Jam bandul

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Jam bandul yang dibayangkan oleh Galileo Galilei sekitar 1637. Rekabentuk jam bandul terawal yang dikenali ini tidak pernah disiapkan.
Jam bandul yang dibayangkan oleh Galileo Galilei sekitar 1637. Rekabentuk jam bandul terawal yang dikenali ini tidak pernah disiapkan.
Jam bandul dinding berkawal atur ala Vienna
Jam bandul dinding berkawal atur ala Vienna

Jam bandul ialah sejenis jam yang menggunakan bandul, iaitu beban yang mengayun, sebagai unsur penjagaan waktu. Kelebihan bandul sebagai penjaga waktu adalah bahawa bandul merupakan pengayun harmonik yang mengayun berulang-alik dalam selang masa yang jitu secara nisbi dengan kepanjangannya, serta mengelak daripada mengayun pada kelajuan yang lain. Semenjak dicipta oleh Christiaan Huygens pada tahun 1656 sehingga 1930-an, jam bandul merupakan penjaga masa yang paling persis di dunia, oleh itu laris digunakan.[1][2] Jam bandul haruslah pegun untuk beroperasi; sebarang pergerakan atau pecutan boleh menjejaskan pergerakan bandul, menyebabkan ketidakjituan, oleh itu mekanisme lain harus digunakan dalam jam mudah alih. Jam bandul kini disimpan sebagai barang perhiasan dan antik.

Mekanisme[sunting | sunting sumber]

Jam marin Pierre de Rivaz sekitar tahun 1750.

Semua jam bandul mekanik mempunyai kelima-lima alat ini[3]:

  • Punca kuasa; sama ada beban pada tali atau rantai yang memutarkan takal atau sproket, ataupun pegas utama
  • Pawai gear (pawai cakera) yang meningkatkan kelajuan kuasa supaya boleh digunakan oleh bandul
  • Bolosan yang memberikan nadi termasa jitu kepada bandul untuk menjaga perayunannya, serta melepaskan cakera-cakera pawai gear untuk bergerak ke hadapan pada kadar yang tetap dalam setiap ayunan. Inilah punca bunyi jam berdetik-detik.
  • Bandul, iaitu beban pada batang
  • Penanda atau permukaan yang merakamkan berapa kerap bolosan telah berpusing, iaitu berapa banyak masa yang berlalu, biasanya dalam bentuk muka jam dengan jarum-jarum yang berpusing-pusing.

Fungsi-fungsi tambahan dalam jam selain penjagaan waktu yang asas dipanggil komplikasi. Jam-jam bandul yang lebih menarik boleh mengandungi komplikasi-komplikasi yang berikut:

  • Pawai denting – membunyikan dentingan pada setiap jam, yang mana bilangan dentingan bersamaan dengan bilangan jam.
  • Permukaan kalendar – menunjukkan hari, tarikh dan kadang-kadang bulan
  • Permukaan fasa bulan – menunjukkan fasa bulan, biasanya dengan lukisan bulan di atas cakera yang berputar.
  • Permukaan permasaan masa – komplikasi yang jarang ditemui ini digunakan pada zaman dahulu untuk melaraskan jam mengikut peredaran matahari di atas pada waktu tengahari. Ia memaparkan perbezaan antara waktu yang ditunjukkan oleh jam dan waktu yang ditunjukkan oleh kedudukan matahari yang berbeza sebanyak ±16 minit sepanjang tahun.
  • Lekapan pengulang – mengulangkan dentingan jam apabila dicetuskan dengan tangan. Komplikasi yang jarang ini digunakan sebelum terciptanya pencahayaan buatan untuk 'menengok' jam pada waktu malam.

Dalam jam pendulum elektromekanik seperti yang digunakan dalam jam induk mekanik, punca kuasa diganti dengan solenoid janaan elektrik yang menyalurkan nadi kepada bandul melalui daya magnet, sementara bolosannya diganti dengan suis atau fotopengesan yang mengesan apabila bandul berada di kedudukan yang betul untuk menerima nadi. Ini jangan dikelirukan dengan jam bandul kuarza terkini yang mana bandul diayunkan oleh modul jam kuarza elektronik. Jam kuarza ini bukan jam bandul yang sejati kerana penjagaan waktu dikawal oleh kuarza dalam modul, dan bandul yang mengayun itu sekadar simulasi hiasan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Milham, Willis I. (1945). Time and Timekeepers. New York: MacMillan. ISBN 0-7808-0008-7. , p.330, 334
  2. Marrison, Warren (1948). "The Evolution of the Quartz Crystal Clock". Bell System Technical Journal 27: 510–588. http://www.ieee-uffc.org/freqcontrol/marrison/Marrison.html. 
  3. Milham 1945, p.74, 197–212

Pautan luar[sunting | sunting sumber]