Gunung Senyum
Gunung Senyum yang terletak di Felda Jengka 25, Jengka, Pahang mempunyai ketinggian setinggi 486 meter (1,594 kaki).
Gunung Senyum mempunyai hutan Dipterokarp Bukit. Terdapat banyak flora atau tumbuhan herba di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. Antara gua menarik di sini ialah Gua Terang Bulan Gua Kelam dan Gua Jebak Puyuh. Terdapat juga gua-gua yang masih mengalami proses pertumbuhan stalagtait dan stalagmait. Gua-gua di sini dibawah jagaan PERHILITAN. Terdapat beberapa versi mengenai asal-usul nama Gunung Senyum ini. Antaranya, dikatakan semasa Sultan Pahang sampai di kaki gunung tersebut, baginda bertanya tentang nama gunung itu kepada para pembesar yang mengiringi baginda. Namun, tidak ada seorangpun yang tahu mengenainya sebaliknya para pembesar tersebut hanya mampu tersenyum.
Gunung Senyum terletak berhampiran Sungai Pahang dan boleh didatangi melalui jalan darat daripada Temerloh atau Jerantut. Jika melalui pekan Kuala Krau, pengunjung perlu menyeberangi Sungai Pahang menggunakan perkhidmatan bot yang diusahakan oleh penduduk tempatan.
Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) negeri Pahang telah menjadikan puncak gunung Senyum sebagai pusat origin koordinat bagi negeri ini kerana terletak di tengah negeri Pahang.
|
||||||||||||||||||||