Gunung Bunga Buah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gunung Bunga Buah
Titik tertinggi
Ketinggian1,430 m (4,690 ka)
Geografi
LokasiDaerah Hulu Selangor, Selangor
Induk banjaranBanjaran Titiwangsa

Gunung Bunga Buah merupakan sebuah gunung yang terletak di Hulu Selangor, Selangor, berhampiran dengan sempadan negeri Pahang di Genting Highlands. Gunung mempunyai ketinggian setinggi 1,430 meter [1] (4,690 kaki).

Gunung ini adalah antara tempat latihan pendaki-pendaki gunung di Lembah Klang. Kebiasaannya gunung ini didaki ketika cuti hujung minggu. Gunung ini boleh didaki dalam masa sehari atau pendaki boleh juga bermalam di puncak gunung ini. Lokasinya yang berdekatan Lembah Klang, memudahkan pendaki menuju ke Genting Highlands dalam masa yang singkat dan faktor tempat mula pendakian yang bersebelahan Jalan Kuala Lumpur - Genting Highlands.

Jenis hutan[sunting | sunting sumber]

Gunung Bunga Buah mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, dan hutan Montane. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.

Laluan pendakian[sunting | sunting sumber]

Pendakian akan bermula dari Gohtong Jaya, sebuah bandar satelit di selatan Genting Highlands, pada ketinggian 900 meter dari paras laut dan bukan dari 0 meter. Disebabkan faktor ini, Gunung Bunga Buah adalah antara tempat latihan popular bagi pendaki-pendaki gunung di Lembah Klang ketika cuti hujung minggu kerana boleh didaki dalam masa sehari.

Gunung Bunga Buah ini boleh didaki dari kawasan Genting Highlands atau lebih tepat lagi dari Gohtong Jaya yang terletak sekitar 40 km dari Kuala Lumpur. Ada dua trek yang boleh digunakan untuk menuju ke gunung ini: trek pertama daripada simpang belakang Hotel Seri Malaysia dan trek kedua pula adalah daripada bulatan besar selepas Pondok Polis di jalan ke Genting Highlands. Kedua-dua trek ini adalah di dalam tanah persendirian dan secara rasminya pendaki perlu mendapat izin sebelum melalui trek-trek ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan akibat menceroboh.[2]Kedua-dua tapak mula ini merupakan laluan berbatu bekas jalan kuari dan bertemu antara keduanya. Sumber air boleh diambil di alur air di tepi jalan kuari bagi yang mendaki dari bulatan manakala bagi pendaki yang mendaki dari Hotel Sri Malaysia boleh mengambil air paip di pondok pengawal pangsapuri di belakang Hotel Sri Malaysia.

Simpang Trail[sunting | sunting sumber]

Di tepi laluan kuari terdapat satu trek laluan hutan. Pendaki hanya perlu menyusur sepanjang laluan trek untuk sampai ke puncak gunung. Trek gunung ini mengikut permatang dan mempunyai satu tempat berbatu yang agak menarik sebelum tiba puncak dipanggil Rock Garden. Panorama pusat peranginan Genting Hingland jelas kelihatan di puncak tersebut.

Nahas Nuri[sunting | sunting sumber]

Sebuah bangkai helikopter Nuri tentera pernah ditemui terhempas di kaki Gunung Bunga Buah.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]