Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu, Kelantan (ILPKB) merupakan salah satu daripada 28 buah Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) yang dikendalikan oleh Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia Malaysia.

ILJTM ditubuhkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dan separuh mahir dengan menyediakan latihan vokasional di dalam bidang-bidang yang teknologi dan terkini sejajar dengan keperluan perkembangan teknologi di sektor pembuatan. ILPKB merupakan sebuah pusat latihan yang berteraskan kemahiran kecemerlangan dan terulung di negeri Kelantan Darul Naim khasnya dan di pantai timur amnya.

Institut ini telah mula beroperasi pada 16hb Jun 1989 dan pengambilan pelajar yang pertama pada 1hb Ogos 1989 adalah seramai 80 orang untuk mengikuti latihan di dalam pelbagai bidang kemahiran.

Pada peringkat permulaan, institut latihan ini menawarkan kursus dalam bidang Pemesinan Am, Mekanik Kenderaan Motor, Binaan Bangunan, Kimpalan, Juruelektrik, Teknologi Perabut, Juruteknik Radio dan Televisyen, Mekanik Penyejukbekuan Dan Penyaman Udara, Perabut, Mekanik Industri dan Mekanik Kenderaan Berat Perdagangan. Mulai pengambilan semester 1/91 semua bidang kursus telah dijalankan sebagaimana yang dirancangkan.

Pada sesi 2/2001 bidang kursus tersebut telah dikembangkan lagi dengan penubuhan berapa kursus baru iaitu Elektronik Industri dan penubuhan satu kursus diploma iaitu Diploma Teknologi Binaan. Kemudian pada sesi 1/2004 satu lagi kursus baru ditambah iaitu Sistem Komputer menjadikan keseluruhan sepuluh kursus kesemuanya.

Institut Latihan Perindustrian , Kota Bharu di bina di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa Phase II yang mana jaraknya 12 km dari Kota Bharu dan 7 km dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Kota Bharu dengan keluasan lebih 13 hektar.

Kompleks Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu mengandungi I blok pentadbiran, 5 blok bengkel , 4 blok asrama lelaki, 1 blok asrama perempuan, 1 blok surau, 2 blok dewan makan, 1 blok dewan serbaguna dan beberapa blok kemudahan lain.

Institut ini juga telah selamat dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra D.K., D.M.N (Negeri Sembilan), D.K (Selangor), D.K (Johor), D.K (Kedah), D.K (Perak), D.K (Terengganu), D.K (Perlis), D.K.M.B., D.P.S.S., D.P (Sarawak) sempena hari keputeraan kebawah D.Y.M.M Al Sultan yang ke 40 pada hari selasa 31hb Julai 1990 bersamaan 9 Muharram 1411 Hijrah.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Laman Web ILPKB [1]