Jerebu Asia Tenggara 2006

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Gambar satelit jerebu di Borneo

Jerebu di Asia Tenggara pada 2006 adalah antara yang paling buruk sejak 1998 apabila musim kering adalah agak panjang berikutan kesan el Nino. Jerebu akibat pembakaran tidak terkawal di Indonesia tersebar hingga ke selatan Thailand dan menyebabkan kerugian kira-kira RM32.71 bilion kepada pelancongan, pengangkutan dan industri pertanian.

Pada 19 September 1997 Sarawak mengisytiharkan darurat buat pertama kali dalam sejarahnya apabila jerebu paling buruk melanda negeri itu setelah Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 625 iaitu jauh lebih tinggi daripada paras berbahaya antara 301 dan 500.

Kerajaan-kerajaan Asia Tenggara pernah mengadakan mesyuarat di peringkat pemimpin negara dan peringkat menteri. Hasilnya pada 2002, Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Merentas Sempadan telah ditandatangani. Namun masalah jerebu masih terus berulang dan menjejaskan reputasi negara rantau ini.

Indonesia[sunting | sunting sumber]

Menteri Pengangkutan Indonesia, Hatta Radjasa menjelaskan jerebu berlaku akibat kegiatan membakar untuk membersihkan tanah di Sumatera dan Kalimantan. Gambar satelit yang diambil pada 4 Oktober menunjukkan 561 "kawasan panas" yang menunjukkan kawasan yang dibakar di Borneo.

Para pegawai di negara jiran sering mengadu bahawa kerajaan Indonesia tidak melakukan apa-apa untuk memberhentikan pembakaran ini. Sebagai balasan pegawai Kementerian Perhutanan menyatakan bahawa anggota bomba dan pesawat tentera telah dikerahkan untuk memadamkan kebakaran di tanah kerajaan, namun mereka mengaku bahawa kebanyakan pembakaran berlaku di tanah milik persendirian [1]. Media Indonesia pula sering menyalahkan syarikat perladangan dari Malaysia yang melakukan pembakaran hutan di Sumatera, antaranya ialah Guthrie dan Tabung Haji. Kerajaan Malaysia pula meminta Indonesia segera mendakwa mana-mana syarikat perladangan yang melakukan pembakaran terbuka di sana [2].

Jerebu ini telah mengakibatkan penutupan sekolah, penerbangan tertangguh dan dibatalkan, mengganggu perkapalan dan memaksa sebahagian penduduk memakai topeng kesihatan. Sekolah-sekolah di Palangkaraya, Kalimantan Tengah telah diarahkan ditutup [3]. Jerebu juga dipersalahkan apabila sebuah penerbangan Mandala Airlines tergelincir semasa mendarat di Balikpapan, Kalimantan Timur pada 3 Oktober, apabila darjah penglihatan dilaporkan sekitar 400 meter [4]. Di Kepulauan Riau dan Jambi pula, kes masalah pernafasan dilaporkan meningkat [5].

Malaysia[sunting | sunting sumber]

Kesan jerebu bermula sejak awal Julai dan menjejaskan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia dengan agak teruk. Namun demikian, cuaca mula bertambah baik sejak 29 Ogos dengan ketibaan musim hujan. Ini melegakan rakyat Malaysia yang menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

Walau bagaimanapun, jerebu ini kembali pada akhir September. Ini berlaku akibat perubahan arah angin yang disebabkan oleh Taufan Xangsane. Tempat yang paling teruk ialah Kuching, di mana IPU hampir mencapai 300, iaitu kategori bahaya. Berita jerebu di Sarawak ini disiarkan oleh CNN pada 5 Oktober 2006. Manakala di Semenanjung Malaysia, tempat yang paling terjejas ialah di Johor Bahru dengan bacaan IPU 150 pada 7 dan 8 Oktober. Orang ramai kini mula memakai topeng pernafasan [6].

Kerajaan Malaysia bersedia melakukan pembenihan awan atau hujan tiruan. Namun masalah angin Angin Monsun Barat Daya sekarang ini tidak cukup berkesan untuk menghasilkan hujan tiruan. Angin Tenggara dari benua Australia akan melintasi garisan Khatulistiwa. Arah angin ini akan berubah menjadi Angin Monsun Barat Daya kerana bentuk bumi yang sfera (hampir bulat) [7].

Terbaru, Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS) pada 8 Oktober menyatakan kualiti udara di empat negeri sebagai tidak sihat iaitu di Johor, Melaka, Pahang dan Terengganu [8]. JAS turut melaporkan bahawa laman webnya tergendala sebentar akibat kesesakan luar biasa [9].

Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) akan menutup lapangan terbang jika tahap IPU mencapai 300. Jarak penglihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar 1,000 meter dan selamat untuk operasi pelepasan dan pendaratan pesawat. Begitu juga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Hal yang sama juga diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang mengarahkan sekolah-sekolah ditutup jika IPU mencapai 300 [10]. Ini pernah berlaku pada tahun sebelumnya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Agence France-Presse. 6 Oktober 2006. "Indonesia dousing fires causing haze: forestry official" (melalui Channel NewsAsia 9 Oktober 2006).
  2. Berita Harian. Belum ada laporan syarikat Malaysia terbabit pembakaran. Dicapai pada 9 Oktober 2006.
  3. Kompas CyberMedia. Sekolah di Palangkaraya Diliburkan Sebulan. Dicapai pada 9 Oktober 2006.
  4. Agence France-Presse. 3 Oktober 2006. "Passenger plane skids off runway amid thick haze in Indonesia" (melalui Channel NewsAsia pada 9 Oktober 2006).
  5. Jakarta Post. 9 Oktober 2006. Haze increasing respiratory cases, doctors say.
  6. mSTAR Online. FOTO Erti hidup era jerebu. Dicapai pada 9 Oktober 2006.
  7. "Malaysians have had enough of haze woes". The Star Online.  Dicapai pada 8 Oktober 2006.
  8. Utusan Malaysia. IPU empat negeri tidak sihat. Dicapai pada 9 Oktober 2006.
  9. mSTAR Online. Orang ramai semakin resah. Dicapai pada 9 Oktober 2006.
  10. Utusan Malaysia. Jerebu: Tutup sekolah jika IPU lepasi 300. Dicapai pada 9 Oktober 2006.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]