Hittite

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Empayar Hit
Name:
URUHa-at-ti
("Tanah Hatti")
s. 1600 SM–s. 1180 SM
Piring matahari Hit, simbol bagi kerabat diraja. Hit
Piring matahari Hit, simbol bagi kerabat diraja.
Empayar Hit pada zaman kemuncaknya di bawah Mursili II (sekitar 1321 – 1295 SM).
Empayar Hit pada zaman kemuncaknya di bawah Mursili II (sekitar 1321 – 1295 SM).
Ibu negara Hattusa dan bagi satu tempoh singkat, Tarhuntasya
Bahasa yang umum digunakanHit, Luwia, Palai, Hurria, Asyur dan bahasa-bahasa wilayah Anatolia lain.
Agama
Politeisme, dewa-dewa Anatolia.
DemonimOrang Hit
KerajaanAutokrasi
Lugal 
• s. 1586–1556 SM
Hattusili I
• 1556–1526 SM
Mursili I
• awal kurun ke-14 SM
Tudhaliya I
• sekitar 1350–1322
Suppiluliuma I
• sekitar 1321–1295
Mursili II
• sekitar 1295–1272
Muwattalli II
Era SejarahZaman Gangsa Akhir
• Labarna I menakluk Hatti
s. 1600 SM
• Serangan oleh orang laut dan kerajaan sekitar membawa penamat kepada Hatti
s. 1180 SM

Empayar Hit atau empayar Nesya ialah orang Anatolia purba yang pernah mengasaskan sebuah kerajaan yang berpusat di Hattusa (bahasa Hit: URUḪattuša, "Hattusya") di tengah utara Anatolia sekitar 1600 SM. Empayar Hit pada zaman kemuncaknya pada kurun ke-14 SM di bawah naungan Suppiluliuma I, merangkumi bahagian besar Anatolia, barat laut Syria, sejauh muara Sungai Litani (sebuah wilayah dikenali sebagai Amqu), dan ke arah timur sehingga ke hulu Mesopotamia.

Antara abad ke-15 dan ke-13 SM, Empayar Hattusa, juga dipanggil Kerajaan Hit, bersengketa dengan Kerajaan Mesir, Kerajaan Asyur Pertengahan dan empayar Mitanni kerana mahu mengawal Asia Barat Jauh. Kerajaan Asyur akhirnya menjadi lebih kuat dan mengilhak banyak daripada tanah Empayar Hit, manakala yang selebihnya dijarah oleh pendatang dari Frigia. Selepas lingkungan tahun 1180 SM, semasa kejatuhan Zaman Gangsa, kerajaan Hit berpecah kepada beberapa negeri kota "Hit Baharu" yang berdaulat. Beberapa daripadanya wujud sehingga lewat kurun ke-8 SM sebelum jatuh ke tangan Kerajaan Asyur Baharu.

Bahasa Hit berasal daripada cabang bahasa Anatolia dalam rumpun bahasa Indo-Eropah, bersama-sama bahasa Luwia, dan merupakan bahasa Indo-Eropah tertua yang diketahui setakat kini.[1] Ia digelar oleh bangsa Hit sendiri sebagai 'nešili' "perihal [berbahasa] Nesya (kini dipanggil Kültepe)". Bangsa Hit memanggil nama negeri mereka sebagai Kerajaan Hattusya (Hatti dalam bahasa Akkadia), sebuah nama yang dipetik daripada bangsa Hatti, sebuah bangsa yang pernah duduk di rantau mereka sehinggalah awal alaf ke-2 dan bercakap bahasa lain bernama bahasa Hatti.[2] Nama "Hittite" datang daripada penggali purba abad ke-19 yang mengaitkan bangsa yang ditemui mereka dengan yang disebut dalam Alkitab.

