Hussein Onn

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Yang Amat Berbahagia Tun

Hussein Onn
Tun Hussein Onn (MY 3rd PM).jpg

Tempoh jawatan
15 Januari 1976 – 16 Julai 1981
Raja/Ratu Sultan Yahya Petra (1975 - 1979)
Sultan Ahmad Shah (1979 - 1984)
Didahului oleh Tun Abdul Razak
Diganti oleh Tun Dr Mahathir Mohamad

Lahir 12 Februari 1922(1922-02-12)
Johor Bahru, Johor
Meninggal dunia 29 Mei 1990 (umur 68)
San Francisco Selatan, Amerika Syarikat
Parti politik UMNO
Barisan Nasional
Pasangan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah
Pekerjaan Peguam
Religion Islam

Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan di Johor Bahru serta merupakan anak kepada Dato' Onn Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Ibunya bernama Datin Halimah Hussein.

Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura, kini Telok Kurau Primary School (Sekolah Rendah Telok Kurau) dan di English College (kini digelar "Maktab Sultan Abu Bakar"), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad ke-19 (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan. Selepas peperangan, kerajaan British melantik beliau sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di Rawalpindi.

Bermula tahun 1942, beliau terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin, Iran dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, beliau ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi. Beliau kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang menawan Malaya. Dari Madras Tun Hussein merancang dan menggerakkan operasi peperangan gerila terhadap Jepun.

Beliau pulang ke Malaya (kemudian Persekutuan Tanah Melayu; kini Semenanjung Malaysia) pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Beliau kemudiannya bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama 6 tahun berkhidmat dalam tentera, beliau dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa. Seterusnya, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Beliau juga pernah bekerja di negeri Selangor sebagai pegawai daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.

Semangat Dato' Onn Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Tun Hussein untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Beliau kemudiannya menyertai bapanya dalam bidang politik apabila bapanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Di samping penglibatannya dalam bidang politik, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1949, beliau telah menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Pada tahun 1950, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan di samping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

Walaubagaimanapun, penglibatan beliau dalam bidang politik mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila bapanya menarik diri dari UMNO, beliau kemudianyannya menyertai bapanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, beliau meninggalkan bidang politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958.

Sekembalinya ke Malaya, beliau membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu, beliau sudah pun berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah dan mempunyai enam orang anak. Ibarat sireh pulang ke ganggang, beliau kembali menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak yang ketika itu memegang jawatan sebagai Yang Di-Pertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Walaupun beliau telah lama menghilangkan diri daripada arena politik, tapi UMNO telah mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana beliau memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah pada Mei 1969.

Kebangkitan untuk berkuasa[sunting | sunting sumber]

Beliau kembali ke politik untuk menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas dipujuk oleh Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri pada ketika itu. Beliau bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.

Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau mewarisi Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, beliau dilantik untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak. [1]

Peranan dan sumbangan[sunting | sunting sumber]

Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Di bawah pentadbiran beliau, Kementerian Pelajaran terus meningkat maju. Beliau maju setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1972, beliau telah menjadi salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden yang dipilih. Di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos 1973, beliau dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO berikutan kematian daripada Tun Dr. Ismail. Apabila Tun Dr. Ismail meninggal dunia, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973 sekaligus merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Pemergian Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 telah mengejutkan rakyat di seluruh negara ini.

Berikutan itu, dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi pada 17 Januari, beliau telah disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO. Pada hari Khamis, 15 Januari 1976, Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara. Pada tahun 1978, beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Tun Abdul Razak khususnya dalam menggerakkan Dasar Ekonomi Baru. Sebagai seorang pemimpin, beliau arif tentang hal ehwal keselamatan. Beliau juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesarkan dan dipermodenkan apatah lagi pada ketika itu, rantau di Asia Tenggara telah menjadi gempar ekoran jatuhnya kerajaan Vietnam Selatan ke tangan komunis dan terbinalah cita-cita "Teori Domino" komunis. Semasa pentadbirannya pada temboh darurat, usaha membenteras pengganas komunis di hutan dan bandar telah diperhebatkan malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengitipan yang dikatakan berjaya.

