Istana Melawati

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pintu pagar utama Istana Melawati
Pandangan sisi Istana

Istana Melawati merupakan istana kedua Yang di-Pertuan Agong Malaysia di Putrajaya selepas Istana Negara. Ia digunakan sebagai istana persinggahan bagi Yang di-Pertuan Agong.

Ia terletak di puncak tertinggi Wilayah Persekutuan Putrajaya, Malaysia. Pada aras ketinggian 125 meter dari paras laut, melalui istana ini hampir keseluruhan wilayah Putrajaya boleh dilihat dengan lebih dekat lagi. Istana Melawati merupakan sebuah istana singgah Yang di-Pertuan Agong Malaysia dan kaum kerabat baginda. Istana Melawati juga turut digunakan untuk tujuan mesyuarat umum, mesyuarat tertutup serta tempat perjumpaan Pemerintah dan ketua-ketua negeri yang dipengerusikan sendiri oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Ia merupakan istana moden pertama negara yang menggunakan sepenuhnya nilai adaptasi seni reka tradisional Melayu DiRaja. Salah satu seni bina yang paling menarik yang amat sinonim dengan alam Melayu ialah binaan bumbung perabung lima.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Istana Melawati terletak di Precint 1, Putrajaya. Pembinaan istana bermula pada 1999 dan disiapkan pada 2002. Ia memiliki konsep resort dan sebagai istana rehat bagi Yang di-Pertuan Agong. Melawati secara harafiah bererti menara kawalan. Nama istana ini diberi oleh Yang di - Pertuan Agong Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan nama "Melawati" yang sinonim dengan Selangor.

Seni bina[sunting | sunting sumber]

Direka oleh Yang Berhormat Tengku Adnan Tengku Mansor, pemilik Seni Adnan Arkitek, istana ini terdiri daripada empat sayap utama iaitu:

  • Sayap DiRaja - Penginapan peribadi
  • Dewan Tetamu - Dewan Tetamu Istiadat
  • Dewan Makan - Functions
  • Blok pentadbiran - Pejabat

Tiga menara tinggi membentuk struktur jelas di sebelah sisi dan tengah istana. Menara ini mewakili menara pengawal silam yang terdapat di istana Melayu lama.

Bumbung tiga lapis dengan anjung terperinci dan 'buah butong' tembikar (di setiap bucu) memberikan cubaan asli untuk membina semula reka bentuk bumbung Melayu tradisi pantai timur.

Di dalam istana, di tangga utama Dewan Perjumpaan, terdapat Melawati yang diperbuat daripada kayu cengal berbumbungkan keemasan.

Dalaman[sunting | sunting sumber]

Sayap DiRaja terdiri daripada:

  • Bilik peraduan
  • Bilik rehat diraja
  • Bilik santapan
  • Pejabat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
  • Pejabat Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong
  • Persiraman diraja (kolam mandi diraja)
  • Dapur diraja
  • Rumah tetamu diraja
  • Galeri diraja
  • Bilik mesyuarat utama
  • Balai Rong Seri

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • Maklumat tentang Istana Melawati
  • Buku maklumat pelancongan Putrajaya Intelligent Garden City (English) cetakan 2009, edaran percuma Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan Malaysia.