Kebanyakan sejarah ketamadunan Hit yang kita ketahui datang daripada teks-teks tulisan pepaku yang ditemui di kawasan kerajaan mereka, juga daripada surat-surat diplomatik dan komersial dalam arkib-arkib kerajaan Asyur, Babilonia, Mesir, dan Asia Barat. Teks-teks tersebut juga penting dalam bidang sejarah linguistik Indo-Eropah. Angkatan tentera Hit juga ada menggunakan rata.[3]

Perkembangan dalam bidang peleburan besi dikatakan datang daripada kerajaan Hit di Anatolia sewaktu Zaman Gangsa Akhir, disebabkan mereka memang mahir dan telah membolot dagangan tukang besi. Tetapi pandangan "Hit membolot" disangsi dan tidak lagi diterima dalam kalangan ilmuan.[4] Berkaitan Zaman Gangsa Akhir/Zaman Besi Awal, kejatuhan Zaman Gangsa menyaksikan penggunaan besi secara meleluasa di rantau mereka. Barangan besi memang ada di Anatolia sewaktu Zaman Gangsa, tetapi jumlahnya di semua tempat adalah sama dan tidak banyak; besi tidak lazim digunakan sebagai senjata.[5] Bangsa Hit tidak menggunakan proses peleburan besi, sebaliknya mereka menggunakan meteorit.[6]

Pada zaman klasik, dinasti etnik Hit terdapat di kerajaan-kerajaan kecil dan tersebar di tanah Suriah, Lubnan dan Israel. Setelah hubungan berkurangan dengan kerajaan Hit, keturunan mereka terselerak dan akhirnya bergabung dengan penduduk-penduduk Syam, Turki, dan Mesopotamia.[7]

Pada tahun 1920-an, minat terhadap Hit berkembang dengan pengasasan Republik Turki dan menarik perhatian ahli arkeologi seperti Halet Çambel dan Tahsin Özgüç. Di zaman itu, bidang kajian baharu Hittitologi (kaji bangsa Hit, Hitologi) juga mempengaruh penamaan lembaga-lembaga Turki, seperti bank milik kerajaan Etibank ("bank Hit"),[8] dan yayasan Muzium Ketamadunan Anatolia (Anadolu Medeniyetleri Müzesi) di Ankara, 200 kilometer barat dari ibu negeri Hit yang menjaga pameran artifak dan citra Hit terbesar di dunia.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Ada yang memanggil kerajaan, bangsa, atau bahasa Hit sebagai "Hittite". Hittite datang daripada bahasa Inggeris, yang diambil daripada Ibrani חִתִּי‎ (ḫītī), daripada Hit: 𒄩𒋾 (ḫati);[9][10] "Hiti" dari Ibrani ditambahkan imbuhan akhiran "-ite" untuk menunjukkan perkaitan. Kekeliruan tertimbul apabila nama Hatti dan Hitti mula digunakan dengan berbeza. Bangsa Hatti bagi bangsa yang berada di tengah Anatolia, manakala kerajaan Hit datang daripada Alkitab dan ia diberi pula kepada kerajaan yang menggantikan kerajaan Hatti.

Bangsa Hit sendiri memanggil diri mereka bangsa Nesya (𒉈𒅆𒇷 "nešili", perihal (orang) Nesya) merujuk kepada penempatan mereka. Kerajaan asing seperti Mesir memanggil mereka khita atau kheta, kemudian dalam bahasa Latin Lewat Hethaeus. Dengan itu, menamakan bangsa berkenaan sebagai bangsa Hit atau Nesya lebih sesuai, supaya dapat dibezakan dengan bangsa Hati/Hatti/Hat.

Penemuan[sunting | sunting sumber]

Salah satu daripada pelbagai lambang panji gangsa Alaca Höyük dari sebuah makam pra-Hit ditarikh berasal dari alaf ke-3 SM, kini di Muzium Ketamadunan Anatolia, Ankara.

Latar belakang Alkitab[sunting | sunting sumber]

Sebelum penemuan peradaban Hit dalam bidang arkeologi, satu-satunya sumber maklumat tentang kaum Hit datang daripada Perjanjian Lama. Francis William Newman memberi pandangan kritisnya, bahawa, "tiada satu pun raja Hit dapat menandingi kuasa Raja Yudah...".[11]

Apabila kajian lanjut dilakukan pada separuh akhir abad ke-19, kerajaan Hit ternyata adalah lebih besar. Archibald Sayce menyatakan bahawa, daripada dibandingkan dengan Yudah, Negeri Besi itu "layak dibandingkan dengan Kerajaan Mesir yang berbahagi", dan "tidak terpermanai berkuasanya berbanding Yudah."[12] Sayce dan cendekiawan-cendekiawan lain juga menyatakan bahawa kerajaan Yudah dan Hit bukan seteru kepada satu sama lain dalam nas-nas agama Yahudi; dalam Kitab Raja-raja, kerajaan Hit membekalkan Bani Israel dengan kayu pokok araz, rata, dan kuda, manakala dalam Kitab Kejadian mereka ialah rakan dan sekutu kepada Abraham. Uria si Het ialah seorang hulubalang dalam tentera Raja Daud dan dipanggil salah seorang daripada askar-askar terkemukanya dalam 1 Tawarikh 11.[13]

Penemuan awal[sunting | sunting sumber]

Seni patung haiwan gangsa di Muzium Ketamadunan Anatolia.

