Isaac Singer

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Isaac Singer
Potret Isaac Merritt Singer oleh Edward Harrison May (1869).
Maklumat peribadi
NegaraAmerika Syarikat
Tarikh lahir27 Oktober, 1811
Tempat lahirPittstown, New York
Tarikh mati23 Julai, 1875
Kerja
Keahlian institusiSinger Sewing Machine Company
Sumbangan utamaMesin jahit

Isaac Merritt Singer (27 Oktober, 1811 – 23 Julai, 1875) adalah seorang pencipta, pelakon dan usahawan. Beliau melakukan kemajuan penting dalam rekabentuk mesin jahit dan merupakan pengasas Singer Sewing Machine Company.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Permulaan[sunting | sunting sumber]

Isaac Singer dilahirkan di Pittstown, New York pada 27 Oktober, 1811. Beliau adalah anak bongsu kepada Adam Singer dan isteri pertamanya, Ruth Benson. Bapa Isaac merupakan seorang pendatang Jerman daripada Saxony. Nama keluarga beliau semasa lahir adalah Reisinger.

Isaac berkahwin buat pertama kali pada 1830 dengan Catharine Maria Haley. Mereka kemudian berpindah ke Kota New York, berkemungkinan pada 1831. Buat sementara waktu mereka tinggal di sana bersama-sama dengan ibu bapa Catharine. Mereka berpindah sekali lagi pada musim panas 1833, kali ini ke Kaunti Otsego, New York. Isaac telah bekerja di kedai mesin abangnya sebelum berkahwin dan mempelajari selok belok membuat mesin di sana. Semasa di Otsego di perkampungan Fly Creek, Isaac sekali lagi bekerja di kedai mesin yang dimiliki oleh George Pomeroy.

Isaac mempunyai dua orang anak dengan Catharine: William, lahir pada 1834, dan Lillian, lahir pada 1837. Pada 1835 beliau bersama-sama Catherine dan William yang masih kecil, berpindah ke New York City, bekerja di kedai akhbar. Pada 1836, beliau meninggalkan bandar sebagai agen bagi sebuah syarikat pemain, menjelajah Baltimore, di sana beliau berkenalan dengan Mary Ann Sponsler, seterusnya melamarnya untuk berkahwin. Beliau kembali ke New York bersama Mary Ann pada 1837. Pada tahun tersebut Isaac menerima dua kelahiran: isteri pertama beliau Catherine melahirkan Lillian, dan Mary Ann melahirkan seorang anak lelaki. Kehidupan beliau bersama Catharine tidak mesra lagi selepas ini, tetapi mereka tidak bercerai secara rasmi sehinggalah 1860. Selepas Mary Ann tiba di New York dan mendapati yang Singer sudah pun berkahwin, dia dan Singer kembali ke Baltimore, memperkenalkan diri mereka sebagai pasangan yang sudah berkahwin.

Ciptaan pertama[sunting | sunting sumber]

Pada 1839 Singer memperoleh patent beliau yang pertama, bagi sebuah mesin untuk menggerudi batu, dijual pada harga $2,000. Beliau tidak pernah mempunyai wang sebanyak itu, dan berada di ambang kejayaan dari segi kewangan, beliau memilih untuk kembali menjadi pelakon. Beliau mengembara, menubuhkan serombongan pelakon kembara dikenali sebagai "Merritt Players", dan muncul di pentas menggunakan nama "Isaac Merritt", Mary Ann juga turut muncul di pentas, memperkenalkan dirinya sebagai "Mrs. Merritt". Kembara tersebut bertahan selama lima tahun.

Pada 1844 Isaac bekerja di sebuah kedai cetak di Fredericksburg, Ohio, tetapi segera berpindah ke Pittsburgh, pada 1846 untuk mendirikan kedai kayu untuk membuat bahan-bahan dari kayu dan papan tanda. Di sini beliau membina dan mempatenkan sebuah "mesin untuk membentuk kayu dan logam" pada 10 April 1849.

Pada usia 38 tahun, dengan dua orang isteri dan lapan orang anak, beliau bersama-sama keluarganya berpindah balik ke New York City, berharap untuk memasarkan mesin membentuk kayunya di sana. Beliau mendapat pendahuluan untuk membina prototaip yang berfungsi, dan berjaya membina sebuah mesin tersebut di kedai kepunyaan A. B. Taylor & Co. Bagaimanapun tidak lama selepas mesin tersebut dibina, dandang stim di kedai tersebut meletup, memusnahkan prototaip tersebut. Sebelum mesin tersebut musnah, Orson C. Phelps, pemilik kedai mesin di Boston mendengar mengenai mesin tersebut. Beliau menjemput Singer untuk mendirikan salah satu dari mesin tersebut di kedainya.

