Harun bin Idris

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Dato' Harun Idris (22 Disember 192519 Oktober 2003) ialah Menteri Besar Selangor yang kelapan yang merupakan ahli politik dan pejuang Melayu yang terkenal terutamanya di negeri Selangor. Di samping itu, beliau adalah tokoh sukan yang penting dalam arena bola sepak bagi negeri Selangor dan juga Malaysia.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Petaling, Selangor, abangnya Datuk Hj. Raja Kamaruddin bin Idris juga telah menjadi Menteri Besar Terengganu.

Harun mula bekerja dengan Perkhidmatan Pentadbiran Melayu pada tahun 1948. Pada tahun 1953, beliau belajar undang-undang di Middle Temple, London, United Kingdom. Apabila Harun tamat pengajiannya dua tahun kemudian, beliau pulang ke Malaysia dan meneruskan khidmatnya dalam kerajaan sehingga mencapai pangkat tertingginya sebagai Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Selangor.

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Beliau mula berjuang untuk kemerdekaan Malaysia pada awal 1950-an apabila menyertai Persatuan Selangor Malaysia. Oleh sebab minatnya yang mendalam dalam bidang politik, beliau meletak jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Selangor pada Mac 1964 untuk bertanding dalam Pilihan raya umum Malaysia 1964 di DUN Morib.

Harun berjaya memenangi kerusi di daerah Morib dan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor, suatu jawatan yang dipegangnya selama lebih satu dekad. Semasa beliau berkuasa, negeri Selangor telah mencapai banyak perubahan. Sebagai ahli pemuda UMNO, beliau telah cuba membela nasib rakyat Melayu, terutamanya di kawasan bandar.

Peristiwa 13 Mei[sunting | sunting sumber]

Antara ujian Harun yang paling getir ialah ketika Peristiwa 13 Mei 1969 terjadi. Rusuhan orang Melayu dan pembunuhan di Kampung Baru, Kuala Lumpur dikatakan terjadi bermula dari Rumah Menteri Besar Selangor yang terletak di hujung Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

Walaupun begitu, tragedi 13 Mei 1969 telah memberi kesempatan kepada Harun untuk menarik ribuan keluarga ke Kuala Lumpur dan mereka dibenarkan mendirikan rumah setinggan di sekitar bandar Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan beberapa kawasan lain. Di samping itu Kerajaan Selangor telah meluluskan beribu - ribu tapak rumah kepada setinggan - setinggan di sekitar Petaling Jaya, Ampang , Ulu Kelang yang meliputi kampung Datuk Keramat.


Ketua Pemuda UMNO (1971-1976)[sunting | sunting sumber]

Dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO pada 21-22 Januari 1971 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Harun Idris terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO ke-5. Slogan pemuda ditukar dari Pemuda Tahan Lasak kepada Pemuda Pelopor Pembangunan dan menjadi kumpulan pendesak yang aktif. Sepanjang tahun 1971-1972, Pemuda menekankan penglibatan orang Melayu dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).Pemuda menuntut keseimbangan pekerja antara kaum dalam KWSP, MAS dan SIRIM.

Harun berjaya membawa masuk semula Dr. Mahathir bin Mohamad ke dalam UMNO yang dipecat selepas 13 Mei 1969.

Pada 1976 ,Harun dipecat dari UMNO kerana enggan meletak jawatan dalam UMNO ekoran beberapa tuduhan rasuah terhadapnya.[1]

Pemenjaraan[sunting | sunting sumber]

Harun Idris dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun setelah didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM250,000 dari Hong Kong and Shanghai Banking Corporation.Beliau dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 6 bulan lagi setelah didapati bersalah menyalahgunakan wang Bank Kerjasama Rakyat sebanyak RM8 juta.Beliau ketika itu adalah Pengerusi Bank Rakyat . Kertas putih mengenai masalah Bank Rakyat dikeluarkan pada 1979.

Harun dipersalahkan kerana tuduhan rasuah berkaitan dengan Bank Rakyat. Pada tahun 1975, perlawanan tinju antarabangsa diadakan di Kuala Lumpur antara Muhammad Ali dari Amerika Syarikat dengan Joe Bugner dari Britain. Pertandingan ini tidak mendatangkan keuntungan, sebaliknya menyebabkan beliau dibicarakan dan dihukum penjara selama 8 tahun.

Pada 1 Mac 1977, Harun dipenjarakan di Penjara Pudu selama tiga setengah tahun, iaitu selepas menjalani setengah daripada hukumannya yang sepatutnya tamat pada tahun 1984. Beliau dibebaskan pada tahun 1981 selepas Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4.