Charles Texier, seorang cendekiawan Perancis, menemui puing-puing Het pada tahun 1834 tetapi tidak mengaitkan pada kerajaan Het pada waktu itu.[8][14]

Bukti arkeologi pertama kewujudan kerajaan Hit datang daripada batu bersurat yang ditemui di karum (stesen perdagangan negeri Asyur) kota Kanesy (kini dinamai Kültepe), yang mengandungi rekod perdagangan antara para saudagar Asyur dan sebuah "negeri Hatti". Beberapa nama dalam batu bersurat bukan dalam bahasa Hat ataupun Asyur, tetapi jelas sekali ada kaitan dengan bahasa Indo-Eropah.[15]

Aksara pada sebuah tugu di Boğazkale oleh satu "Orang Hattusya" ditemui oleh William Wright pada tahun 1884 dan mirip sejenis aksara hieroglif dari Aleppo dan Hama di Utara Syria. Pada tahun 1887, ekskavasi di Amarna, Mesir terjumpa utusan diplomatik dari Firaun Amenhotep III dan putera baginda, Akhenaten. Dua daripada surat-suratnya datang dari "kerajaan Kheta" - yang terletak di kawasan sama yang negeri Mesopotamia panggil "negeri Hatti" - yang ditulis dalam tulisan pepaku Akkadia baku, namun dalam bahasa yang tidak diketahui; walaupun para ilmuan dapat tafsirkan bagaimana bunyi surat itu, tiada siapa dapat faham maknanya. Tidak berapa lama kemudian, Sayce mengusulkan bahawa Hatti atau Khatti di Anatolia serupa dengan "kerajaan Kheta" yang disebut dalam teks-teks Mesir, serta bani Hit dalam Alkitab. Ada pula yang, contohnya Max Müller, setuju Khatti mungkin sama dengan Kheta, tetapi sebaliknya mengusulkan hubungannya dengan kerajaan Kitim daripada Alkitab (Daniel 11:30) dan bukan kerajaan Hit. Pengecaman Sayce diterima secara meluas menjelang awal abad ke-20, dan nama "Hit" telah dihubungkaitkan dengan tamadun yang ditemui di Boğazköy.[perlu rujukan]

Gerbang Sfinks di Hattusya.

Sekali-sekala ekskavasi diadakan di Boğazköy (Hattusya), bermula pada tahun 1906. Ahli arkeologi Hugo Winckler terjumpa sebuah arkib diraja dengan 10 000 batu bersurat, ditulis dalam tulisan pepaku Akkadia dan juga bahasa yang tidak diketahui dalam surat-surat Mesir dari Kheta - maka identiti kedua-dua nama Kheta dan Hit akhirnya disahkan. Beliau juga membuktikan bahawa puing-puing di Boğazköy merupakan peninggalan ibu negeri kerajaan yang pernah pada suatu masa mengawal utara Syria.

Di bawah kelolaan Institut Arkeologi Jerman, ekskavasi di Hattusya berlangsung sejak 1907, dan hanya tergendala semasa perang-perang dunia. Kültepe berjaya digali oleh Profesor Tahsin Özgüç dari 1948 hingga beliau meninggal pada 2005. Ekskavasi skala kecil juga dilaksanakan di sekeliling Hattusya, termasuklah tempat suci Yazılıkaya, yang penuh dengan ukiran batu timbul menggambarkan pemerintah-pemerintah Hit dan dewata sembahan bangsa mereka.

Tulisan[sunting | sunting sumber]

Orang Hit menggunakan satu aneka tulisan pepaku yang dipanggil tulisan pepaku Hit. Kembara arkeologi ke Hattusya telah menemui berbagai set penuh arkib diraja dengan tulisan bersurat, yang ditulis dalam bahasa Akkadia, bahasa pengantara dan diplomatik ketika itu, ataupun dalam pelbagai loghat lain dalam kerajaan gabungan Hit.[16]

Muzium[sunting | sunting sumber]

Barang kemas dari Muzium Ketamadunan Anatolia.

