Isu Pakatan Rakyat tubuh kerajaan 2008

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Isu Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di Putrajaya bermula sejak 8 Mac 2008 terutama oleh Penasihat PKR , Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim berkata kerajaan baru akan dibentuk pada 16 September 2008 sempena tarikh Sabah dan Sarawak merdeka melalui Malaysia. Setakat ini Pakatan Rakyat menguasai 82 dari 222 kerusi parlimen di Dewan Rakyat. Majoriti 2/3 Barisan Nasional di parlimen dapat dikurangkan dan 30 ahli parlimen didakwa bersedia melompat parti pada tarikh keramat itu . Anwar Ibrahim terus bercakap tentang kerajaan dalam penantian. Ramai yang percaya karisma Anwar tetapi tidak kurang juga mempertikaikan strateginya.

Kerjasama mantap PKR-DAP-PAS[sunting | sunting sumber]

Kerjasama PAS dan DAP dipertikaikan oleh sesetengah pihak kerana PAS mahukan negara Islam teokrasi sedangkan DAP menentang sebarang usaha menjadi Malaysia sebuah negara teokrasi, dan DAP mahukan Malaysia kekal sebagai sebuah negara Sekular seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Pakatan Rakyat didakwa hanyalah sebuah gabungan longgar dan hanya bekerjasama untuk satu matlamat politik yang sama - menentang Barisan Nasional. Pengerusi DAP, Karpal Singh, mahu Anwar Ibrahim menjadi orang tengah menyatukan PAS dan DAP.

Terdapat sesetengah pihak berpendapat bahawa Pakatan Rakyat tidak patut ada parti dominan kerana semua parti saling memperkuatkan antara satu sama lain.[1] Kalau tiada DAP dan PKR, PAS tidak akan sekuat sekarang, begitu juga sebaliknya. PKR tidak patut menjadi parti yang dominan seperti PKR melarang DAP bertanding di Sarawak. Setakat ini DAP terpaksa menerima Menteri Besar Perak dari kalangan PAS walaupun DAP lebih dominan, kerana kedaulatan perlembagaan negeri Perak. Pemimpin DAP terpaksa berkorban kerana tidak adanya pemimpin Melayu dalam parti itu.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 ramai sekali orang Cina dan India mengibarkan bendera PAS[perlu rujukan] dan mengundi PAS. Begitu juga ramai sekali masyarakat Melayu dari UMNO dan PAS yang mengundi DAP kerana undi protes terhadap Barisan Nasional dan UMNO. Soal perjuangan DAP yang dikatakan hampir-hampir anti-Melayu/Bumiputera tidak dipedulikan oleh pengundi Melayu. [perlu rujukan] DAP mahu PAS lebih realistik berhubung wawasannya mahu menegakkan negara Islam dan undang-undang Islam di Malaysia. Sebaliknya PAS mahu DAP menerima konsep-konsep sedia ada yang dirumus oleh Barisan Nasional seperti ketuanan Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi, Perlembagaan Persekutuan, dan sebagainya.

Dalam isu Forum Memeluk Islam jelas sekali pemimpin DAP berbeza sama sekali dengan pemimpin PKR dan PAS.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh[sunting | sunting sumber]

Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dijadikan ukuran bagi menentukan kejayaan Pakatan Rakyat menundukkan kerajaan Barisan Nasional. Di sini jugalah BN mahu membuktikan bahawa kenyataan-kenyataan Anwar Ibrahim selama ini adalah satu pembohongan.Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa kemenangan PKR di Permatang Pauh mungkin menandakan berakhirnya hayat kesemua parti komponen BN dan juga BN.[2]

Muktamar PAS 2008 di Stadium Indera Mulia di Ipoh, Perak menegaskan sekali lagi bahawa Anwar Ibrahim boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia. Namun ramai juga barisan ulama PAS yang mahukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri kerana tidak yakin Anwar akan memperjuangkan Islam nanti. Anwar dilihat tidak Islamik lagi berbanding semasa beliau menerajui ABIM.

