Hani Mohsin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hani Mohsin
Hani Mohsin pada 2004
Kelahiran
Hani Mohsin bin Mohd. Hanafi

(1965-06-18)18 Jun 1965
Meninggal dunia25 Julai 2006(2006-07-25) (umur 41)
Sebab kematianSerangan jantung
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan Hulu Kelang, Selangor
PekerjaanPelakon, pengacara, penerbit
Tahun aktif1991–2006
PasanganTiara Jacquelina (k. 1993; c. 1998)
Anak-anak1
IbuHasni Bakar
BapaMohd. Hanafi Mohd. Yunus
SaudaraAzriyati Mazlan (sepupu)

Hani Mohsin Mohd. Hanafi (18 Jun 1965 – 25 Julai 2006) merupakan seorang pelakon, pengacara dan penerbit Malaysia. Beliau terkenal sebagai pengacara rancangan permainan tempatan "Roda Impian".

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau yang dilahirkan Kangar, Perlis mula menjinakkan diri dengan dunia lakonan ketika menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan minat itu semakin bercambah apabila melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan.

Di UiTM, Allahyarham mengasah bakat lakonan hingga dilantik sebagai Presiden Persatuan Anak Seni Kampus atau Peska. Selepas tamat pengajian di UiTM pada 1987, Mohsin bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah firma swasta.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Tetapi, ia bertahan setakat sembilan bulan apabila kerap ponteng bekerja kerana mencari peluang untuk berlakon. Ketika itu, dia menerima tawaran berlakon drama pertama Tapak Gemilang arahan Rahman Adam dan seterusnya siri Naik Tangga Turun Tangga selama 26 episod.

Cerekarama yang dibintangi pada 1988 itu seolah-olah memberi harapan bintangnya dalam bidang seni akan cerah. Kemampuan Mohsin sebagai aktor disegani mula diakui dan filem Jimi Asmara serta Embun membuktikan dia antara pelakon lelaki yang mempunyai ruang mencipta nama besar.

Jimi Asmara benar-benar mempopularkan Mohsin. Malah, sejak muncul dalam filem period arahan pengarah wanita, Erma Fatima ramai peminat memanggilnya dengan nama watak yang dibawakan Mohsin dalam filem itu. Malahan, menerusi filem itu, di Festival Filem Malaysia ke-12, Hani menerima satu-satunya pencalonan untuk pencapaian beliau sebagai pelakon lelaki terbaik di dalam watak utama.

Kesan Jimi Asmara, Mohsin dilamar M. Nasir untuk membintangi filem, Merah selepas tertarik dengan penampilannya dalam filem itu.

Secara peribadi, Mohsin puas dengan watak itu apatah lagi peluang membintangi filem period seperti itu tidak selalu datang. Ternyata pengaruh Jimi Asmara agak ‘melekat’ dengan pelakon itu kerana selepas filem terbabit, dia menerima beberapa tawaran watak bercorak period seperti teater, Perempuan Seorang Leftenan Inggeris.

Bagi Mohsin seorang sahaja, watak period memang menarik kerana ia semacam membawanya kembali ke zaman lampau yang klasik. Kelebihan itu juga membawa pengarah asing, John Boorman menawarkannya watak sebagai lelaki Burma dalam filem Beyond Rangoon. Demi menghidupkan wataknya, Mohsin sanggup botakkan kepala.

Penerbit[sunting | sunting sumber]

Selepas enam tahun berkecimpung sebagai pelakon, Allahyarham memperluaskan langkahnya dengan menjadi penerbit pada 1994 menerusi syarikatnya, Imagine Pictures. Antara drama dan telefilem yang diterbitkan syarikatnya ialah Boneka, Aida Shada, Kita Bertemu Di Cameron Highlands, Keranda Untuk Kekanda, Jauh (12 Episod) dan Pukul 2 Petang.

Pun begitu, Mohsin agak keberatan untuk mencuba bakat sebagai pengarah. Memetik katanya dalam satu temu bual, "Tidak guna jadi pengarah kalau sekadar mahu menambahkan bilangan pengarah tempatan sedangkan hasilnya tiada. Saya belum bersedia kerana banyak lagi ilmu yang perlu ditimba."

Selain berlakon, Allahyarham juga dikenali sebagai pengacara berkaliber. Rancangan permainan, Roda Impian siaran Astro Ria menyerlahkan nama Mohsin sebagai pengacara apabila terpilih untuk memimpin program itu menggantikan Halim Othman.

Mohsin menyertai Roda Impian pada 2003 untuk musim ke lapan dan sehingga ini sudah merakamkan lebih 500 episod termasuk untuk musim ke-11.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan aktres dan produser, Tiara Jacquelina pada 11 September 1993 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hani Karmila. Bagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang apabila Mohsin dan Tiara berpisah pada 16 Februari 1998. Perceraian mereka disahkan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 4 Jun tahun yang sama.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Beliau meninggal dunia pada 25 Julai 2006[1] di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana pengsan akibat serangan sakit jantung ketika beliau menunggu penerbangan ke Pulau Langkawi untuk melancong bersama anaknya Hani Karmila. Kini Hani Karmila tinggal bersama dengan ibunya, Puan Sri Tiara Jacquelina dan Tan Sri Mohd Effendi Norwawi.[2]

Selepas kematiannya, syarikat miliknya Imagine Pictures ditutup pada penghujung 2006.

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Catatan
1991 O.C.J. Operasi Cegah Jenayah Filem pertama
1992 Nadia Izam
1993 Hanny Jeff
1995 Jimi Asmara Jimi Asmara
Beyond Rangoon Askar / Sami Kecil
Ringgit Kasorrga Mat
1996 Scoop Shah Ikhwan
Merah Salleh
2001 Spinning Gasing Azri
2002 Embun Abang Bayu
2006 Man Laksa Inspektor Mohsin Filem terakhir, pelakon undangan

Drama[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV Catatan
1995 Tapak Gemilang Drama pertama, juga sebagai penerbit
Naik Tangga Turun Tangga
1999 Romeo & Juliet Ridzwan TV3
Bulan Bintang Capriton Rezza
2001 Ketupat Madu, Rendang Hempedu Azam
2001–2002 Astana Idaman Rudi Astro Ria
2005 Villa Cinta Daddy Kamal TV3 Drama terakhir

Telefilem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV Catatan
1992 Lambaian TV3
Dua Warna Sebumbung
1995 Tamak TV1
1998 Keranda Untuk Kekanda TV3
1999 Jam 2 Petang Abang We VCD Juga sebagai penerbit eksekutif
2001 Duda Zainab
Sadis Mustafa
2002 Histeria Johan VCD
Enamorata
Bunga Kasturi
Tarantula TV3
2003 Pontianak - Bidan Gayah Bidin VCD
Hijrahku Hafiz TV3
Snowhite Pudarnya Suria
Diantara Satu
Neon Pengunjung Bilik Pameran I VCD Penampilan khas
2004 Cinta Sepahit Kayu Manis Zaris TV1
2005 Keluarga Pasca Merdeka Johan TV3 Telefilem terakhir

Televisyen[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
1990 Senada Seirama Pengacara TV1
2002–2006 Roda Impian Astro Ria

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]