Muzium Ketamadunan Anatolia di Ankara, Turki kaya dengan koleksi artifak bangsa Hit dan Anatolia.

Geografi[sunting | sunting sumber]

Bejana upacara berbentuk kerbau suci, dinamai Hurri (Siang) dan Seri (Malam) ditemui di Hattusya, Kerajaan Lama Hit (abad ke-16 SM) Muzium Ketamadunan Anatolia, Ankara.

Kerajaan Hit berpusat di tanah sekeliling Hattusya dan Nesya (Kültepe), dipanggil "tanah Hatti (URUHa-at-ti). Selepas Hattusya dijadikan ibu negeri, kawasan di lingkungan liku Sungai Kızılırmak (bahasa Hit: Marasyantia) dianggap sebagai pusat negeri, dan beberapa undang-undang Hit membuat batasan antara "belah sungai yang ini" dan "belah sungai yang itu". Contohnya, ganjaran penangkapan seorang hamba abdi yang lari melepasi sungai itu lebih tinggi daripada jika dia ditangkap sebelum itu.

Di barat dan selatan dari pusat wilayah ialah sebuah kawasan yang dikenali sebagai Luwia dalam teks-teks Hit awal. Panggilan ini digantikan dengan nama Arzawa dan Kizzuwatna apabila kerajaan-kerajaan tersebut muncul.[17] Apapun, orang Hit tetap menggelar bahasa yang datang dari kawasan mereka sebagai bahasa Luwia. Sebelum kebangkitan Kizzuwatna, jantung wilayah tersebut di Kilikia dipanggil oleh orang Hit sebagai Adania.[18] Apabila ia memberontak dari kerajaan Hit semasa zaman pemerintahan Ammuna,[19] nama Kizzuwatna ditadbirkan dan berkembang ke utara, merangkum Pergunungan Anti-Taurus bawah juga. Di utara tinggalnya orang pergunungan dipanggil orang Kaska. Di tenggara kerajaan Hit ialah Empayar Mitanni milik bangsa Hurri. Pada zaman kemuncak, semasa Mursyili II memerintah, empayar Hit berkembang dan mengilhak Arzawa di barat, Mitanni di timur, banyak wilayah Kaska di utara serta Hayasya-Azzi di timur laut jauh, dan selatan Kanaan sehingga sejauh sempadan selatan Lubnan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asal-usul[sunting | sunting sumber]

Peta penghijrahan orang Indo-Eropah dari s. 4000 ke 1000 SM menurut model Kurgan. Penghijrahan Anatolia mungkin berlaku merentas Balkans. Kawasan merah dadu ialah tanah asal dugaan (Urheimat, budaya Samara, budaya Sredny Stog). Merah merona ialah kawasan yang diduga telah didiami oleh orang Indo-Eropah menjelang s. 2500 SM, dan jingga kesumba menjelang 1000 SM.

