Johan Jaafar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Johan bin Jaafar

Datuk Johan bin Jaafar adalah bekas pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggantikan Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin. Beliau juga merupakan pengerusi Media Prima Berhad dan juga pengarah Kumpulan New Straits Time Berhad. Beliau seorang penulis puisi dan drama di Malaysia yang terkenal. Beliau banyak kali menjadi hos temubual bersama pemimpin negara di televisyen.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Johan bin Jaafar (nama pena Jaafar Khan, J.J., Lanang Sejagat) dilahirkan pada 9 November 1953, di Sungai Balang Besar, Muar, Johor. Beliau kini menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Mulanya Johan Jaafar bersekolah di Sekolah Rendah Perserian, Semerah (1960-1965); sekolah menengah aliran Inggeris di Semerah (1966-1970) ;Sekolah Tinggi Muar (1972-1973); Universiti Malaya (1974-1977) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera .

Sejak 1960-an beliau terlibat dengan kegiatan sandiwara di Muar seperti menarik tali tirai dan mencari bahan-bahan untuk latar pentas. Semasa di sekolah menengah, beliau mula berlakon, menulis skrip dan mengarah drama untuk acara persembahan sekolah. Di universiti beliau aktif dalam Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA).


Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Bertugas sebagai Pegawai Penyelidik (Pegawai Perancang Bahasa) di DBP; Ketua Bahagian Majalah (1988-1990) ;Ketua Bahagian Penerbitan Am DBP. Pada September 1991 belajar peringkat sarjana di Universiti Nottingham, England dalam bidang Critical Theory.

Oktober 1992 berhenti di DBP dan mula bekerja di Kumpulan Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang Kumpulan ; Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu.

Penulisan dan pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Beliau hidup dalam 'dua alam' iaitu alam sastera/budaya dan alam pengurusan moden / korporat. Beliau seorang “sasterawan” ,merangkap pengurus korporat.Beliau menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menanjak menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia menggantikan Ghafar Baba . Apabila Anwar dipecat beliau turut terpelanting .

Beliau juga Ahli Majlis Perniagaan Malaysia (Malaysian Business Council) ; Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Multimedia (Multimedia Development Council) ;ahli Lembaga Pengarah BERNAMA serta pengarah di beberapa buah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Semasa bertugas di DBP, Johan menghasilkan cerpen “Potret Seorang Anu Sebagai Anu” (Dewan Sastera, Februari 1983). Novelet/drama/cerpen beliau berjudul Pemain (1987) - separuh autobiografi sasterawan/pentadbir bernama Johan. Selepas 1993, Johan tidaklah seproduktif para penulis sezamannya. Beliau ditugaskan memimpin Syarikat Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang dan tumpuannya hanyalah pada penulisan berita dan rencana. Novel terakhir beliau ialah Laguku Untukmu (1979). Cerpen yang terakhir ditulisnya lebih 15 tahun. Drama terbarunya, “Asiah Samiah” (1999).


Ketika bersama Badan Budaya DBP, beliau mengarahkan drama “Mayat” (karya Hatta Azad Khan); “Hari-hari Terakhir Seorang Seniman” (adaptasi sendiri daripada novel Anwar Ridhwan); “Salina” (daripada novel A. Samad Said) ; “Rumah Kedai di Jalan Seladang” (daripada cerpen A. Samad Ismail).


Dalam dunia kewartawanan jelas kelihatan dua Johan yang berbeza ; kolumnis “Selayang Pandang” (dengan nama Lanang Sejagat dalam Mingguan Malaysia. Kolumnis “Nota Kaki” (Utusan Malaysia) lebih santai. Sementara ruang “Cambuk Wak Cantuk” (Mingguan Malaysia), atau tulisan mudahnya mengenai filem dalam majalah Hai keluaran Utusan Melayu lebih ringan.

Johan terlibat dalamm menggerakkan kegiatan berpuisi (Malam Puisi Utusan) serta mementaskan beberapa buah drama tahunan (antaranya "Lantai T. Pinkie" karya A. Samad Said dan "Anugerah" adaptasi daripada novel Zaharah Nawawi).

Media arus perdana - Utusan Malaysia, Utusan Melayu, Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman kembali menjadi tunggak kegiatan dan wadah budaya dan sastera. Majalah Pemikir, Mangga, Kawan, Cerdas Pintar, Saji, Rias dan Hai dan majalah sastera 'Karya' turut diterbitkan. Majalah Karya yang mahu diangkat setanding dengan Dewan Sastera, terpaksa ditutup ekoran kegawatan ekonomi 1998. Majalah Mastika, Wanita dan Al-Islam turut diberi sentuhan .


Pada November 1992 beliau adalah 'orang luar' yang dibawa masuk sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu . Beliau bukan berasal dari Utusan Melayu. Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia mesti terus berpengaruh,lebih serius dan terus “laku”. Mingguan Malaysia kekal sebagai akhbar mingguan paling laris. Utusan Malaysia telah tewas dari segi edaran dengan akhbar saingannya mulai tahun 1988. Tetapi pada tahun 1998, Utusan Malaysia menjadi akhbar harian berbahasa Melayu paling laris di negara ini. Johan memimpin Utusan Melayu hanya lima setengah tahun (1992-1998). Pada 14 Julai 1998 beliau tidak lagi menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan setelah Anwar Ibrahim dipecat. Empat rakannya turut menerima nasib yang sama seperti A Kadir Jasin.

