Ibrahim Ismail

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Ibrahim bin Ismail)
Yang Amat Berbahagia Jeneral (B) Tun
Ibrahim Ismail
SSM PMN SPMJ SPMK SPDK PNBS DIMP PIS
Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-3
Kelahiran(1922-10-19)19 Oktober 1922
Johor Bahru, Johor, British Malaya (kini Malaysia)
Meninggal dunia23 Disember 2010(2010-12-23) (umur 88)
Kuala Lumpur, Malaysia
DisemadikanMakam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur
Kesetiaan Malaysia
Yang di-Pertuan Agong
Perkhidmatan Askar Timbalan Setia Negeri Johor
Tentera India British
Eksekutif Operasi Khas
Bendera Tentera Darat Malaysia Tentera Darat Malaysia
Tahun perkhidmatan1941–1977
Pangkat Jeneral
UnitPasukan Sukarelawan Johor
Rejimen Hyderabad ke-19
Force 136
ArahanKetua Turus Angkatan Tentera (1970–77)
PertempuranPerang Dunia Kedua
Darurat Tanah Melayu
Konfrontasi Indonesia-Malaysia
Darurat Kedua Malaysia
Anugerah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT)
Seri Setia Mahkota (SSM)
Panglima Mangku Negara (PMN)
Knight Commander of the Order of the British Empire (KBE)
Member of the Order of the British Empire (MBE)
PasanganToh Puan Zakiah Ahmad (k. 1949)

Jeneral (Bersara) Tun Ibrahim bin Dato' Ismail (19 Oktober 1922 – 23 Disember 2010)[1] ialah Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia yang ketiga.[2] Perlantikan beliau unik kerana beliau asalnya pegawai kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor (Johore Military Force, JMF). Tidak kurang uniknya, beliau satu-satunya Panglima Angkatan Tentera yang dianugerahi gelaran "Tun" oleh Yang Di-Pertuan Agong setakat ini.[3]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Tun Ibrahim dilahirkan pada 19 Oktober 1922. Bapanya, Dato' Ismail bin Abu Bakar ialah pegawai Kerajaan Johor yang bersara sebagai Bendahari Kerajaan Johor. Pada masa yang sama, Dato' Ismail juga pegawai dalam Pasukan Sukarelawan Johor (Johore Volunteer Forces, JVF).

Tun Ibrahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Air Molek. Beliau kemudian bertukar ke Sekolah Inggeris Ngee Heng dan Sekolah Inggeris Bukit Zaharah. Pendidikan Menengah beliau dapati di English College, kini Maktab Sultan Abu Bakar sehingga tamat Senior Cambridge.

Pada awalnya beliau bercita-cita hendak menjadi akauntan, namun kekurangan peluang ketika itu mengubah pendirian beliau untuk menyertai kerjaya tentera. Sebagai rakyat Johor bagaimanapun, beliau tidak boleh menganggotai Askar Melayu kerana ianya hanya dibuka untuk rakyat Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Oleh itu beliau menyertai pemilihan pegawai kadet JMF pada April 1941. Beliau diterima dan dihantar ke Dehra Dun, India.

Perang meletus[sunting | sunting sumber]

Di Dehra Dun, beliau menjalani latihan intensif dan padat. Ketika itu Perang Dunia Kedua telah pun berlarutan di Eropah dan Inggeris berpendapat pasukan Tentera British India perlulah diperbesar dengan segera. Beliau dan rakan-rakan sepasukannya menamatkan latihan pada Februari 1942 ketika kemuncak penyerangan Jepun ke atas Tanah Melayu. Beliau kemudiannya menerima tauliah sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Hyderabad dari Baginda Raja George VI. Semasa di India, beliau telah berkenalan dengan Mejar Tengku Mahmood Mahyideen, tokoh penting yang terlibat dalam Force 136. Dengan pertemuan inilah beliau menawarkan diri menyertai pasukan yang menyusup ke Tanah Melayu untuk menentang Jepun. Beliau juga berkesempatan berkenalan dengan Claude Fenner, yang kemudiannya menjadi Ketua Polis Negara.

Beliau mengetuai pasukan kecil anak-anak Melayu di perantauan telah melakukan cubaan menyusup beberapa kali sehingga akhirnya tertangkap dan dijadikan tawanan perang oleh Kempeitai, polis tentera Jepun. Beliau ketika itu hanya Leftenan, berjaya memperdaya pihak Jepun dengan berpura-pura berpaling tadah. Tindakan bijak beliau dan pasukannya bukan sahaja beberapa kali menyelamatkan nyawa mereka tetapi dapat mengelirukan perisikan Jepun yang mereka bekalkan dengan maklumat-maklumat palsu. Untuk perkhidmatan beliau, Raja George VI telah mengurniakan pingat Member of the Order of the British Empire, MBE.

Selepas perang tamat, beliau berkhidmat dengan JVF seketika. Bagi melanjutkan kerjaya tentera, sepatutnya beliau menyambung untuk menyertai Rejimen Askar Melayu, tetapi beliau kecewa kerana layanan yang tidak setaraf diterima oleh pegawai-pegawai Melayu berbanding pegawai-pegawai Inggeris. Sekitar tahun 1949, beliau masih bekhidmat dengan tentera Johor bersama-sama (Tun) Hussein Onn melatih unit-unit polis di Johor bagi menghadapi ancaman komunis ketika Darurat. Hanya pada Jun 1951, beliau menyertai Askar Melayu setelah pegawai-pegawai Melayu diterima setaraf dengan pegawai Inggeris.