Kaum Hit dijangkan datang ke Anatolia setidaknya sebelum 2000 SM.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "2006-05-02 Hittite". 7 Julai 2004. Diarkib dari asal pada 3 Februari 2017.
  2. ^ Ardzinba, Vladislav. (1974): Some Notes on the Typological Affinity Between Hattian and Northwest Caucasian (Abkhazo-Adygian) Languages. Dalam: "Internationale Tagung der Keilschriftforscher der sozialistischen Länder", Budapest, 23.-25. April 1974. Zusammenfassung der Vorträge (Assyriologica 1), m/s 10-15.
  3. ^ "Hittites". British Museum. London: Pemegang amanah Muzium British. Diarkib daripada yang asal pada 7 November 2014.
  4. ^ Muhly, James D. 'Metalworking/Mining in the Levant' in Near Eastern Archaeology ed. Suzanne Richard (2003), m/s 174–183.
  5. ^ Waldbaum, Jane C. From Bronze to Iron. Göteburg: Paul Astöms Förlag (1978): 56–58.
  6. ^ 'Irons of the Bronze Age'(2017), Albert Jambon.
  7. ^ Ancient History Encyclopedia. "Sea Peoples." September 2009. Diarkib dari asal pada 18 Jun 2018.
  8. ^ a b Erimtan, Can. (2008). Hittites, Ottomans and Turks: Ağaoğlu Ahmed Bey and the Kemalist Construction of Turkish Nationhood in Anatolia. Diarkib pada 22 September 2018, Anatolian Studies, 58, 141–171.
  9. ^ Hittite. Etymonline.com. Dicapai 2 April 2020.
  10. ^ Hittite. (2020, Mac 18). Wiktionary, The Free Dictionary. Dicapai 22:14, April 2, 2020.
  11. ^ Newman, F. W. (1853) A history of the Hebrew monarchy: from the administration of Samuel to the Babylonish Captivity. Edisi ke-2. John Chapman, London P 179 nota 2.
  12. ^ Sayce, A. H. (1888) "Introduction", The Hittites: The Story of a Forgotten Empire. Oxford: Queen's College.
  13. ^ 1 Taw. 11:10–47 [Alkitab Berita Baik]
  14. ^ Texier, Charles (1835). "Rapport lu, le 15 mai 1835, à l'Académie royale des Inscriptions et Belles-lettres de l'Institut, sur un envoi fait par M. Texier, et contenant les dessins de bas-reliefs découverts par lui près du village de Bogaz-Keui, dans l'Asie mineure" [Laporan 15 Mei 1835 kepada Akademi Inskripsi dan Susastera Diraja di Institut, berkenaan laporan En. Texier dan mengandungi lakaran ukiran-ukiran timbul yang ditemui oleh beliau berdekatan kampung Bogaz-Keui [kini: Boğazkale] di Asia Kecil]. Journal des Savants (dalam bahasa Perancis): 368–376. Diarkib dari asal pada 28 April 2019.
  15. ^ Kloekhorst, Alwin. "Personal names from Kaniš: the oldest Indo-European linguistic material".
  16. ^ The Hittite Empire. Bab V. Vahan Kurkjian.
  17. ^ A Short Grammar of Hieroglyphic Luwian, John Marangozis (2003)
  18. ^ Beal, Richard H, "The History of Kizzuwatna and the Date of the Šunaššura Treaty", Orientalia 55 (1986) pp. 424ff.
  19. ^ Beal (1986) m/s 426.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Akurgal, Ekrem - The Hattian and Hittite Civilizations; Publications of the Republic of Turkey; Ministry of Culture; 2001; 300 pages; ISBN 975-17-2756-1
  • Trevor R. Bryce, "Life and Society in the Hittite World," Oxford (2002).
  • Trevor R. Bryce, The Kingdom of the Hittites, Oxford (1999).
  • C. W. Ceram, The Secret of the Hittites: The Discovery of an Ancient Empire. Phoenix Press (2001), ISBN 1-84212-295-9.
  • Hans Gustav Güterbock, Hittite Historiography: A Survey, in H. Tadmor and M. Weinfeld eds. History, Historiography and Interpretation: Studies in Biblical and Cuneiform Literatures, Magnes Press, Hebrew University (1983) pp. 21–35.
  • J. G. Macqueen, The Hittites, and Their Contemporaries in Asia Minor, revised and enlarged, Ancient Peoples and Places series (ed. G. Daniel), Thames and Hudson (1986), ISBN 0-500-02108-2.
  • George E. Mendenhall, The Tenth Generation: The Origins of the Biblical Tradition, The Johns Hopkins University Press (1973), ISBN 0-8018-1654-8.
  • Erich Neu, Der Anitta Text, (StBoT 18), Otto Harrassowitz, Wiesbaden (1974).
  • Louis L. Orlin, Assyrian Colonies in Cappadocia, Mouton, The Hague (1970).
  • The Hittites and Hurrians in D. J. Wiseman Peoples of the Old Testament Times, Clarendon Press, Oxford (1973).
  • O.R. Gurney, The Hittites, Penguin (1952), ISBN 0-14-020259-5
  • Kloekhorst, Alwin (2007), Etymological Dictionary of the Hittite Inherited Lexicon, ISBN 90-04-16092-2O
  • Patri, Sylvain (2007), L'alignement syntaxique dans les langues indo-européennes d'Anatolie, (StBoT 49), Otto Harrassowitz, Wiesbaden, ISBN 978-3-447-05612-0
  • J. Freu et M. Mazoyer,

Des origines à la fin de l'ancien royaume hittite, Les Hittites et leur histoire 1, Paris, 2007 ; Les débuts du nouvel empire hittite, Les Hittites et leur histoire 2, Paris, 2007 ; L'apogée du nouvel empire hittite, Les Hittites et leur histoire 3, Paris, 2008.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]