Selepas itu beliau menghasilkan drama pentas – “Asiah Samiah” – setelah lebih 14 tahun tidak berbuat demikian.


Beliau aktif dalam Kumpulan Sandiwara Kampung. Beliau menulis skrip berdasarkan kisah-kisah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta lagenda dari Jawa. Beliau juga mencuba mengarah drama/teater pada usia yang sangat muda.

Semasa bersama KESUMA, beliau mementaskan “Kotaku Oh Kotaku” di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (1975); mengarahkan pula “Angin Kering” (1976); Sempena Pesta Teater Universiti Malaya (1979) mengarahkan “Si Bongkok Tanjung Puteri” karya Shaharom Husain.

Beliau juga terlibat dalam kumpulan Anak Alam. Anak Alam adalah grup penyair dan pelukis tempatan yang mendampingi teater. Dua tulisannya mengenai grup itu cukup menginsafkan. Anak Alam berkubar ekoran kekarutan birokrasi dan kesombongan anggotanya. ('Sebuah Fenomena Bernama Anak Alam' Utusan Malaysia, 10 Mac 1997 dan “Anak Alam Bahagian Kedua: Episod Sedih” Utusan Malaysia, 7 April 1997).

Johan gila menonton filem . Beliau menonton lebih 200 buah filem setahun. Antaranya di “Panggung Kandar” di pekan Semerah ketika belajar di Tingkatan lima. Artikel beliau “Mencari Cinema Paradiso” (Hai, 4 Ogos 1996).Pawagam itu milik Wak Kandar .Beliau banyak menulis kritik filem dalam Dewan Budaya dan majalah Era.Majalah Hai diterbitkan pada 1996 dan beliau memulakan ruang “Sembang Filem”.

Antara novel beliau ialah Warna Tinta, Genta Rasa dan Laguku Untukmu. Pelarian Sang Hero adalah satu-satunya antologi cerpen beliau .Antara cerpen beliau ialah Api di Tanah Perkuburan, Misteri Pulau Batu dan Tangan-tangan Kaku.

Semasa di DBP, beliau ditugaskan memimpin majalah Dewan Siswa dan menjadi sangat popular.Tahun 1988, beliau menjadi Ketua Bahagian Majalah DBP - majalah Dewan Bahasa (kemudian menjadi Jurnal Bahasa), Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Pelajar, selain Dewan Siswa. Di bawah pimpinan beliau, Dewan Masyarakat buat pertama kalinya mencecah edaran melebihi 100,000 naskhah sebulan. Begitu juga Dewan Pelajar dan Dewan Siswa.

Dewan Masyarakat membawa slogan “Berita, Maklumat, Ilmu” dengan laporan penyiasatan dan laporan lapangan.Antaranya membuat liputan kemuncak perjuangan Mujahidin di Afghanistan menentang rejim boneka Rusia pada tahun 1989.


Penghargaan[sunting | sunting sumber]

Beliau pernah menjadi Anggota Panel Hadiah Karya Sastera (Bahagian Drama); panel sayembara seperti drama yang dianjurkan oleh ESSO-GAPENA, DBP serta panel Peraduan Menulis Cerpen Shell-New Straits Times (1988-1990).

Cerpen Johan yang berjudul “Sang Politikus” telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001 dan Hadiah Sastera Perdana 2000/2001.


Beliau menerima Anugerah Khas Hadiah Karya Sastera kerana adaptasinya untuk novel Anwar Ridhwan (1984/85). Johan juga telah membukukan adaptasi yang dibuat ke atas novel Langit Petang karya A. Samad Said.

Johan menerima Pingat Setia Mahkota Selangor (1994); Pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) (1995) ;Pingat Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Datuk (1997).

Hasil penulisan[sunting | sunting sumber]

Drama[sunting | sunting sumber]

  1. Angin Kering. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
  2. Sang Puteri. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise Sdn. Bhd., 1982.
  3. Asy Syura. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.
  4. Pemain. Ampang Jaya: Oen Industries, 1987.
  5. Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.
  6. Langit Petang: 12 Tahun Kemudian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.
  7. Arah ke Mana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984.
  8. Hujan Malam (peny. bersama Hashim Awang). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986.

Novel[sunting | sunting sumber]

  1. Warna Tinta. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Sdn. Bhd., 1976.
  2. Genta Rasa. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1977.
  3. Laguku Untukmu. Kuala Lumpur: Rahman Mat Media, 1979.

Novel Kanak-kanak[sunting | sunting sumber]

  1. Api di Tanah Perkuburan. Singapura: Pustaka Nasional, 1973.
  2. Misteri Pulau Batu. Singapura: Pustaka Nasional, 1974.
  3. Tangan-tangan Kaku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Pertama, 1987.

Cerpen[sunting | sunting sumber]

  1. Pelarian Sang Hero. Kuala Lumpur: Eastern Universities Press (M) Sdn. Bhd., 1980.

Kajian[sunting | sunting sumber]

  1. Sejarah Kesusasteraan Melayu (bersama Safian Hussain et. al.) (Jilid I). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
  2. Pengenalan Kritikan Sastera, M. (peny. bersama Hamdan Yahya dan Shamsudin Jaafar). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]