Jam Air Hornsby

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Man, Time and the Environment oleh Victor Cusack

Jam Air Hornsby, berjudul Man, Time and the Environment (Manusia, Masa dan Alam Sekitar), ialah sebuah gabungan arca kinetik, air pancutan hiasan dan jam berfungsi di medan pejalan kaki Florence Street di bandar Hornsby, New South Wales, Australia. Arca yang diperkenalkan pada tahun 1993[1] ini direka dan dijurutera oleh Victor Cusack dan terdiri daripada gangsa, keluli tahan karat dan kaca binaan Cusak dan pengurus tingkat kilangnya, Rex Feakes.[2] Pembinaannya menelan belanja lebih AU$1 juta (termasuk pengubahsuaian medan) dan mengambil masa dua tahun setengah. Setelah disiapkan, arca ini sering dibelenggui kerosakan kerana diganggu oleh sampah yang dicampak ke dalam air sebelum sistem penapisan airnya dinaik taraf.[3]

Am[sunting | sunting sumber]

Jam Air Hornsby adalah gabungan tiga buah jam janaan air – sebuah klepsidra Yunani abad ke-4 SM, jam kincir air Cina abad ke-11 dan jam bandul Switzerland abad ke-17 – diiringi karilon gangsa 17-not untuk berdenting setiap jam yang berdasarkan rekaan abad ke-18 yang ditemui di sebuah gereja lama di England. Seluruh jam gabungan ini terpasang pada sebuah pontun terapung yang berpusing sekali setiap 12 jam sebagai petunjuk waktu keempat yang berbentuk jarum yang melalui angka rumi yang terletak dalam air sepanjang sempadan pancutan.

Arca ini tingginya kira-kira 8 meter (26 ka) dan beratnya 20 tan (22 tan pendek).[2]

Jam individu[sunting | sunting sumber]

Jam klepsidra Yunani[sunting | sunting sumber]

Bahagian klepsidra Yunani
Gambarajah susunan am klepsidra Yunani

Dalam jenis jam ini, air disalurkan ke dalam bekas pegun dari tangki yang dipenuhi meniskus, iaitu air pasang mencecah pinggir atas tangki lalu membentuk meniskus cembung, kemudian air lebihan disalirkan keluar. Memandangkan kedalaman air dalam tangki bekalan adalah malar, air pun dikeluarkan pada kadar malar; kedalaman air dalam bekas penerima adalah sukatan waktunya.

Dalam contoh ini, dua tiub pada galas disusun agar terlebih imbang apabila penuh, kemudian mencurahkan isinya ke dalam kolam dan kembali ke kedudukan menegak kerana pengaruh pengimbang, untuk membuat semula kitarannya. Pengimbang tersebut berbentuk kepala biri-biri, manakala setiap tiub berhiaskan kepala Hermaphrodite. [4]

Jam kincir air Cina[sunting | sunting sumber]

Bahagian jam kincir air Cina
Gambarajah susunan am jam kincir air Cina

Jam ini menggunakan 20 timba berpengimbang yang bebas berayun dan terpasang sepanjang sisi kincir yang berdiameter 2.3 meter (7.5 ka). Air yang dibekal dari tangki penuh meniskus mengalir ke dalam setiap timba pada kadar malar sehingga berat air dalam timba cukup untuk mengatasi pengimbangnya (perhatikan patung Buddha) untuk membolehkan baldi terbalik dan mencurahkan isinya. Timba yang terbalik itu menyebabkan tuas yang disambung dengan kabel pada palang di atas kincir air terpasang untuk membolehkan kincir berputar. Selepas itu, palang itu kembali ke kedudukannya untuk menghambat kincir sambil menunggu timba kosong seterusnya disalurkan air untuk mengulangi kitaran.

Rekaan ini berdasarkan rekaan Su Song yang membina sebuah jam dalam menara balai cerap pada tahun 1088-1092.[5]

Jam bandul Switzerland[sunting | sunting sumber]

Bahagian jam bandul Switzerland
Gambarajah susunan am jam bandul Switzerland

Jam ini didakwa "tidak diragui jam bandul pacuan air terbesar dalam sejarah" dan mempunyai masa kitaran bandul empat saat yang sama dengan Jam Besar Westminster ("Big Ben"), cuma berat bandul itu lebih berat iaitu 350 kg (770 lb). Rekaan ini berdasarkan rangka yang dilakar oleh Claude Perrault pada tahun 1669, tetapi tidak terlaksana.

