Hospital Seberang Jaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Hospital Seberang Jaya merupakan sebuah hospital kerajaan yang terletak di Pulau Pinang, Malaysia. Hospital Seberang Jaya merupakan salah satu hospital utama di Pulau Pinang. Ia terletak di kawasan strategik Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang berhampiran Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan kawasan perindustrian Prai dan Bukit Mertajam.

Hospital Seberang Jaya dibina dan direka berdasarkan konsep Hospital Nukleus. Kos pembinaannya telah menelan belanja sebanyak RM92.2 juta. Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd, John Laing International Ltd dan Unit Turnkey Jabatan Kerja Raya telah bertanggungjawabkan bagi pembinaan hospital ini.

Hospital Seberang Jaya siap dibina pada Februari 1995 dan mula beroperasi pada 1 April 1995. Perasmian pembukaan Hospital Seberang Jaya telah disempurnakan oleh Tun Datuk Seri Dr. Mahathir bin Muhammad iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia, pada 21 April 1995.

Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bukit Mertajam telah digabung pada Januari 2001 bagi membentuk Rangkaian Hospital Seberang Perai (RHSP) dan diletakkan di bawah satu pentadbiran yang sama. Pentadbiran kedua-dua hospital ini telah diletakkan di bawah satu pusat tanggungjawab yang diketuai oleh Pengarah (Pengarah Hospital Seberang Jaya) dan Timbalan Pengarah (Pengarah Hospital Bukit Mertajam). Gabungan ini bertujuan untuk mengoptimakan kesemua kemudahan sumber manusia yang terdapat di kedua-dua hospital ini supaya dapat menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan dapat memenuhi kehendak pelanggan.

Penyusunan semula organisasi telah dibuat di mana beberapa unit perkhidmatan klinikal telah ditempatkan di Hospital Bukit Mertajam. Unit-unit klinikal umum yang lain mula beroperasi di kedua-dua hospital. Bahagian pentadbiran dan kewangan telah dipusatkan di Hospital Seberang Jaya. Setakat ini, terdapat 12 wad dan 314 katil di Hospital Seberang Jaya manakala 8 wad dan 242 katil di Hospital Bukit Mertajam.

Alamat[sunting | sunting sumber]

Hospital Seberang Jaya
Bandar Baru
Jalan Tun Hussein Onn
10450 Seberang Jaya
Malaysia
No. Telefon : 04-3983333
No. Fax : 04-3970754

Rujukan[sunting | sunting sumber]