Singer kemudian ke Boston pada 1850 untuk mendirikan mesinnya di kedai mesin Phelps. Namun begitu, tiada tempahan seterusnya diterima terhadap mesin membentuk kayu Singer. Secara kebetulan mesin-mesin jahit untuk Lerow dan Blodgett sedang diusahakan di kedai Phelps. Phelps meminta Singer untuk memeriksa mesin-mesin jahit tersebut yang sukar untuk digunakan malah juga sukar untuk dihasilkan. Singer mendapati yang mesin jahit tersebut lebih boleh diharap jika gigi mesin bergerak secara lurus berbanding secara membulat, dengan jarum yang lurus bukannya bengkok. Singer berjaya memperoleh US Patent bernombor 8294 ke atas peningkatan yang dilakukannya pada 12 Ogos 1851. Prototaip mesin jahit Singer menjadi yang pertama boleh digunakan secara praktikal.

Rekabentuk mesin jahit[sunting | sunting sumber]

Mesin jahit Singer (butiran 1)
Mesin jahit Singer (butiran 2)

Singer tidak mencipta mesin jahit tersebut dan tidak juga pernah mendakwa sedemikian. Pada 1850, apabila Singer ternampak mesin jahit beliau yang pertama, ia telah "dicipta" sebanyak empat kali. Semua mesin jahit sebelum Walter Hunt menghasilkan jahit berantai, yang sangat mudah terungkai. Mesin Hunt menghasilkan jahit kunci, seperti mana semua mesin-mesin jahit selepas itu termasuklah mesin daripada Lerow dan Blodgett, yang Singer pula menambahbaikinya di kedai Phelps. Elias Howe membina sendiri sebuah mesin jahit dan mendapat paten untuknya pada 10 September 1846.

Perbalahan terjadi antara Howe dan Singer, kedua-duanya mendakwa keutamaan paten masing-masing. Singer kemudian mendapat tahu bahawa penambahbaikan oleh Howe adalah dari penciptaan semula teknologi yang sedia ada, dan beliau menjumpai satu daripada mesin-mesin lama Hunt, yang sudah tentu menghasilkan jahit-kunci dengan gigi mesin. Hunt memohon paten pada 1853, menuntut keutamaan terhadap paten Howe, yang dikeluarkan tujuh tahun terdahulu. Tuntutan mahkamah, Hunt menentang Howe, dibicarakan pada 1854, dan berpihak pada Howe. Howe kemudian mengambil tindakan guaman untuk menghentikan Singer daripada menjual mesin jahit Singer, dan seterusnya melanjutkan litigasi.

I. M. Singer & Co[sunting | sunting sumber]

Pada 1856, pengilang-pengilang Grover, Baker, Singer, Wheeler, and Wilson, semuanya menuduh masing-masing atas pelanggaran paten, berjumpa di Albany, New York untuk meneruskan tindakan guaman mereka. Orlando B. Potter, seorang peguam dan presiden di Grover and Baker Company, mencadangkan supaya, tidak menyaman sehingga masing-masing kerugian, sebaliknya berpakat dan mengumpul paten mereka. Ini adalah pungutan paten yang pertama, suatu proses yang membolehkan penghasilan mesin yang rumit tanpa pergelutan ke atas hak paten. Mereka bersetuju untuk menubuhkan Kerjasama Mesin Jahit, tetapi untuk memastikan kerjasama ini membuahkan hasil mereka perlu mendapatkan kerjasama Elias Howe, yang masih memegang paten-paten penting yang tidak dapat dipertikaikan yang membolehkan beliau mendapat royalti bagi setiap mesin jahit yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat. Syarat-syarat ditetapkan, dan Howe turut serta. Mesin jahit mula dihasilkan secara besar-besaran: I. M. Singer & Co mengeluarkan 2,564 mesin pada 1856, dan 13,000 pada 1860 di kedai baru di Mott Street di New York.

Mesin jahit sehingga kini digunakan dalam industri, dibuat untuk tukang jahit, namun begitu mesin-mesin yang lebih kecil mula dipasarkan untuk kegunaan di rumah. I. M. Singer berkembang sehingga ke pasaran Eropah, menubuhkan sebuah kilang di Clydebank, berdekatan Glasgow, dengan dikawal oleh syarikat induk, menjadi salah satu syarikat multinasional yang pertama dari Amerika, dengan agensi di Paris dan Rio de Janeiro.

Kejayaan kewangan[sunting | sunting sumber]

Kejayaan kewangan membolehkan Singer untuk membeli sebuah rumah agam di Fifth Avenue, dan berpindah ke sana bersama keluarga kedua beliau. Pada 1860, beliau menceraikan Catherine, dengan menuduhnya berzina dengan Stephen Kent.

Beliau terus tinggal dengan Mary Ann, sehinggalah dia ternampak beliau memandu sepanjang Fifth Avenue bersebelahan Mary McGonigal, seorang pekerja, yang Mary Ann sudah pun mempunyai syak, namun ketika itu Mary McGonigal telah pun melahirkan lima orang anak untuk Isaac Singer. Nama Matthews digunakan untuk keluarga ini. Mary Ann (masih menggelarkan dirinya Mrs. I. M. Singer) membuatkan suaminya ditahan atas tuduhan bigami. Singer kemudian dilepaskan dengan perjanjian dan, merasa aib, lari ke London pada 1862, membawa bersamanya Mary McGonigal. Akibat daripada itu, sebuah lagi keluarga Isaac ditemui: beliau turut mempunyai seorang "isteri" Mary Eastwood Walters dan anak perempuan Alice Eastwood di Lower Manhattan, yang menggunakan nama "Merritt". Pada 1860, Isaac telah melahirkan dan mengesahkan lapan belas orang anak (enam belas dari mereka masih hidup), dengan empat orang perempuan.