Bandul 5 m (16 ka) ini terpasang pada mata pisau untuk untuk meminimumkan geseran dan digerakkan oleh "pemacu atas" (pelongsor kaca yang bergerak di atas); apabila sebelah diisi penuh, mekanisme dimiringkan ke sisinya untuk melepaskan air sementara tangki yang satu lagi menerima bekalan air di bawah patung helang laut.

Setiap saat yang berlalu ditandai oleh putaran kincir kaca yang dipasang 30 pin di keliling sisinya. Setiap separuh kitaran bandul (2 saat) menyebabkan kincir bergerak ke pin seterusnya untuk melengkapkan satu kitaran setiap minit. Sesondol pada "roda kedua" melepaskan lengan penahan di pemacu bawah sekali setiap 30 saat, untuk melepaskan air 100 litre (26 AS gal) sambil menggerakkan jarum minit sekali seminit dan jarum sekali setiap 12 minit.

Muka jam ini tidak dikitari nombor jam, tetapi dihiasi kitaran huruf yang tertera "Dare we forget" (Takkan kita lupa). Jam ini dihiasi pelbagai jenis haiwan untuk "mengingatkan kita bahawa spesies hidupan semakin lenyap di bumi akibat penggunaan tanah kita yang kadang-kadang tidak peka" serta hasil seni orang asli "sebagai peringatan bahawa Hornsby pernah menempatkan sekelompok puak gagah perkasa yang mengalami nasib yang sama seperti kebanyakan haiwan".

Jam bandul ini digunakan untuk mengawal putaran pontun dan loceng serta menyalurkan air kepada jam kincir air Cina.[6]

Jam putaran pontun[sunting | sunting sumber]

Angka rumi mengitari kolam pancutan air

Seluruh arca dipusingkan oleh air di bawahnya yang berpusar mengikut arah jam dari pandangan atas. Kadar putarannya dipantau oleh peranti "selak" di hujung pontun yang terkunci pada salaj satu daripada 60 hentian yang terpasang pada dinding dalam kolam. Setiap 12 minit, selak tersebut dilepaskan oleh mekanisme yang menyambungkan jam bandul itu untuk membolehkan pontun berputar sehingga sampai di hentian seterusnya.[7]

Peranggu karilon dan loceng[sunting | sunting sumber]

Bahagian karilon
Gambarajah susunan am karilon

Karilon ini mempunyai 17 tiub buatan gangsa tuang yang berbunyi secara automatik setiap satu jam, ataupun dimainkan secara manual. Mekanismenya merupakan rekaan yang dicipta oleh "Harringtons of Coventry" dan dilihat oleh si pengarca di sebuah gereja di Haywards Heath di Sussex, tetapi rangkanya diperbuat daripada logam, bukan kayu, dan terdiri daripada 17 tiub manakala karilon lain yang seumpamanya ada 6 hingga 9 tiub sahaja. Kesemua tiub ini beratnya kira-kira 1 tan (1.1 tan pendek) dan boleh memainkan oktaf di atas C tengah tambah 3 not di atas dan not G di bawah.[8]

Plak[sunting | sunting sumber]

Plak 1 / 4 menerangkan jam air pancutan secara amnya.
Plak 2 / 4 menerangkan butiran klepsidra Yunani dan jam yang terbentuk oleh seluruh pemasangan yang berputar di kolam.
Plak 3 / 4 menerangkan butiran jam kincir air Cina dan karilon.
Plak 4 / 4 menerangkan butiran jam bandul Switzerland dan mekanisme pembunyian loceng setiap jam.


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Unveiling in 1993 History of Hornsby
  2. 2.0 2.1 Judul, bahan-bahan dan penghargaan dari plak pertama (lihat gambar)
  3. Belanja, masa pembinaan dan punca kerosakan dalam The Hornsby Water Clock Story (rujuk pautan luar)
  4. Butiran jam Yunani dari plak kedua (lihat gambar)
  5. Butiran jam Cina dari plak ketiga (lihat gambar)
  6. Butiran jam Switzerland dari plak keempat (lihat gambar)
  7. Butiran jam pontun dari plak kedua (lihat gambar)
  8. Butiran karilon dari plak ketiga (lihat gambar)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • The Water Clock Chronicles di YouTube. Pengarca Victor Cusack menerangkan sejarah, kefungsian dan pengertian Jam Airnya.

Koordinat: 33°42′14.4″S 151°6′2.1″E / 33.704000°S 151.100583°T / -33.704000; 151.100583