Pemimpin DAP dalam Kongres Kebangsaan DAP di Kuala Lumpur mengulangi pendirian dan kesediaan menerima Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Tetapi jawatan Timbalan Perdana Menteri akan ditentukan kemudian. Karpal Singh dengan jelas bercita-cita kongres DAP akan diadakan di PWTC nanti.

Wakil rakyat Sabah dan Sarawak lompat parti[sunting | sunting sumber]

Rasa tidak puas hati rakyat Sabah dan Sarawak terhadap kerajaan Barisan Nasional bukan rahsia lagi. Wakil rakyat Sabah juga terkenal dengan kes lompat parti dari USNO kepada Berjaya kepada Parti Bersatu Sabah dan berpecah tapi bersatu dalam Barisan Nasional. UMNO terpaksa masuk ke Sabah dan keahlian dibuka kepada Bumiputera bukan Islam khusus untuk Sabah. UMNO belum bertapak di Sarawak tetapi ura-ura ke sana masih ada jika terdesak.

Pemimpin PKR Sabah, Dr Jeffrey Kitingan mendakwa 13 wakil rakyat Sabah bersedia lompat tetapi segera dinafikan oleh Najib Tun Razak. Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee tetap dengan pendirian akan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Naib presiden PKR Mohamed Azmin Ali mendakwa PR telah menawarkan pakej melompat dengan 20 % royalti petroleum akan diagihkan kepada Sabah dan Sarawak. Selama ini Sabah dan Sarawak hanya menerima 5 % royalti sahaja. Sabah dan Sarawak juga mahu lebih banyak jawatan menteri dan jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Wakil rakyat Pakatan Rakyat juga boleh melompat ke Barisan Nasional. Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran bahawa 2 ADUN di Perak sudah cukup untuk merampas kembali Perak.[3]Serangan balas dan sabotaj daripada UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh diremehkan.

Parlimen boleh dibubarkan agar pilihanraya umum kilat dapat diadakan atau menimbulkan ketegangan perkauman, penggunaan ISA, atau pengisytiharan darurat seperti 1969. Kerajaan baru yang dibentuk nanti pasti tidak stabil kerana tidak ada majoriti mudah dan Malaysia akan terjebak ke kancah sengketa kaum.

Prestasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat[sunting | sunting sumber]

DAP dan PKR didakwa belum ada pengalaman mentadbir negeri mahupun negara. PAS telah memerintah Kelantan melalui tokoh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Seorang ulama tua pun boleh mentadbir negeri, inikan pula peguam , akauntan atau jurutera.

Lim Guan Eng menyatakan orang Melayu akan menyokong DAP jika kemiskinan tegar mereka di Pulau Pinang dihapuskan dalam tempoh setahun pentadbirannya. Selama 50 tahun BN memerintah, kemiskinan orang Melayu di Pulau Pinang masih gagal diselesaikan kerana dakwaan berlakunya kebocoran , ketirisan dan ketidakcekapan. Lantaran itu Lim Guan Eng melancarkan kerajaan CAT dan mahu CAT juga dilaksanakan di peringkat persekutuan - bukan sekadar manis di bibir mulut semata-mata. Sokongan orang Melayu amat bergantung kepada prestasi pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. [4]

Masyarakat Melayu diacum dengan isu babi di Sepang, tidak menghormati institusi raja, isu UITM dan sebagainya. Barisan Nasional lebih berjaya mempengaruhi rakyat marhaen kerana menguasai 100 % media elektronik seperti RTM, TV3 dan media cetak arus perdana.

Bagi terus memenangi masyarakat Cina dan India , Lim Guan Eng meneruskan slogan Malaysian Malaysian dan Malaysian First . Slogan ini sama saja dengan 'Malaysian Malaysia ketika pilihan raya 1969 dahulu.Kerajaan patut mengutamakan rakyat Malaysia tanpa mengira agamanya , bunyinya enak sekali.

Kelayakan Anwar sebagai Perdana Menteri[sunting | sunting sumber]

Pemimpin Barisan Nasional termasuk dari Sabah dan Sarawak berkampung di Permatang Pauh bagi memastikan mimpi bakal Perdana Menteri PR itu tidak menjadi kenyataan.

