Hospital Sentosa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Hospital Sentosa ialah sebuah hospital kerajaan yang terletak di Bandaraya Kuching, Sarawak, Malaysia. Hospital ini khusus untuk masalah mental.carian nama pesakit

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarah Hospital Sentosa bermula apabila Unit Psikiatri mula beroperasi di Hospital Umum Kuching pada tahun 1948. Ia adalah satu-satunya hospital yang ada pada waktu itu. Pada tahun 1953 perancangan untuk membina sebuah hospital mental yang mempunyai 338 buah katil telah dipersetujui namun pembinaan hanya bermula pada tahun 1957 di atas keluasan 46.98 ekar tanah di Batu 7, Jalan Penrissen, Kuching. Anggaran kos pembinaan adalah sekitar RM2.5 juta yang mana RM1.5 juta dibiayai oleh Kerajaan British.

Para pesakit kemudiannya dipindahkan dari blok lama Hospital Umum Sarawak ke hospital ini pada 22 Mei 1958. Hospital ini diisytihar secara rasmi pembukaannya oleh Sir Anthony Abell pada 6 Jun 19578. Nama asal hospital ini ialah Hospital Mental Sarawak tetapi kemudian ditukar nama kepada Hospital Sentosa pada 1 Ogos 1998 yang telah dipilih dan diumumkan oleh Tuan Yang Terutama, Gabenor Sarawak Datuk Patinggi Haji Ahmad Zaidi Adruce bin Mohd. Noor. ‘Sentosa’ ialah perkataan dari bahasa Melayu yang dicedok dari perkataan Sanskrit iaitu ‘Santosh’ atau ‘Santoshm’ yang membawa maksud ketenangan minda dan kedamaian. Perkataan ini sangat bersesuaian untuk mencerminkan sebuah hospital mental.

Pada tahun 1990, pegawai Hospital Mental Sarawak memulakan lawatan terhadap pesakit mental yang stabil dari rumah ke rumah di sekitar Kuching dalam pelaksanaan program Kejururawatan Komuniti Psikiatri yang dikelolakan sepenuhnya oleh Pembantu Perubatan dan Jururawat. Bermula pada tahun 2003, Hospital Sentosa memperluaskan kawasan lawatan berdasarkan keperluan jagaan komuniti. Ia merupakan satu usaha gigih yang telah dilaksanakan secara bersepadu oleh para Pakar Psikiatri, Pembantu Perubatan (termasuk Pegawai Perubatan), Jururawat, Terapi Cara Kerja, Unit Pembangunan Masyarakat dan juga Kaunselor. Pada tahun 2003 juga, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia mengiktiraf Hospital Sentosa sebagai model institusi mental yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk menjaga pesakit forensik 1.

Pada masa sekarang, terdapat beberapa fasiliti pakar kesihatan mental di Hospital Sentosa (338 katil), klinik Jabatan Psikiatri di Hospital Umum Sarawak yang tidak membenarkan pesakit bermalam (ditubuhkan pada 1996), Unit-unit Psikiatri bertempat di Sri Aman (20 katil), Sibu (28 katil), Miri (26 katil) dan Saratok (2 katil). Pusat jagaan harian di Hospital Umum Sarawak telah dibina pada 1987.

Pada tahun 2005, Pegawai Perubatan dari Hospital Sentosa telah memulakan lawatan ke Hospital Serian, Bau, Lundu dan menubuhkan klinik psikiatri di sana pada setiap bulan. Di lain-lain divisyen dan daerah serta klinik pesakit luar, penjagaan pesakit psikiatri masih diberi dan dilaksanakan oleh Pegawai dan Pembantu Perubatan. Di klinik kawalan pula, penjagaan berterusan pesakit-pesakit ini diuruskan sepenuhnya oleh Pembantu Perubatan Pelatih Bukan Psikiatrik. Pada penghujung program ini, Hospital Sentosa mengambil inisiatif untuk mengelolakan dua hari Psychiatric Refresher Course untuk doktor-doktor dan paramedik di Zon Kuching, Zon Sibu dan Zon Miri mengikut perbezaan kekerapan pada tahun tersebut. Kursus ini dianjurkan pada setiap tahun.

Pada tahun 2007, pihak hospital mula memastikan pesakit yang telah stabil dengan pengambilan ubat supaya sentiasa meneruskan pemeriksaan berkala di pusat-pusat kesihatan di seluruh negeri Sarawak. Sebagai makluman, para pegawai dari Hospital Sentosa sentiasa mengambil berat dan mengikuti perkembangan pesakit di rumah masing-masing dan memberikan suntikan kebiasaan.

Perkhidmatan[sunting | sunting sumber]

Hospital Sentosa Kuching menawarkan rawatan bagi beberapa keadaan masalah mental seperti:-

Pesakit-pesakit diberikan rawatan sama seperti orang biasa; mereka diberi jagaan, perhatian, dan dilayan berbual.

Alamat[sunting | sunting sumber]

Hospital Sentosa
Kota Sentosa, Jalan Penrissen
Kota Sentosa
93250 Kuching
Sarawak
Malaysia.

Tel : 082-612321
Faks: 082-610495

Pautan luar[sunting | sunting sumber]