Juliza Adzlizan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Juliza Adzlizan
Nama lahirJuliza Adzlizan binti Abdul Rafar
Kelahiran1967 (umur 56–57)
Temerloh, Pahang, Malaysia
GenrePop
PekerjaanPenyanyi, guru vokal, pelakon, pengacara televisyen
InstrumenVokal
Tahun aktif1983 - kini
Syarikat rakaman
  • Studio 43
  • BMG Pacific Sdn. Bhd.
  • Sony Music Entertainment

Juliza Adzlizan binti Abdul Rafar atau lebih dikenali sebagai Juliza Adzlizan merupakan seorang penyanyi yang berasal dari Temerloh, Pahang, Malaysia. Beliau juga pernah memenangi pertandingan Bintang RTM pada tahun 1983.

Kehidupan dan karier[sunting | sunting sumber]

Kehidupan awal selepas Bintang RTM[sunting | sunting sumber]

Ketika menyertai pertandingan tersebut, usianya baru mencecah 17 tahun. Pada peringkat akhir pertandingan, beliau telah menyanyikan lagu Kuda Hitam yang akhirnya telah menyebabkan beliau memenangi pertandingan tersebut. Beliau juga tidak pernah menyangka bahawa penyertaannya itu akan memberi kejayaan besar dalam hidupnya. Kemenangannya itu telah meninggalkan memori yang indah serta corak kehidupannya juga berubah. Di sebalik kemenangan itu, beliau juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.[1]

Beliau telah menandatangani kontrak untuk menjadi artis rakaman Studio 43 pada tahun 1985. Dua buah album dikeluarkan serentak untuknya iaitu Kau Ada Yang Lain yang diedarkan sebelum beliau berangkat ke Amerika Syarikat (AS). Dua lagu daripada album pertamanya telah meletakkan namanya di puncak iaitu Kasih dan Sayang Insan dan Bagaimana Harus Ku Lupakan.[1]

Pada tahun yang sama, albumnya yang kedua bertajuk Salahkah Aku Menyintaimu telah diedarkan ketika beliau masih meneruskan pengajiannya di AS. Beliau telah melanjutkan pengajian dalam bidang muzik teater di Universiti Point Park, AS dari tahun 1985 hingga tahun 1987. Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana dengan limpah perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong telah membenarkan beliau melanjutkan pengajian melalui biasiswa Yayasan Pahang.[1]

Menjadi guru vokal dan pelakon[sunting | sunting sumber]

Bagaimanapun, selepas dua tahun menuntut dalam bidang berkenaan, beliau menukar pengajiannya dalam persembahan vokal di Universiti Negeri Utah pada tahun 1987 hingga tahun 1990. Akhirnya, beliau telah berjaya membawa pulang segulung ijazah dalam bidang vokal pada tahun 1990. Beliau juga pernah menjadi pengetua bagi Institut Teknologi Tun Abdul Razak dalam bidang Persembahan Seni pada tahun 1991 hingga 1993. Dengan kelayakan akademik sedemikian, beliau memutuskan untuk meneruskan kerjayanya sebagai guru vokal kepada individu yang meminati bidang seni suara terutamanya kepada golongan tertentu. Beliau mengajar mereka secara seorang demi seorang pelajar pada satu masa demi untuk memberi tumpuan sepenuhnya dan bukannya secara serentak. Beliau juga pernah membimbing tiga peserta Akademi Fantasia 7 iaitu Hafiz, Aril dan Akim.[1]

Menurutnya, oleh kerana terikat dengan komitmen membimbing beberapa orang pelajar, masanya lebih banyak ditumpukan kepada mereka walaupun pada hujung minggu. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang vokal, beliau amat mementingkan soal disiplin. Oleh itu, mereka yang mahu mengikuti kelas vokal beliau, Juliza Singing Factory telah ditekankan olehnya tentang disiplin dalam mengikuti setiap kelas. Disebabkan komitmen dan mengajar, kadangkala beliau sanggup mengorbankan waktu untuk suami dan anak-anak kerana beliau mahu mereka berjaya dalam bidang yang mereka minati.[1]

Juliza Singing Factory yang beroperasi di kondominium di Damansara Perdana cuma mengenakan yuran sebanyak RM 1,500 untuk kelas selama 12 jam yang mengambil masa selama tiga bulan. Melalui kelas itu, beliau dapat mengesan minat dan kecenderungan seseorang yang mempunyai bakat dalam genre muzik serta yang mana satu bersesuaian dengan suara mereka. Beliau juga tidak mahu bakat mereka dipersiakan seperti sebuah rancangan realiti yang memaksa semua pelajarnya menyanyi pelbagai lagu yang tidak bersesuaian dengan suara mereka. Beliau menegaskan bahwa pertandingan nyanyian tidak seharusnya meneruskan konsep tersebut kerana dengan cara itu, mereka tidak akan pergi jauh dalam bidang seni suara. Selain itu, beliau pernah mengeluarkan album Raikan Malam Cinta hasil terbitan syarikat produksi yang diasaskan suaminya, Melic (M) Sdn. Bhd.[1]

Beliau juga berkebolehan untuk berlakon seperti dalam filem Juara arahan Yusof Kelana yang dikeluarkan pada tahun 1991. Filem tersebut merupakan filem pertama dan terakhir lakonannya diikuti dengan beberapa buah drama antaranya seperti drama bersiri Kelas Malam.[1]

Menyertai MasterChef Selebriti Malaysia[sunting | sunting sumber]

Bidang masakan bukanlah sesuatu yang asing buat beliau kerana telah ditananamkan minat untuk memasak sejak dari kecil lagi oleh ibunya. Beliau juga menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi kerana ibunya telah mengajarkan segala jenis masakan terutamanya masakan Melayu kepadanya. Masakan pedas terutamanya masakan Thai dan Melayu menjadi pilihan utama baginya dalam penyediaan juadah. Beliau juga tidak mengambil kira dari negeri mana sesuatu masakan itu berasal tetapi jika makanan itu pedas, sudah tentunya beliau akan tertarik. Beliau juga amat menggemari chef selebriti Jamie Oliver kerana melihatkan gaya serta cara penyediaan masakannya yang ringkas tetapi sangat menyelerakan.[2] Perkara ini telah menyebabkan beliau menyertai pertandingan masakan MasterChef Selebriti Malaysia yang disiarkan di televisyen secara bersiri. Namun, beliau telah tersingkir pada separuh akhir pertandingan tersebut.

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Album studio[sunting | sunting sumber]

  • Kau Ada Yang Lain (1985)
  • Salahkah Aku Menyintaimu (1985)
  • Kalau Begitu Cara Mu (1989)
  • Saksi (1991)
  • Raikan Malam Cinta (2004)

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem
Drama
  • Kelas Malam (2002)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g Muzlina Bakar (1 Februari 2010). "Juliza beralih angin". Utusan Online. Dicapai pada 10 Disember 2012.
  2. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan MasterChef Selebriti Malaysia tidak disediakan
Didahului oleh
Rohana Jalil
(1980)
Juara Bintang RTM
1983
Diikuti oleh:
Ramlah Ram (1985)