Sejak awal lagi Anwar Ibrahim merupakan satu-satunya musuh Barisan Nasional yang perlu dijatuhkan. Anwar digambarkan bukanlah bersih sangat kerana beberapa sahabat beliau keluar dari PKR. Antaranya ialah Roslan Kassim, Ezam Mohd Noor, Datuk Nallakaruppan, dan lain-lain.

Anwar yang mendapat sokongan ulama didakwa kononnya terbabit dengan jenayah seks - liwat. Mohd Saiful Bukhari Azlan sanggup mengangkat sumpah laknat sedangkan Anwar enggan melakukannya kerana berpendapat cara ini melanggar ajaran agama Islam. Najib Tun Razak juga bersumpah tidak rasmi bahawa beliau tidak mengenali Altantuya. Begitu juga Datuk Tajul Rosli Ghazali bersumpah bahawa beliau bukan perancang penangkapan 2 exco PKR di Perak.

Wujud Anwarfobia di mana-mana lalu keratan akhbar masa lalu dijaja semula. Khairy Jamaluddin mendakwa Anwar Ibrahim mempertahankan dasar tidak membenarkan bukan Bumiputera masuk ke dalam UiTM ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri. Sedangkan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor mahu UITM dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar antarabangsa sebagaimana UIAM. Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mencadangkan 10 % pelajar UITM terdiri daripada bukan Bumiputera.

Ikrar setia Ahli Parlimen BN Malaysia Timur[sunting | sunting sumber]

Akujanji yang diharapkan daripada ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak tidak kesampaian kerana mereka berkecil hati mengapa kesetiaan mereka dipersoalkan.

Khabar angin menyatakan ramai yang hendak lompat parti terdiri daripada yang bukan Melayu, bukan Islam.[5] PAS sendiri tidak setuju tidak lompat parti sebagaimana 2 ahli Semangat 46 Kelantan melompat menyertai BN. Halatuju Pakatan Rakyat berhubung perjuangan Melayu dan Islam masih lagi samar.

BNBBC anjur lawatan sambil belajar[sunting | sunting sumber]

Berita Astro Awani pada 6 September 2008 melaporkan Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) meminta ahli parlimen BN menyerahkan pasport bagi memudahkan urusan lawatan sambil belajar pada 8-19 September 2008 itu. Tujuannya antara lain mendedahkan mereka kepada teknologi baru bidang pertanian dan pengeluaran makanan. Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Tiong King Sing menyatakan pengetahuan yang lengkap membolehkan Bajet 2009 dibincangkan dengan lebih baik selepas Aidil fitri nanti. Negara destinasi tidak dinyatakan dan BNBBC bebas menentukannya. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau meluluskan program itu selagi ia konstruktif. Tidak dapat dipastikan adakah program ini ada kaitan dengan tarikh 16 September 2008. [6] Program lawatan ketika bulan puasa dan diadakan tergesa-gesa menimbulkan tanda tanya.[7]

Pengerusi PKR Sarawak, Dominique Ng Kim Ho yakin gimik 16 September menjadi kenyataan tetapi spekulasi Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara mereka yang bakal sertai Pakatan Rakyat tidak dapat disahkan.[8]

Pendedahan Zahrain Hashim[sunting | sunting sumber]

Pada sesi persidangan parlimen pada 15 Mac 2010, blok bebas bertambah dari 1 kepada 5 kerusi . Mereka ialah Datuk Ibrahim, Datuk Zahrain Mohamed Hashim, Zulkifli Noordin, Tan tee Beng dan Mohsin Fadzli Samsuri.

Pada 17 Mac 2010, di Dewan Rakyat, Datuk Zahrain Mohamed Hashim mendedahkan projek 16 September 12008 merupakan pembohongan Datuk seri Anwar Ibrahim. Gerakan 16 september dikatakan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Kononnya Yang Dipertuan Agong sedang menunggu 30 ahli parlimen BN yang melompat parti bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan. Kononnya Agong merestui Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6. Panglima Angkatan Tentera dan angkatan tentera juga dikatakan turut menyokong.Salah seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat sudah bersiap sedia untuk isytihar Anwar sebagai Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mengesahkan atau menafikan dakwaan itu.[9]

Pada 18 Mac 2010, Zahrain mendedahkan bahawa 8 ahli parlimen BN disebut-sebut melompat ke PKR. Mereka ialah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar), Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang). Timbalan Speaker Dewan Rakyat mungkin Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga didedahkan.