Pegawai Memerintah[sunting | sunting sumber]

Tun Ibrahim ialah salah seorang dari tiga anak Melayu pertama yang menjadi Pegawai Memerintah batalion. Pada April 1958 Leftenan Kolonel (ketika itu) Abdul Hamid Bidin dilantik memerintah Batalion Pertama, Lt Kol. Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa memerintah Batalion Kedua, manakala beliau memimpin Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja. Pada Februari 1962, beliau dinaikkan ke pangkat Brigedier dan dilantik sebagai Pengarah Pentadbiran Tentera Darat. Pada tahun berikutnya beliau menjadi Pegawai Memerintah (kini Panglima, berikutan perubahan Brigedier kepada Brigedier Jeneral) Briged Kelima Infantri yang beroperasi di Sabah ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia. Pada awal tahun 1965 pula beliau mengetuai Briged Pertama. Tidak sampai beberapa bulan selepas itu beliau mengambil alih pula pemerintahan Briged Keempat di Singapura. Pada Julai 1966, beliau dilantik menjadi Panglima Divisyen Infantri Pertama (1 Div) dan dinaikkan pangkat Mejar Jeneral. Ini ialah divisyen pertama yang ditubuhkan dan beliaulah panglima pertamanya. Dua tahun kemudian, Tun Ibrahim dinaikkan pangkat sekali lagi kepada Leftenan Jeneral ketika memegang jawatan sebagai Panglima Divisyen Infantri Kedua.

Peristiwa malang pada 13 Mei 1969 tercetus pada tahun berikutnya dan Tun Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kepada Pengerusi MAGERAN iaitu Tun Abdul Razak. Pada penghujung tahun 1969, beliau telah dinaikkan pangkat Jeneral empat bintang. Ketika ini juga adalah kali pertama Tentera Darat mempunyai dua orang Jeneral penuh, beliau dan Tan Sri Hamid Bidin yang baru dilantik Ketua Turus Angkatan Tentera. Beliau akhirnya menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bidin sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera pada 1 Julai 1970.

Persaraan[sunting | sunting sumber]

Sepanjang menjadi panglima tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, beliau banyak mengaturkan kerjasama dengan negara-negara jiran bagi membanteras ancaman komunis rentas sempadan. Dan tidak kurang dari tiga kali juga beliau menjadi sasaran serangan pihak komunis disebabkan keberkesanan strategi beliau. Pada 30 November 1977, Tun Ibrahim menamatkan perkhidmatan beliau setelah 36 tahun di dalam tentera. Beliau telah berkhidmat selama 7 tahun sebagai Panglima Angkatan Tentera, tempoh yang paling lama dipegang oleh mana-mana pegawai tinggi ATM. Beliau telah menulis dua buah buku yang menghimpunkan pengalaman-pengalaman beliau. Buku pertama, Sudahkah Kamu Bertemu Mariam diterbitkan pada tahun 1984 menceritakan pengalaman beliau ketika Perang Dunia Kedua. Buku kedua beliau, Ibrahim, Pahlawan Melayu pula mengandungi seluruh kisah kerjaya beliau ketika era menjelang Kemerdekaan hinggalah beliau bersara.

Pada 2000 beliau dikurniakan darjah Seri Setia Mahkota, yang membawa gelaran "Tun."[2] Perkahwinan beliau dengan Toh Puan Zakiah binti Ahmad dikurniakan empat orang anak, dua perempuan dan dua lelaki.

Tun Ibrahim meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur pada 23 Disember 2010. Jenazah beliau telah disemadikan di Makam Pahlawan berhampiran Masjid Negara, Kuala Lumpur. Beliau ialah kakitangan tentera pertama disemadikan di sana.

Dalam budaya masyhur[sunting | sunting sumber]

Ibrahim dilakonkan oleh Riz Amin dalam filem 2013, Tanda Putera arahan Shuhaimi Baba.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Kehormatan Malaysia[sunting | sunting sumber]

Kehormatan Antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ibrahim bin Ismail, Tan Sri, 1922–2010 (2008). Ibrahim pahlawan Melayu (ed. 1st). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 978-983-62-9764-8. OCLC 265580520.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  2. ^ a b "Obituary:Tun Ibrahim Ismail". Daily Telegraph. 26 Jan 2011. Dicapai pada 30 Jan 2011.
  3. ^ "General Tun Ibrahim bin Ismail". The Times. London. 4 March 2011. ISSN 0140-0460. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  4. ^ "Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 1964" (PDF).
  5. ^ "Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 1970" (PDF).
  6. ^ "Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2000" (PDF).
  7. ^ Maktab Sultan Abu Bakar (English College) : Sejarah dan Biografi 100 Tokoh Melakar Kegemilangan. Kamdi Kamil (ed. 1st). Johor Bahru: Percetakan Bumi Restu Sdn Bhd. 2014. m/s. 94. ISBN 978-983-42249-8-1. OCLC 892514524.CS1 maint: others (link)


Penyandang Terdahulu Panglima Angkatan Tentera
1 Julai 1970 – 30 November 1977
Penyandang Kemudian
Jeneral Tan Sri Abdul Hamid bin Bidin Jeneral Tan Sri Dato' Haji Mohd Sany bin Haji Abdul Ghaffar