Dengan Isaac masih di London, Mary Ann mula berusaha mendapatkan hak kewangan ke atas aset-aset beliau dengan mamfailkan dokumen mengandungi perihal kecurangan beliau, mendakwa walaupun dia tidak pernah secara sah berkahwin dengan Isaac, tetapi mereka dikira sebagai berkahwin mengikut Undang-undang Awam (dengan tinggal bersama selama tujuh bulan selepas Isaac bercerai dari isteri pertamanya Catherine). Akhirnya penyelesaian dicapai, tetapi tuntutan perceraian tidak diberi. Namun begitu, Mary Ann menegaskan yang dia bebas untuk berkahwin, dan bahkan mengahwini John E. Foster. Sementara itu pula, Isaac memperbaharui perkenalannya dengan Isabella Eugenie Boyer, wanita Perancis yang tinggal bersama-sama beliau semasa beliau tinggal di Paris pada 1860. Dia meninggalkan suaminya dan berkahwin dengan Isaac menggunakan nama Isabella Eugenie Sommerville, pada 13 Jun 1863, ketika dia sedang mengandung.

Tahun-tahun terakhir di Eropah[sunting | sunting sumber]

Kubur Singer di Torquay Cemetery

Pada 1863, I. M. Singer & Co. dibubarkan melalui persetujuan bersama, sementara perniagaan tersebut diteruskan sebagai "The Singer Manufacturing Company," membolehkan penstrukturan semula tanggungjawab pengurusan dan kewangan. Singer tidak lagi terlilbat secara aktif dalam pengurusan harian syarikat tersebut, tetapi bertindak sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah (walaupun sekarang beliau tinggal di Eropah) dan merupakan pemegang saham terbesar.

Beliau sekarang mula untuk membesarkan keluarga baru beliau: beliau akan mempunya enam orang anak bersama isterinya Isabella. Barangkali, disebabkan oleh status perkahwinan yang turun naik, Isaac tidak boleh lagi memasuki masyarakat di New York. Keluarga beliau berpindah ke Paris, tidak akan kembali lagi ke Amerika Syarikat. Lari dari Perang Franco-Prussian, pada mulanya mereka tinggal di London, kemudian di Paignton, (berdekatan Torquay) di pantai Devon di mana beliau membina sebuah rumah besar, Oldway Mansion. Beliau turut membawa anak-anaknya yang lain untuk tinggal bersama-samanya di sana. Sembilan hari selepas perkahwinan anak perempuan beliau Alice Merritt dengan William Alonso Paul La Grove, Isaac Singer meninggal akibat "jangkitan pada hati dan radang pada saluran udara." Beliau dikebumikan di perkuburan Torquay.

Hartanah dan peninggalan; keluarga beliau selepas kematiannya[sunting | sunting sumber]

Singer meninggalkan hartanah yang bernilai lebih kurang $14,000,000 dan dua wasiat untuk menentukan pembahagian antara ahli-ahli keluarga beliau, membiarkan sesetengahnya tertinggal atas sebab-sebab tertentu. Tindakan guaman menyusul, dengan Mary Anne mendakwa sebagai "Mrs. Singer" yang sah. Akhirnya Isabella diisytiharkan sebagai balu yang sah. Isabella berkahwin semula pada 1879 dengan pemuzik Belanda Victor Reubsaet dan tinggal di Paris. Selepas kematiannya pada 1887, Isabella berkahwin lagi pada 1891 dengan Paul Sohège. Anak Isaac yang ke-18 Winnaretta Singer mengahwini Putera Louis de Scey-Montbéliard pada 1887, ketika usianya 22. Selepas pembatalan perkahwinan ini pada 1891, dia berkahwin dengan Putera Edmond de Polignac pada 1893. Dia kemudian menjadi penaung terkemuka bagi muzik avant-garde Perancis, contohnya, Erik Satie menggubah Socrate yang dipertauliahkan kepadanya (1918). Sebagai seorang lesbian dia melibatkan dirinya dengan Violet Trefusis bermula dari 1923. Seorang lagi anak perempuan Isaac, Isabelle-Blanche (lahir 1869) mengahwini Jean, duc Decazes (Daisy Fellowes adalah anak mereka). Isabelle membunuh diri pada 1896. Saudara lelaki kepada Winnaretta and Isabelle, Paris Singer, mempunyai anak dengan Isadora Duncan. Seorang lagi saudara lelaki, Washington Singer, menjadi penderma terbanyak kepada University College di barat daya England, yang kemudian dikenali sebagai University of Exeter; salah satu dari bangunan di universiti tersebut dinamakan sempena namanya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]