Beliau akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang menyebebkan Malaysia meniti arus pembangunan dengan konsisten tanpa banyak kontroversi. Dasar-dasar dan program-program yang diketengahkannya tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Walaupun pada ketika itu ekonomi negara terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia, beliau berjaya untuk mengawal keadaan dan membantu Malaysia berkembang dari segi ekonomi dan sosial. Beliau pernah menjalani rawatan jantung atau pintasan koronari pada awal 1981. Beliau juga telah berjaya melancarkan Rancangan Malaysia Keempat pada bulan April 1981. Beliau juga telah mengikuti jejak langkah bapanya yang sentiasa mencuba untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain terutamanya dari segi ekonomi. Dengan itu, pada 20 April 1981, beliau melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara. Keamanan negara yang diperkukuhkannya telah menarik pelabur luar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi. Sumbangan beliau yang terbesar ialah menegakkan tiang keamanan yang kukuh.

Akibat kesihatan beliau yang merosot, beliau menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri daripada kepimpinan negara. Beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh timbalannya, Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini bergelar "Tun") pada 18 Julai 1981. Selepas beliau meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri, beliau masih aktif dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Tabung Mata dan ISIS semasa hayatnya. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran Tun yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.

Selepas persaraan[sunting | sunting sumber]

Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, beliau meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Beliau memainkan peranan utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.

Sewaktu krisis kepimpinan UMNO yang berlaku pada tahun 1987, hubungan beliau dengan Tun Dr. Mahathir menjadi buruk kerana beliau menyokong "Team B" bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman. Mulai dari saat itu, beliau dan Tunku telah menjadi pengkritik yang kuat terhadap pentadbiran Tun Dr. Mahathir.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Keistimewaan[sunting | sunting sumber]

Beliau adalah seorang yang amat berhati-hati apabila membuat keputusan yang melibatkan hal ehwal negara. Beliau sangat tegas dan berpegang teguh kepada prinsip hidupnya. Pengalaman dalam bidang ketenteraan telah menjadikan beliau sebagai seorang yang berdisiplin dan mementingkan ketepatan masa. Beliau telah memberikan kebebasan kepada akhbar dan majalah untuk melontarkan kritikan dan komentar dengan harapan bahawa perkara itu akan meningkatkan prestasi pentadbirannya. Beliau adalah seorang negarawan yang disegani dan dihormati. Beliau juga terkenal dengan sifat merendah diri serta jujur. Dalam sejarah, beliau akan sentiasa dikenang sebagai "Penyambung Warisan Yang Terbilang". Usaha beliau dalam memupuk semangat perpaduan antara berbilang kaum telah berjaya dicapai dalam konteks masyarakat Malaysia. Beliau mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah disandang oleh ayahandanya serta pogram pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan melaksanakannya dengan penuh dedikasi. Malah, beliau juga telah mewariskan pentadbiran kerajaan serta UMNO kepada Tun Dr. Mahathir dalam keadaan yang stabil dan begitu kukuh pada ketika itu.

Garis masa[sunting | sunting sumber]

  • 1922: Dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari.
  • 1942 (umur 20): Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.
  • 1945 (umur 23): Pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.
  • 1946 (umur 24): Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO.
  • 1950 (umur 28): Dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama; juga dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
  • 1951 (umur 29): Menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) dan kemudiannya Parti Negara.
  • 1958 (umur 36): Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln's Inn, England.
  • 1964 (umur 42): Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua UMNO
  • 1969 (umur 47): Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO) pada Jun.
  • 1970 (umur 48): Menjadi Menteri Pelajaran pada September.
  • 1972 (umur 50): Dipilih sebagai Naib Presiden UMNO
  • 1973 (umur 51): Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos dan memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
  • 1976 (umur 54): Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak. Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari.
  • 1978 (umur 56): Menang jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding.
  • 1981 (umur 59): Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.
  • 1990 (umur 68): Pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

* Tan, Chee Khoon & Vasil, Raj (ed., 1984). Without Fear or Favour, m.s. 38. Eastern Universities Press. ISBN 967-908-051-X.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Penyandang Terdahulu Perdana Menteri Malaysia
1976–1981
Penyandang Kemudian
Tun Abdul Razak Dato' Hussein Tun Dr. Mahathir Mohamad
Penyandang Terdahulu Presiden UMNO
14 Januari 197628 Jun 1981
Penyandang Kemudian
Tun Abdul Razak Dato' Hussein Tun Dr. Mahathir Mohamad