Jaringan Ilmu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Jaringan Ilmu atau Knowledge Network merupakan projek penyelidikan dan pembangunan atau lebih dikenali sebagai research and development (R&D) untuk membangunkan sistem jaringan maklumat nasional. Sejarah awal pembangunan Jaringan Ilmu apabila Internet mula-mula diperkenalkan kepada masyarakat Malaysia oleh Joint Advanced Research Integrated Networking atau JARING pada 1992. Bermula dari situlah Jaringan Ilmu mula dirancang dan menjadi sebahagian daripada ‘JARING NETWORKS’ dan dilancarkan pada 1994. Di bawah projek ini, “Perpustakaan Negara Malaysia” (PNM) bertindak sebagai agensi terpenting dan penyelaras manakala “The Malaysian Institute of Microelectronic System” (MIMOS) bertindak sebagai pakar perunding dan penasihat berhubung dengan kemudahan jaringan dan memberi nasihat berkaitan teknikal untuk pelbagai perpustakaan seperti perpustakaan akademik, perpustakaan awam, perpustakaan khas, dan perpustakaan penyelidikan. Jaringan Ilmu diwujudkan untuk :

  1. MIMOS dan PNM berganding dalam membangunkan projek R&D yang bertujuan untuk membangunkan hubungan antara perpustakaan-perpustakaan di Malaysia dengan mengaplikasikan sepenuhnya kecanggihan teknologi maklumat.
  2. Menggalakkan perkongsian maklumat dan bahan antara perpustakaan serta menggalakkan Inter-Library Loan atau Peminjaman Antara Perpustakaan
  3. Memudahkan mana-mana perpustakaan mahupun pustakawan mengakses maklumat dari tempat yang berbeza
  4. Menggalakkan perpustakaan-perpustakaan di Malaysia membina satu pangkalan data yang boleh digunakan secara menyeluruh oleh orang ramai terutama masyarakat Malaysia sendiri.
  5. Membantu pemindahan teknologi dalam panggunaan jaringan komputer dan membangunkan pangkalan data melalui latihan, bengkel, seminar dan lain-lain

Maklumat yang terkandung di dalam Jaringan Ilmu termasuklah bibliografi, teks penuh, dan multimedia. Selain itu terdapat juga perkhidmatan e-mel, pemindahan fail secara elektronik (FTP), Remote Access, dan Sistem Panghantaran Dokumen secara Online. Setakat ini, kesemua 14 buah perpustakaan awam dan 38 jabatan berkaitan keperpustakaan telah menjadi ahli untuk menggunakan Jaringan Ilmu.