Himpunan Hijau Menuju Putrajaya 2012

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Himpunan Hijau Menuju Putrajaya telah diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Star,Kedah pada hari Jumaat, 1 Jun 2012. Perhimpunan ini anjuran Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebagai ganti Muktamar PAS yang ditangguhkan kerana PRU13 semakin hampir.[1]

Dr Mujahid Yusuf Rawa selaku ahli parlimen Parit Buntar menyifatkan perhimpunan hijau ini sebagai pertemuan menyelamatkan negara dari pencemaran warna Biru Pekat. Mereka sekata menyanyikan lagu PAS. Lebih 100,000 ahli dan simpatisan PAS hadir.[2] Antara acara menarik ialah ceramah daripada ulama selebriti, Ustaz Azhar Idrus.[3]

Matlamat ke Putrajaya[sunting | sunting sumber]

PAS menyertai PRU ke-13 ini bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) dengan matlamat menumbangkan kerajaan BN dan membentuk kerajaan baru. PAS mahu menggantikan UMNO sebagai parti utama masyarakat Melayu-Islam di negara ini.

UMNO didakwa telah:[4]

  • menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan tahun 1983 dan 1993 yang menghakis peranan Raja-raja Melayu sebagai kuasa semak-imbang (check and balance) kepada Legislatif dan Eksekutif;
  • Meminggirkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi;
  • Merampas tanah-tanah orang Melayu sehingga Tanah Rizab Melayu berkurangan daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 selepas merdeka, menyusut hampir separuh kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1995;
  • 'Menggadai' tanah FELDA Plantation seluas 360,000 yang juga termasuk tanah rezab Melayu untuk dipajakkan dalam proses penyenaraian FGVH sehingga membolehkan pemilikan oleh warga asing;
  • Merosakkan sistem Federalisme dengan mendiskriminasikan kerajaan-kerajaan negeri Melayu seperti Kelantan dan Kedah. Antaranya dengan menafikan hak kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu terhadap royalti minyak petroleum, serta cuai terhadap Sabah dan Sarawak.

Pemerintahan UMNO juga dilihat gagal memelihara jatidiri masyarakat Melayu sehingga berlaku keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan. Salah satu petunjuknya, kadar kelahiran anak luar nikah meningkat setiap tahun. Pada tahun 2009, seramai 17,703 anak luar nikah telah didaftarkan.[5]

Hutang negara mencecah RM 430 bilion melebihi 53% KDNK negara; Hutang isu rumah mencecah RM 577 bilion, iaitu 77% dari KDNK, merupakan yang tertinggi di Asia; Kos sara hidup rakyat juga semakin tinggi; Jurang kekayaan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin. 40% isi rumah berpendapatan RM 1500 ke bawah, manakala 60% isi rumah berpendapatan RM 3000 ke bawah; Amalan rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi sehingga berlaku pembaziran dan ketirisan. Ranking Indeks Persepsi Rasuah di Malaysia merosot ke tangga ke-60 (2011) berbanding ke-56 (2010).[5]

Peta jalan ke Putrajaya hanya akan tercapai jika PR menang 100 kerusi parlimen dan 165 kerusi di Semenanjung Malaysia. PAS perlu menambah kemenangan di Terengganu,Perak dan Selangor dalam PRU13. PAS perlu menang sekurang-kurangnya satu kerusi parlimen di Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.[5]

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengingatkan ahlinya tentang sistem kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar dunia Kesatuan Soviet hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi. Rakyat Filipina meninggalkan Ferdinand Marcos dalam kenangan, diikuti oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai kerajaan tentera. Begitu juga yang terakhir junta tentera Myanmar mengadakan pilihan raya dan berakhir dengan kemenangan Aung San Suu Kyi.[6]

Reaksi kerajaan Barisan Nasional[sunting | sunting sumber]

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) tidak bimbang dengan program himpunan ini. Katanya, ini kerana PAS memilih mengadakan program itu di Kedah, PAS tahu sokongan mereka di Kedah makin merosot.[7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]