Gulou dan Zhonglou (Beijing)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gulou (Menara Gendang)
Persembahan di Gulou
Zhonglou (Menara Genta)

Gǔlóu (鼓楼), iaitu menara gendang Beijing, terletak di hujung utara paksi tengah Kota Tengah di utara Jalan Di’ anmen. Asalnya dibina untuk mementaskan persembahan muzik, ia kemudianna digunakan untuk mengumumkan masa dan kini menjadi tarikan pelancong.

Zhōnglóu (钟楼), iaitu menara genta Beijing, terletak rapat di belakang Gulou. Dari dalam kedua-dua menara ini, pengunjung boleh melihat pemandangan pusat bandaraya Beijing. Sebelum zaman moden, kedua-dua menara ini menguasai latar langit purba Beijing.

Fungsi[sunting | sunting sumber]

Genta dan gendang merupakan alat muzik purba China. Kemudian, ia digunakan oleh kerajaan dan rakyat jelata sebagai penunjuk waktu (jam). Gulou dan Zhonglou merupakan pusat kronologi Cina sewaktu dinasti-dinasti Yuan, Ming dan Qing.

Gulou dan Zhonglou masih berfungsi sebagai jam rasmi negara dan kerajaan China hingga tahun 1924, apabila maharaja terakhir Dinasti Qing dipaksa meninggalkan Kota Larangan, sementara jam ala Barat dijadikan kaedah penjagaan waktu yang rasmi.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Gulou dibina pada tahun 1272 sewaktu pemerintahan Kublai Khan. Ketika itu, menara ini berdiri di tengah-tengah ibu kota Yuan, iaitu Dadu, dan dikenali sebagai Menara Pentadbiran Teratur (齐政楼, Qizhenglou). Pada tahun 1420, di bawah pemerintahan Maharaja Yongle Ming, menara itu dibina semula di timur tapak asal, kemudian pada tahun 1800 di bawah pemerintahan Maharaja Jiaqing Qing, renovasi besar-besaran dilakukan. Pada tahun 1924, Feng Yuxiang menarik balik status rasmi menara-menara itu dan menggantikannya dengan kaedah penjagaan waktu Barat, sekaligus menukar namanya kepada "Menara Keaiban Ming" (明耻楼, Mingchilou). Benda-benda yang berkenaan dengan serbuan Angkatan Pakatan Lapan Kuasa terhadap Beijing dan Peristiwa Pembunuhan Beramai-Ramai 30 Mei 1925 dijadikan bahan pameran dalam menara-menara yang dijadikan muzium. Kini, tingkat atas bangunan ini berfungsi sebagai Dewan Kebudayaan Rakyat untuk Daerah Kota Timur.

Pada tahun 1980-an, selepas menjalani pembaikpulihan, Gulou dan Zhonglou dibuka kepada pelancong.

Seni bina[sunting | sunting sumber]

Gulou merupakan bangunan dua tingkat yang diperbuat daripada kayu dan tingginya 47 meter. Pada zaman kuno, tingkat atas bangunan ini pernah menempatkan 24 buah gendang, tetapi hanya sebuah yang tinggal. Zhonglou merupakan bangunan setinggi 33 meter yang berdinding kelabu dan berbumbung hijau berkilat.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Gulou[sunting | sunting sumber]

Zhonglou[sunting | sunting sumber]


Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 39°56′24.68″N 116°23′22.69″E / 39.9401889°N 116.3896361°E / 39.9401889; 116.3896361