam, banyak wang, masa, dan tenaga telah dijimatkan kerana ahli masyarakat akan bekerjasama mencapai sesuatu perkara. Contohnya, jika sesuatu tempat itu menjadi kotor kerana sampah, mereka akan bekerjasama membersihkannya dan tidak perlu membuang masa dan wang mengupah orang lain membersihkan atau terpaksa menanggung belanja perubatan kerana sakit akibat kesan jangka panjang daripada gundukan sampah yang tidak sempurna diuruskan itu. Tidak kiralah sama ada menyumbangkan derma atau tenaga untuk gotong-royong, kesan gotong-royong kepada masyarakat seluruhnya cukup bermakna baik untuk pembangunan material masyarakat mahupun pembangunan insan.

Kesilapan Masakini[sunting | sunting sumber]

Setelah puluhan berlalu, gotong-royong kian tandus fungsinya di kalangan masyarakat. Masyarakat masa kini dampaknya lebih individualistik dan materialistik. Mereka cukup menyendiri lalu menganggap bahawa segala apa yang berlaku di sekeliling mereka tidak akan mempengaruhi perjalanan kehidupan seharian mereka. Mereka mula mencari wang dan pangkat kononnya untuk memperoleh keselesaan dalam kehidupan.”Ada kerja, ada gaji” seakan-akan menjadi prinsip hidup masyarakat moden hari ini. Masyarakat moden kini juga kian pudar nilai-nilai kejiranannya. Ramai juga yang terlalu sibuk dengan urusan pejabat. Tidak mustahil, mereka tidak mengetahui nama jirannya apatah lagi mengenalinya dengan lebih mendalam.

Ketidakfungsian badan-badan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan, dikatakan punca gejala ini berlaku. Setiap tahun, kerajaan menguntukkan beberapa juta ringgit untuk pembangunan masyarakat malahan telah terdapat sebuah kementerian untuk hal ehwal masyarakat iaitu Kemeterian Perpaduan Negara dan Kebajikan Masyarakat. Malangnya, perbelanjaan itu tidak sampai kepada golongan sasaran. Agensi-agensi ini kurang mengambil usaha untuk membantu masyarakat dalam perkara yang melibatkan kerjasama segenap lapisan masyarakat. Nasib yang sama turut menimpa NGO yang kini berjumlah sekitar 40 000 buah. Mereka dipercayai hanya bertindak seperti “melepaskan batuk di tangga”. Mereka tidak gemar turun padang, berjumpa dan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk menolong menyelesaikan masalah mereka. Ada juga NGO yang dipergunakan sebagai “batu loncatan” oleh pihak tertentu untuk meraih kepentingan peribadi.

Langkah-langkah Wajar[sunting | sunting sumber]

Situasi seperti ini sesungguhnya amat memalukan, namun itu tidak bermakna kita harus lepas tangan untuk mencari penyudah isu-isu yang kian membarah ini. Sejak di bangku sekolah lagi, amalan murni ini perlu diterapkan agar kerja murni bermasyarakat ini akan terus lestari seiring dengan kemajuan negara. Anak-anak kecil harus dibiasakan bersama-sama masyarakat luar dari rumah meraka agar keberadaan mereka dihargai dan dimanfaatkan oleh masyarakat keseluruhannya dalam usaha melaksanakan sesuatu yang berfaedah demi kesejahteraan umum. Sekolah sebagai rumah kedua para generasi muda wajar menerapkan amalan mulia ini dalam aktiviti-aktiviti kesekolahan seperti Hari Guru, Sukan Tahunan Sekolah, dan Hari Anugerah Cemerlang. Para pelajar akan menguruskannya dan para guru hanya bertindak sebagai penasihat. Melalui kerjasama, setiap insan itu akan lebih matang tentang hubungan sosialnya selain dapat menyelidiki potensi diri secara yang lebih meyakinkan.badan-badan kerajaan atau sukarelawan harus bergerak lebih maju dan efisien dalam usaha memugar semula semangat gotong-royong kembali. Ceramah, forum, dan kempen kejiranan yang tersusun dan berkala boleh diusahakan sebagai satu inisiatif menyebarkan maklumat yang berguna tentang gotong-royong kepada orang ramai. Lebih elok lagi jika mereka turut bersama-sama masyarakat setempat membantu rancangan mereka. Contohnya, sebuah pertubuhan sukarela di Seksyen 17 hingga Seksyen 22 Petaling Jaya bekerjasama dengan warga setempat mengutip plastik, kaca, dan kertas terpakai untuk dikitar semula. Pencapaian badan sukarela ini patut diberi pujian. Tidak terkecuali, syarikat-syarikat swasta sewajarnya menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan membantu masyarakat umum mengatasi masalah mereka. Walaupun sehingga kini peranan syarikat swasta dalam kesejahteraan masyarakat masih samar-samar, namun fungsi sosial mereka akan lebih jelas pada masa akan datang berdasarkan situasi masa kini dan isentif kerajaan.