Harun Taib

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Dato Haji Harun bin Taib ialah seorang pemimpin politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di kawasan DUN N22 Manir, Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia. Beliau menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Yang DiPertua PAS Hulu Terengganu. Beliau telah meninggal dunia pada 25 Januari 2014 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.[1]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Beliau belajar di Universiti Islam Madinah dalam jurusan Usuluddin. Kemudian peringkat sarjana siasah syariah di Universiti al-Azhar, Mesir. Kini beliau masih lagi menyiapkan tesis Ph.D dalam bidang politik antarabangsa.

Isterinya Fatimah Ibrahim dan mempunyai 5 anak.[2]

Politik[sunting | sunting sumber]

Beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Yang DiPertua PAS Hulu Terengganu.

Setelah PAS berjaya memerintah kerajaan negeri Terengganu pada 1999, Harun Taib menjadi Exco kanan Jawatankuasa Pendidikan Dakwah dan Pelaksanaan Undang-Undang Syariah Terengganu. Beliau terbabit dalam penggubalan Undang-Undang Syariah (termasuk hudud / qisas) di Terengganu dan Kelantan. Beliau pernah menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Pilihan raya[sunting | sunting sumber]

DUN Manir mempunyai tujuh peti undi iaitu Kedai Manir, Teluk Menara, Beladau Kolam, Pulau Bahagia, Batu Hampar, Pujuk dan Durian Mas. Hampir 99 % penduduk / pengundinya adalah keturunan Melayu. PAS menang di Manir sejak 1990 lagi. Dalam pilihan raya 1999, Harun Taib mengalahkan Shamsuddin Sulong (BN).

Dalam pilihan raya umum 2004, Datuk Harun Taib (PAS) menumpaskan Wan Sagar (BN-UMNO) dengan memperoleh 4,451 undi manakala Wan Sagar mendapat 4,141 undi iaitu majoriti 310 undi.[3]

Pilihan raya 2008[sunting | sunting sumber]

Dalam pilihan raya pada 8 Mac 2008, Harun Taib berjaya menewaskan Wan Sagar Wan Embong (BN), orang yang sama ditewaskannya pada 2004, kali ini dengan majoriti 406 undi.[4]

Pada 16 September 2008, panel tiga hakim terdiri Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohamed Sheriff dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Arifin Zakaria dan Dato' Zulkefli Ahmad Makinudin menolak petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihan raya kawasan Manir pada 8 Mac 2008. Harun diwakili peguam Mohd Ariff Yusof manakala Wan Sagar diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.[4] Sebelum ini, Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Kang Hwee Gee menolak petisyen Wan Sagar kerana tidak ada secebis buktipun. Insiden 2 pengundi iaitu Mustaffa Yusof dan Muhammad Amiruddin yang dikatakan ditahan dan dipukul di hadapan pusat mengundi juga tidak dapat dibuktikan.[5]

Isu Mawi[sunting | sunting sumber]

Pada 15 September 2005, Datuk Harun Taib sebagai Ketua Dewan Ulama Pas membantah tindakan kerajaan negeri Kelantan menjemput Mawi menyanyi dalam konsert Islam pada 1 Oktober 2005 di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sempena pengisytiharan "Kota Bharu Bandar Raya Islam". Ini kerana beliau menganggap Mawi bukan seorang penyanyi hiburan Islam sebenar, sebaliknya hasil produk sebuah rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia Musim 3 (Astro Ria), yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam. Artis lain yang dijemput ialah M. Nasir, Akhil Hayy, Kumpulan Rabbani dan Halim Yazid. Pendirian Harun itu dianggap tepat dengan hukum-hukum yang diijtihad oleh kebanyakan ulama zaman silam berdasarkan nas-nas daripada al-Quran dan hadis. Masalah muzik dan lagu merupakan masalah khilafiah yang ulama berbeza pandangan sejak turun-temurun. Datuk Harun bagaimanapun akur bahawa Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan dan Mursyidil Am PAS lebih berhak untuk membuat keputusan.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. PAS Dewan Ulama chief Harun Taib dies. TheStar
  2. Dato' Haji Harun bin Taib, Laman PRU ke-12 PAS.
  3. BN yakin rampas DUN Manir, Utusan Online.
  4. 4.0 4.1 Mahkamah Persekutuan sahkan kemenangan PAS di Manir, HarakahDaily.net
  5. Mahkamah tolak petisyen pilihan raya DUN Manir, Utusan Online.
  6. Mawi: Nik Aziz betul, Utusan Online.