Laman web Malaysiakini dan laman portal Raja Petra Kamaruddin (RPK) dikatakan bekerjasama dengan pembantu khas Anwar, Aasil Kazi Ahmad . Anwar berjaya memonopoli pertemuan dengan pihak luar negara hasil bantuan Aasil Kazi Ahmad. Centre for Strategic & International Studies (CSIS) di Washington, Amerika Syarikat telah membatalkan forum yang dihadiri rombongan anggota Parlimen Malaysia.

Duta Malaysia ke Britain, Australia, Turki, Indonesia, India dan negara Timur Tengah dikatakan lemah dan hendaklah ditukar kepada ahli politik berpengalaman .[10]

Laporan polis[sunting | sunting sumber]

Ekoran pendedahan Zahrain, beberapa laporan polis dibuat oleh pemuda UMNO negeri. Pada 22 Mac 2010, pembuda UMNO Kedah membuat laporan polis berhubung Anwar memperalatkan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika merancang mengambil alih kerajaan pada 16 Sept 2008. Ketuanya Badrolhisham Hashim bersama 50 ahli Pemuda UMNO itu dan Pemuda Barisan Nasional (BN) membuat laporan di Balai Polis Alor Setar.[11] Tindakan Anwar dianggap menghina Sultan Mizan Zainal Abidin.

Puteri UMNO dan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) membuat laporan di IPD Sentul dan IPD Gombak. Ketua Pemuda UMNO Perak, Maslin Sham Razman mendesak supaya Anwar dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana 'mengisytiharkan perang' terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagaimana Al Maunah. Maslin membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam., Ipoh.

Pemuda UMNO Melaka diketuai Hasnoul Hisyam Mat Hashim membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah .Mohd. Suhaimi Sulong mengetuai lebih 20 Pemuda UMNO membuat laporan di IPD Kuantan. Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohamad Yusoff melihat Anwar cubab mempersendakan institusi diraja.[12]

Pendedahan Wikileak[sunting | sunting sumber]

Pada 2 September 2011, Malaysiakini melaporkan tentang kabel diplomatik Amerika Syarikat yang bocor membuktikan bahawa dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada 16 September 2008 mempunyai asasnya. Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata antara (lapan) hingga 14 ahli parlimen (daripada 25 MP Sabah tersebut) akan meninggalkan BN. Beliau menamakan (lima) dari UMNO, (empat) dari UPKO, sebagai tambahan kepada (dua) dari SAPP," petik kabel, bertarikh 24 Jun, 2008 itu.Lompatan itu tidak menjadi kerana rasa 'luka lama' yang didakwa masih berdarah' apabila Anwar yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Dr Mahathir Mohamed berperanan utama mengulingkan kerajaan negeri pimpinan PBS pada tahun 1994.[13]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Muqabalah PAS-Umno di kongres DAP
  2. ^ "Undur Abdullah undur" Tun Dr Mahathir
  3. ^ Bolehkah Pakatan tubuh kerajaan?
  4. ^ DAP: Kami terima Anwar jadi PM
  5. ^ PAS 'tunggu dan lihat' 16 Sept
  6. ^ "Najib Luluskan Lawatan BNBBC Ke Luar Negara Kerana Ia Berfaedah". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-04. Dicapai pada 2008-09-05.
  7. ^ Sasaran 16 Sept.: Najib nafi anggota BN-BBC cuti luar negara berkait pelan Pakatan
  8. ^ [1]
  9. ^ Zahrain londeh pekong Anwar untuk jayakan gerakan 16 September ….
  10. ^ Dewan Rakyat: Zahrain Dedah Lapan Anggota Parlimen 'Lompat Parti'
  11. ^ Pemuda UMNO Kedah Buat Laporan Polis Terhadap Anwar
  12. ^ 8 laporan polis dibuat semalam
  13. ^ 'Rampasan kuasa 16 Sept' adalah benar, kata Wikileaks