Jeronimo de Aguilar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Jeronimo de Aguilar (kk 1489 - 1531) ialah seorang paderi Sepanyol yang mengalami nahas kapal di Mexico dan kemudiannya diberikan sebidang tanah di sana oleh kerajaan Sepanyol selepas negara Sepanyol menakluki Mexico.

Dilahirkan di Ecija, Sepanyol, Aguilar mendapat pendidikannya dari gereja. Pada tahun 1511, sewaktu belayar dari Panama ke Santo Domingo, kapalnya telah karam di pesisiran pantai Yucatan. Bersama-sama dengan beberapa rakannya yang lain, beliau berjaya menyelamatkan diri. Malangnya, pantai itu dihuni oleh puak kanibal dan setengah yang terselamat telah dimakan oleh puak tersebut.

Aguilar dan temannya, Gonzalo Guerrero, berjaya menyelamatkan diri dan bergerak ke arah pendalaman dan dapat bertemu dengan puak yang lebih baik. Kedua-dua mereka dengan rela hati menerima budaya Maya yang baru. Mereka belajar bahasa Maya dan mengamalkan cara hidupnya. Walaupun begitu, terdapat satu perbezaan yang ketara antara mereka. Guerrero telah mengambil seorang isteri Maya dan dianugerahkan dengan dua cahaya mata tetapi Aguilar enggan berkahwin kerana agamanya melarang seorang paderi daripada mengadakan hubungan seksual dengan wanita. Selepas Aguilar menolak beberapa wanita yang diberikan oleh pemimpin puak, pemimpin puak itu melantik beliau sebagai penjaga harem atau wanita simpanannya.

Pada 1519, apabila Hernando Cortes tiba di Yucatan, Guerrero dan Aguilar memberi reaksi yang berlainan. Guerrero, yang suka dengan hidup sebagai seorang berbangsa Maya, enggan menyebelahi pihak Sepanyol. Malah dia terbunuh sewaktu berperang menentang penakluk dari Sepanyol. Manakala Aguilar berasa sungguh gembira kerana dapat bersatu semula dengan bangsanya sendiri. Beliau sanggup menaik kanu dan belayar ke arah kapal Cortes.

Pada mulanya, Cortes sangka Aguilar adalah seorang pribumi Mexico kerana pakaiannya. Akan tetapi Aguilar memanggilnya dalam bahasa Sepanyol, lalu Cortes pun membenarkannya naik ke atas kapal. Sebaik sahaja Aguilar menunjuk kitabnya, Cortes terus memeluknya dan menjemputnya dalam ekspedisi ke Mexico. Aguilar merupakan aset yang berharga kepada Cortes kerana beliau boleh berinteraksi dengan kaum yang berbahasa Maya. Oleh itu, ekspedisi ini berjaya masuk kekawasan pendalaman.

Tetapi di Tabasco lain pula ceritanya. Dua tahun sebelumnya, seorang penjelajah bernama Juan de Grijalva telah berjaya mengambil hati ketuanya dan telah dihadiahkan dengan beberapa pinggan emas. Cortes pula tidak bernasib baik. Bila Aguilar menyatakan kepada mereka dalam bahasa Maya bahawa ekspedisi ini hanya mahu lalu secara aman, beliau dibalas dengan serangan anak panah. Aguilar kemudian menanya seorang tawanan dari Tabasco mengapa mereka menentang kaum kulit putih walhal mereka berbaik dengan Grijalva. Tawanan itu menjawab, ketua dari puak-puak yang lain telah menuduh ketua yang berbaik dengan Grijalva sebagai pengkhianat dan penakut. Selepas itu, puak ini bersumpah untuk menentang kaum kulit putih dengan habis-habisan.

Namun demikian puak Tabasco terpaksa akur dengan kecanggihan tentera Sepanyol, terutamanya kekuatan senjata api mereka. Mereka pun menyerah kalah dan memeluk agama Kristian. Untuk menyedapkan hati penjajah mereka, puak ini menghadiahkan makanan, barangan buatan kapas dan hamba abdi wanita. Di antara hamba ini termasuklah seorang gadis yang juga menjadi penterjemah Cortés bernama La Malinche.

Berbanding dengan Aguilar, La Malinche fasih dalam dua bahasa tempatan iaitu Maya dan Aztek. Khidmatnya amat berguna kepada Cortes, terutamanya dalam berurusan dengan wakil Moctezuma. Oleh itu, sewaktu bercakap dengan orang berbahasa Aztek, La Malinche akan terjemahkan ke dalam bahasa Maya dan Aguilar pula akan menyampaikannya kepada Cortes dalam bahasa Sepanyol pula. Namun demikian, peranan Aguilar semakin berkurangan kerana La Malinche kini bermula menguasai bahasa Sepanyol.

Namun demikian, selepas Sepanyol menakluki Mexico, Aguilar telah dianugerahkan oleh kerajaan Sepanyol sebidang tanah di lembah Mexico pada 1526. Apabila beliau meninggal dunia pada 1531, kerajaan telah mengambil balik tanahnya kerana statusnya sebagai seorang pegawai agama.