Hospital Bahagia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Hospital Bahagia Ulu Kinta merupakan sebuah hospital kerajaan yang terletak di Perak, Malaysia. Mempunyai bilangan katil 2,600. Terdapat 79 buah wad di hospital ini yang terdiri daripada 54 buah wad lelaki dan 25 buah wad perempuan.

Hospital Bahagia Ulu Kinta merupakan hospital penjagaan mental yang tertua dan terkenal di Malaysia. Hospital ini yang asalnya dikenali sebagai "Hospital Tanjung Rambutan", terletak di Tanjung Rambutan, Negeri Perak, 16 km ke arah timur laut bandar raya Ipoh.

Hospital Bahagia secara tradisi menawarkan rawatan jagaan, memberi rawatan klinikal, psikologi, moral, dan kerohanian bagi kes mereka yang mengalami masalah mental, atau turut dikenali sebagai sakit jiwa, gila, iseng dll. Sungguhpun begitu dari segi perubatan, mereka yang ditempatkan di sini tidak kesemuanya di luar kawal, dan pesakit yang tidak berapa teruk akan diberi latihan di bengkel pertukangan bagi lelaki dan bengkel kerja tangan bagi wanita. Selain itu pesakit turut diberi latihan bertani. Kesemua aktiviti ini mempunyai nilai rawatan (terapeutik) bagi membantu pesakit bertenang dan pulih.

Kebanyakan dari pesakit mengalami kes Schizophrenia (90 %). Kebanyakan kes adalah tidak serius atau ganas, hanya sejumlah kecil kes memerlukan kawalan yang lebih ketat. Mereka mengalami keadaan kemurungan dan menyendiri sekiranya mereka meninggalkan makan ubat. Schizophrenia membabitkan sekitar 1 % manusia.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1910, dengan pemilihan tapak yang dicadangkan oleh Dr. Samuels, kerajaan telah membina sebuah hospital yang diberi nama Federal Lunatic Asylum. Pembinaan siap pada tahun 1911 dan Dr. W.F. Samuels dilantik menjadi Penguasa Perubatan yang pertama. Pada peringkat awal perkembangan Federal Lunatic Asylum merupakan sebuah yayasan psikiatri yang mengandungi 3 buah wad lelaki dan sebuah wad perempuan yang dipisahkan oleh ruang dapur.

Pada tahun 1928 Federal Lunatic Asylum diubah nama kepada Central Mental Hospital dan pada awal tahun 1970-an nama telah diubah kepada Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menampilkan imej yang lebih positif ke atas perkembangan rawatan psikiatri. Kini, Hospital Bahagia Ulu Kinta merupakan yayasan psikiatri terbesar dari empat buah yayasan yang wujud di Malaysia.

Keluasan asal Hospital Bahagia Ulu Kinta ialah 544 ekar di mana lebih kurang 300 ekar digunakan untuk mendirikan pelbagai bangunan dan bakinya digunakan untuk aktiviti–aktiviti pemulihan pesakit seperti pertanian, penternakan dan perikanan. Namun begitu, pada tahun 2007 sebanyak 41 ekar telah diserahkan untuk pembinaan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta.

Alamat[sunting | sunting sumber]

Hospital Bahagia Ulu Kinta
31250 Tanjung Rambutan
Perak Darul Ridzuan
Tel: 05-533 2333
Tel: 05-533 1350

Pautan luar[sunting | sunting sumber]