Harun dipenjarakan kerana Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, seorang yang tegas dan memegang prinsip undang-undang.[perlu rujukan] Ketika itu pengerusi Biro Siasatan Negara (BSN)/ BPR / SPRM ialah Tan Sri Harun Hashim - juga seorang yang tegas. Penyokong Harun meminta jasa baik Tunku Abdul Rahman agar Harun dibebaskan. Sebenarnya pada 1969, Harun telah memalukan Tunku kerana tidak berjaya membela orang Melayu sehingga terjadi Peristiwa 1969 itu[perlu rujukan]. Tunku menasihati Harun menerima hukuman itu dan kemudian membuat rayuan.[perlu rujukan] Rayuan dikemukakan kepada Tun Hussein selaku Perdana Menteri, tetapi rayuannya ditolak.

Pengampunan[sunting | sunting sumber]

Pada 28 Julai 1981, Yang diPertuan Agong Malaysia Sultan Haji Ahmad Shah mengadakan Persidangan Lembaga Pengampunan. Laporan dari penjara dan jasa-jasa Harun dipertimbangkan. Pada 1 Ogos 1981, Harun dibebaskan oleh Lembaga Pengampunan. Maka pada 31 Ogos 1981, Sultan Ahmad Shah memberi pengampunan kepada Harun sempena Jubli Perak Merdeka.

Harun dipilih sebagai Naib Presiden UMNO, kedudukan ke-3 dalam hierarki UMNO pada tahun 1981.

Menyertai Semangat 46[sunting | sunting sumber]

Apabila UMNO diharamkan pada 1988 akibat bantahan UMNO 11, Harun Idris menyertai Parti Semangat 46. Beliau berkempen di seluruh negara agar orang Melayu menyertai Semangat 46. Harun turut berkempen di Tasek, Ipoh, Perak . Apabila pilihan raya kecil Ampang Jaya diadakan pada 1989, Harun Idris bertanding di Ampang Jaya. Barisan Nasional / MCA diwakili oleh Ong Tee Keat, satu tokoh baru dari MCA yang petah berbahasa Melayu. Ramai pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu berkempen di Kampung Ampang Campuran , Ampang Jaya. Malangnya Harun Idris tewas kerana ketokohannya sebagai pejuang Melayu 13 Mei telah luntur. Pengundi Cina masih ingat akan peranan beliau semasa 13 Mei.

Sebagai tokoh sukan[sunting | sunting sumber]

Sebelum mengorak langkah dalam arena politik, Harun telah menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) selama 18 tahun mulai daripada tahun 1961. Beliau merupakan peneraju utama dalam menghimpunkan pasukan bola sepak yang terbaik yang telah memenangi Piala Malaysia selama beberapa tahun. Harun kemudiannya digantikan oleh anaknya, Mazlan Harun.

Pada 1972, Harun telah dilantik sebagai ketua perwakilan untuk kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Munich, Jerman. Lebih sedekad selepas itu, iaitu pada 1984, beliau diberi penghormatan sekali lagi apabila dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Selain daripada bola sepak, beliau sangat aktif dalam sukan golf dan pernah menjadi presiden Persatuan Pemain-pemain Golf Profesional Malaysia (MPGA) antara 1984 hingga 1989.

Namun begitu, keghairahannya dalam mempromosikan sukan telah membawa kepada kejatuhannya. Pada tahun 1975, Harun telah menganjurkan suatu perlawanan tinju bertaraf antarabangsa antara Muhammad Ali dengan Joe Bugner. Walaupun perlawanan ini telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah arena sukan antarabangsa, beliau kemudiannya disabitkan bersalah kerana rasuah. Perbuatan rasuah itu disebabkan oleh tekanannya untuk membiayai kerugian yang amat besar daripada penganjuran perlawanan tinju tersebut.

Meninggal[sunting | sunting sumber]

Beliau meninggal ketika berusia 78 tahun di sebuah lagi banglo miliknya di Taman Duta.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Shariff Ahmad, 'Menjunjung Kasih', Berita Publishing Sdn Bhd , 1983
  • Mokhtar Petah 'Perikatan Pemuda UMNO 1949 - 1950', 1993.

Nota dan rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. www.pemudaumno.org.my Pemuda UMNO Pra-Merdeka
  2. [http://news.google.com/newspapers?nid=1309&dat=20031020&id=XUEhAAAAIBAJ&sjid=3HsFAAAAIBAJ&pg=3591,6367246 Former Selangor MB Harun Idris died

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Penyandang Terdahulu Menteri Besar Selangor
19641976
Penyandang Kemudian
Abu Bakar Baginda Hormat Rafei