Harvey Malaiholo

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Harvey Malaiholo
Nama lahirHarvey Benjamin Malaiholo
Kelahiran (1962-05-03) 3 Mei 1962 (umur 61)
Jakarta, Indonesia
GenrePop, Indo pop, R&B
PekerjaanPenyanyi, komposer, pemuzik, penggubah lagu
InstrumenVokal
Tahun aktif1987–kini
Syarikat rakaman
Musica Studio's
Nagaswara

Harvey Benjamin Malaiholo atau lebih terkenal sebagai Harvey Malaiholo (lahir di Jakarta, 3 Mei 1962; umur 61 tahun) merupakan seorang penyanyi lelaki Indonesia yang terkenal dengan lagu hits seperti "Jerat" dan "Di Ujung Rindu", antara lagu-lagunya yang pasti diingati peminatnya, beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai antara penghibur lelaki yang paling dihormati di Indonesia. Selama tiga dekad lamanya, nama Harvey terpahat di hati peminat muzik bukan saja di Indonesia tetapi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.[1][2]

Kehidupan peribadi dan kerjaya[sunting | sunting sumber]

Menyingkap di sebalik kehidupannya, Harvey adalah anak seorang pelaut manakala ibunya bekas penyanyi berkumpulan Titaley Sisters.

Ketika kecil, beliau sudah didedahkan dengan muzik jazz dan pernah menyanyi bersama ibunya, Maudy Titelay. Ayahnya, Daniel Benjamin Malaiholo pula selalu memberi dorongan dengan menghadiahkan kaset dan LP (piring hitam) penyanyi terkenal seperti Frank Sinatra dan Michael Jackson.

Suara dan cara nyanyian Harvey dikatakan ada sedikit persamaan dengan mendiang Broery Marantika namun dia akhirnya berjaya membentuk imej sendiri dengan imej kumis yang tebal. Malah kumis itu dianggap membawa tuah kerana ia sudah menjadi trademark beliau.

Apa yang jelas untuk berada pada tahap ini, memanglah sukar. Anak sulung tiga beradik ini kerap menyertai pertandingan nyanyian sejak hingusan lagi. Selain pertandingan, Harvey sering menyertai festival lagu popular peringkat nasional namun rezeki masih belum berada di pihaknya ketika itu.

"Saya pernah beberapa kali gagal dalam pertandingan nyanyian. Mungkin ketika itu masih muda dan belum ada cukup pengalaman," ungkap Harvey.

Pun begitu, sekitar tahun 1970-an, Harvey mula berjinak-jinak dengan rakaman album. Beliau lebih popular dan dikenali menerusi The Big Five di kalangan pemuzik dan karyawan Indonesia. Sementara itu, pada awal kemunculan, Harvey terpaksa bersaing dengan Broery Marantika, Mergie Segers, Trio Bimbo, Dedy Damhudi dan Anna Mantovani.

Tanpa diduga, selapas 10 tahun berjuang dan bersabar, Harvey mula popular sekitar 1980-an. Sebagai ganjaran, tanpa diduga, beliau menggondol juara Bintang Radio & TV Remaja tahun 1976 anjuran Batik Iran Tirta.

Di sebalik kejayaan beliau, ada peristiwa yang tidak boleh dilupakan. Harvey sememangnya bertuah dikurniakan ayahanda dan ibu yang cukup memahaminya. Pernah suatu ketika, ayah dan ibunya terpaksa berhutang demi untuk membeli baju yang akan dipakainya dalam suatu pertandingan. Pengorbanan keluarganya berbaloi kerana Harvey berjaya menjadi johan dan terus menjadi penyanyi popular Indonesia.

"Keluarga adalah harta saya. Sejauh mana pergi, saya tetap akan kembali bersama mereka," katanya.

Kini, Harvey lebih selesa bergelar usahawan dan menerima gelaran pemilik rumah. Pun begitu, dia masih mengadakan konsert dan showcase bersama bintang ternama seperti Kris Dayanti dan Ruth Sahanaya.

Menjadi adat resam dunia hiburan, Harvey juga pernah digosipkan bercinta dengan artis seperti Refika Duri dan Andi Meriem Matalatta.

Pun begitu, ayah kepada dua putra, Joshua Benjamin dan Benjamin Joshua bahagia bersama isteri yang juga pengurusnya, Lolita. Putera sulung, Joshua lebih selesa menjadi pemain olahraga sementara Benjamin pula masih lagi menuntut di sekolah.

Diskografi[sunting | sunting sumber]

  • Vol 1 (1977)
  • Sudah Kubilang (1979)
  • Coklat Susu (1982)
  • Senja Dibatas Kota (1983)
  • Taragak (1986)
  • Aku Begini Kau Begitu (1989)
  • Mau Tak Mau (1989)
  • Kugapai Hari Esok (1992)
  • Pengertian (1993)
  • Hidup Yang Sepi (1996)
  • Tetaplah Bersamaku (1998)
  • Begitulah Cinta (2001)

Filemografi[sunting | sunting sumber]

  • Pelajaran Cinta (1979)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ ":: Menbudpar Sematkan Satyalencana Kebudayaan 2010 ::". Dicapai pada 2011-04-03.
  2. ^ Koleksi_Harvey_Malaiholo Diarkibkan 2016-03-05 di Wayback Machine, diakses 22 September 2008

Pautan luar[sunting | sunting sumber]