Huan Cheng Guan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Mejar (Kehormat) Datuk Huan Cheng Guan merupakan ahli politik Malaysia dari Parti Cinta Malaysia (PCM), sebuah parti pelbagai kaum. Sebelum itu beliau adalah naib presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sehingga 19 Disember 2009.

Beliau lahir pada 13 Februari 1961 di Pulau Pinang, Malaysia. Beliau pernah bertugas sebagai tentera/juruteknik Tentera Udara Diraja Malaysia dan berkahwin dengan Chan Siew Lan. Mereka mempunyai dua anak lelaki. [1]

Huan Cheng Guan pernah menjadi Ahli Parlimen Malaysia bagi kawasan P46 Batu Kawan 2004-2008. Beliau memenangi kerusi parlimen Batu Kawan dengan jumlah undi 17,097 undi jauh meninggalkan calon DAP yang hanya memperolehi 6,552 undi. Pada PRU 2008, beliau tewas kepada Ramasamy Palanisamy dari DAP. Beliau tewas di Batu Kawan pada PRU 2013 kepada Kasthuriraani Patto (DAP). Turut bertanding ketika itu ialah 1. N. Gobalakrishnan (BN-Gerakan), dan A. Mohan (Bebas).

Beliau pernah mewakili Malaysia ke Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2006 di New York, Amerika Syarikat.

Pilihan raya kecil Bukit Gelugor 2014[sunting | sunting sumber]

Dalam PRK Bukit Gelugor pada 25 Mei 2014 , beliau bertanding sebagai calon PCM. Barisan Nasional tidak menurunkan sebarang calon MCA mahupun Gerakan. Parlimen Bukit Gelugor kosong berikutan kematian Pengerusi DAP, Karpal Singh, 74, selepas terlibat dalam kemalangan di Gopeng, Perak pada 17 April 2014.

Fokus manifesto PCM ialah membasmi rasuah dalam BN dan Pakatan Rakyat, membuka tiga pusat khidmat di setiap DUN, audit tanah kerajaan negeri Pulau Pinang dan lobi untuk membina rumah kos rendah.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Huan Cheng Guan". Linkedin.com.
  2. ^ "Persaingan 4 penjuru di Bukit Gelugor". Utusan Malaysia. 2014-05-13. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-05-21. Dicapai pada 2014-05-21.