Istana Negara, Jalan Istana

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Istana Negara, Jalan Istana
ايستان نڬارا، جالن ايستان
(Muzium Diraja)
Istana Negara KL 12 2007 019.jpg
Kompleks Istana Negara di Kuala Lumpur
Bangunan
Jenis Istana Negara rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
(1957 - 2011)

Muzium Istana
(2013 - sekarang)
Gaya seni bina Seni bina Barat
Bandar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Negara Malaysia
Pembinaan
Dimulakan 1928
Disiapkan 1928
Dirasmikan 1957
Diubahsuai 1980
Lokasi
[[Imej:Malaysia|260pxpx|alt=Peta menunjukkan lokasi Istana Negara, Jalan Istana
ايستان نڬارا، جالن ايستان|]]
Perkarangan Istana Negara, Kuala Lumpur
Dua kubah Istana Negara.

Istana Negara adalah tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sebelum Istana Negara, Jalan Duta. Istana ini terletak di Jalan Istana bertentangan dengan Jalan Syed Putra, suatu kawasan seluas 28 ekar atau 11.34 hektar di tepi Bukit Petaling di Kuala Lumpur yang menghadap Sungai Klang.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Rumah Chan Wing pada tahun 1945.

Bangunan ini pada asalnya sebuah rumah agam yang telah dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000 dan dahulunya adalah rumah kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Encik Chan Wing. Pada zaman pemerintahan Jepun dari tahun 1942-1945, bangunan ini telah digunakan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor dan selepas diubahsuai ia dijadikan sebagai Istana Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor sehingga tahun 1957.


Bangunan yang indah itu kemudiannya dibeli oleh kerajaan persekutuan dengan harga RM1.4 juta pada 1957 dan diubahsuai dengan harga RM328,000 untuk menjadikannya sebagai istana yang sesuai untuk kediaman Raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.

Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad merupakan ketua negara Malaysia yang pertama mendiami Istana Negara iaitu bangunan putih yang mempunyai dua kubah emas beberapa minggu sebelum kemerdekaan diisytiharkan.

Istana tersebut kemudiannya direka semula oleh arkitek Jabatan Kerja Raya, E.K. Dinsdale sementara pengubahsuaian dilakukan oleh kontraktor tempatan yang mengambil masa empat bulan dan tidak mempengaruhi struktur utama bangunan. Pengubahsuaian dilakukan dengan menambah bilangan bilik daripada 13 buah kepada 20 buah, dengan dapur bagi 100 orang, balai mengadap, 4 bilik tetamu, 2 balai kemasukan dan 1 dewan santapan.

Istana ini digunakan secara rasmi sehingga 15 November 2011 apabila seisi istana berpindah ke Kompleks Istana Negara Jalan Duta.

Balairong Seri[sunting | sunting sumber]

Bagi upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Balairong Seri sementara yang dibina pada harga RM170,000 kemudiannya telah dimusnahkan pada penghujung tahun 1957 dan digantikan dengan Balairong Seri yang lebih besar.

Pada 1980, Istana Negara telah mengalami pengubahsuaian yang besar bagi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong dengan penambahan Balairong Seri Utama iaitu tempat singgahsana diletakkan. Itu adalah kali pertama singgahsana diletakkan di Istana Negara yang sebelumnya pertabalan Yang di-Pertuan Agong diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Singgahsana baru telah dibina di bawah pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya Kapten David Wee yang berasaskan alat kebesaran diraja. Ia digunakan pertama kalinya ketika pertabalan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada tahun 1980. Selain istiadat pertabalan, Balairong Seri juga digunakan bagi santapan rasmi, istiadat keputeraan, istiadat pengurniaan bintang-bintang kebesaran dan keagamaan.

Balairong Seri di Istana Negara Jalan Duta.

Kemudahan lain[sunting | sunting sumber]

Istana Negara turut mempunyai singgahsana kecil di aras satu untuk baginda menerima dan menyerahkan surat perlantikan kepada duta dan pesuruhjaya tinggi. Yang di-Pertuan Agong menggunakan Bilik Duta di aras bawah untuk berinteraksi dengan duta dan pesuruhjaya tinggi yang baru. Di sini jugalah Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan pada hari Rabu.

Pengawal berkuda yang menjaga pintu masuk Istana Negara.

Istana tersebut turut mempunyai dewan kecil bagi Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan pemerintah yang lain sementara Bilik Permaisuri adalah tempat keluarga diraja bertemu dengan pasangan diraja atau bagi upacara tidak rasmi. Bersebelahan dengan Balairong Seri ialah Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja iaitu tempat bagi Majlis Raja-Raja bersidang setiap tahun manakala Bilik Menteri adalah tempat untuk menunggu sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Dewan badminton juga digunakan untuk upacara yang berkaitan dengan mencemar duli seperti menyerahkan hadiah bagi golongan miskin pada bulan Ramadhan. Kemudahan rekreasi adalah seperti gelanggang tenis, gimnasium dan kolam renang.

Istana Negara mempunyai pengawal istana dari batalion pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. Sejak tahun 2001, pengawal berkuda turut diletakkan di pintu gerbang masuk pada 8 pagi hingga 5 petang yang menjadi tarikan pelancong.

Perpindahan[sunting | sunting sumber]

Istana yang menjadi kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sejak merdeka ini menyaksikan perpindahan seisi istana pada 15 November 2011 apabila Istana Negara, Jalan Duta dijadikan kediaman rasmi Seri Paduka Baginda yang baharu. Bermula tarikh tersebut, persemayaman baginda dan segala urusan rasmi Majlis Raja-raja akan turut berpindah sama dan Tuanku Mizan Zainal Abidin merupakan Yang di-Pertuan Agong yang terakhir bersemayam dan ditabalkan diistana ini.

Istiadat menurunkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga dilakukan pada jam 9 pagi bagi menyatakan secara rasminya bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak lagi bersemayam di istana ini selain simbolik penamatan tugas di Istana Negara lama yang seusia kemerdekaan negara.

Tiupan paluan akhir juga diperdengarkan ketika bendera tersebut diturunkan. Selepas bendera diturun dan dilipat, ia menyaksikan perarakan kumpulan pengawal istana dan kumpulan penurun bendera disertai kawalan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dan Skuadron Istiadat Berkuda. Mereka menuju ke pintu masuk utama Istana Negara, bagi upacara penyerahan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Tengku Abdul Jalil.

Upacara disaksikan Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Othman Mahmud dan kira-kira jam 9:40 pagi, pintu masuk utama Istana Negara ini, dikunci sebagai simbolik berakhirnya fungsi Istana Negara ini sebagai kediaman rasmi Seri Paduka Baginda. [1]

Galeri[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]